SDI 1789: Bolehkah Membaca Secara Jahar Dalam Solat Tahajjud?

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 84

Soalan 1:

Saya telah mula belajar solat tahajud. Pada waktu malam semasa solat tahajud bersendirian di rumah, saya suka membaca ayat al-Quran ketika solat dengan bacaan secara Jahar (kuat). Adakah ini dibenarkan? Kerana bagi saya mendengar alunan bacaan itu ada nikmatnya tersendiri, dan lagi khususk secara peribadi.

Jawapan:

Boleh membaca ayat-ayat al-Quran secara jahar dalam solat tahajjud. ‘Aisyah RA pernah ditanya:

هَلْ كَانَ رَسُولُ اللهِ ﷺ يَرْفَعُ صَوتَهُ مِنَ اللَّيْلِ إِذَا قَرَأَ؟ قَالَتْ: رُبَّمَا رَفَعَ وَرُبَّمَا خَفَضَ

 Adakah Rasulullah SAW menguatkan suara baginda ketika membaca pada waktu malam?” ‘Aisyah menjawab: “Kadang-kala baginda menguatkan suara dan kadang-kala merendahkannya.” (Riwayat Ahmad dan selainnya dengan sanad sahih)

Bahkan termasuk dalam sunnah membaca al-Quran dalam solat tahajjud secara Jahar. Ibn Abi Zaid al-Qairawani al-Maliki dalam al-Risalah li al-Qairawani 1/34 berkata:

يستحب في نوافل الليل الإجهار وفي نوافل النهار الإسرار

“Disunatkan bacaan secara jahar dalam solat sunat malam hari, dan bacaan secara sirr dalam solat sunat siang hari.”

Namun perkara ini bukan satu kemestian atau satu kewajipan, sebaliknya ia termasuk dalam perkara yang memiliki luasan dan fleksibel, berdasarkan hadis Aisyah radhiallahu ‘anha yang pernah ditanya:

هَلْ كَانَ رَسُولُ اللهِ ﷺ يَرْفَعُ صَوْتَهُ مِنَ اللَّيْلِ إِذَا قَرَأَ؟ قَالَتْ: نَعَمْ، رُبَّمَا رَفَعَ، وَرُبَّمَا خَفَضَ

“Adakah Rasulullah SAW meninggikan suara baginda ketika membaca dalam solat sunat malam hari?” ‘Aisyah menjawab: “Ya, kadang-kadang baginda meninggikan suara (membaca secara Jahar) dan kadang-kadang merendahkannya. (membaca secara sirr)” (Riwayat Ahmad dan selainnya dengan sanad sahih)

Dalam Sunan Abi Daud dan at-Tirmizi daripada Abu Qatadah RA yang berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ لَيْلَةً، فَإِذَا هُوَ بِأَبِي بَكْرٍ -رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ- يُصَلِّي يَخْفِضُ مِنْ صَوْتِهِ، وَمَرَّ بِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَهُوَ يُصَلِّي رَافِعًا صَوْتَهُ، قَالَ: فَلَمَّا اجْتَمَعَا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: «يَا أَبَا بَكْرٍ، مَرَرْتُ بِكَ وَأَنْتَ تُصَلِّي تَخْفِضُ صَوْتَكَ؟» قَالَ: قَدْ أَسْمَعْتُ مَنْ نَاجَيْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. وَقَالَ لِعُمَرَ: «مَرَرْتُ بِكَ، وَأَنْتَ تُصَلِّي رَافِعًا صَوْتَكَ؟» فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أُوقِظُ الْوَسْنَانَ، وَأَطْرُدُ الشَّيْطَانَ. -وفي رواية- فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا أَبَا بَكْرٍ ارْفَعْ مِنْ صَوْتِكَ شَيْئًا»، وَقَالَ لِعُمَرَ: «اخْفِضْ مِنْ صَوْتِكَ شَيْئًا

Bahawa Nabi SAW pernah keluar pada suatu malam, lalu baginda melalui kawasan yang berhampiran dengan Abu Bakar radhiallahu ‘anhu yang sedang menunaikan solat dengan suara perlahan. Baginda juga melalui kawasan yang berhampiran dengan Umar bin al-Khattab yang juga sedang menunaikan solat dengan suara yang kuat. Apabila mereka berdua berkumpul bersama Nabi SAW, baginda bersabda kepada Abu Bakar: “Wahai Abu Bakar, aku melalui kawasan yang berhampiran dengan kamu dan kamu menunaikan solat dengan suara yang amat perlahan?” Abu Bakar menjawab: “Aku sudah memperdengarkan kepada Zat yang aku bermunajat kepada-Nya, wahai Rasulullah.” Baginda berkata kepada Umar: “Wahai Umar, aku melalui kawasan yang berhampiran dengan kamu dan kamu menunaikan solat dengan suara yang begitu kuat?” Umar menjawab: “Wahai Rasulullah, aku ingin mengejutkan orang yang mengantuk dan menghalau syaitan.” Dalam riwayat lain, Nabi SAW bersabda: “Wahai Abu Bakar, tinggikan sedikit suara kamu.” Dan kepada Umar baginda bersabda: “Rendahkan sedikit suara kamu.”

Oleh itu, anda boleh membaca al-Quran secara Jahar ketika solat malam, jika bacaan seperti itu lebih dapat mendatangkan khusu’, dengan syarat tidak mengganggu atau menyakiti orang lain.

Cetak
Wallahu a'lam