Soalan:
Jika sabun mandi ada bau wangi sedikit, tetapi orang itu guna hanya untuk bersihkan badan, adakah ia dibenarkan?
Jawapan:
Di bawah ini saya terjemahkan salah satu persoalan fiqhiyyah berkaitan yang dikongsikan oleh al-Syeikh Sa‘id al-Jabiri حفظه الله dalam group whatapp beliau:
Hukum Menggunakan Sabun Berbau Wangi bagi Orang yang Berihram:
Diharamkan ke atas orang yang berihram untuk menggunakan wangian berdasarkan nas hadis. Disyaratkan bagi wangian yang dihukum haram bagi orang yang berihram ialah apabila tujuan utama penggunaannya adalah untuk wangian dan pengambilannya adalah untuk wanigan, atau terzahir pada pengambilannya adalah bertujuan wanigan.
Adapun bahan-bahan yang lazimnya digunakan untuk makanan atau perubatan seperti bunga cengkih, epal dan pelbagai jenis buah-buahan serta seumpamanya, semua ini dan yang seumpamanya bukanlah dianggap sebagai pewangi, maka harus dimakan dan dihidu. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmuʿ.
Begitu juga daun inai, harus digunakan oleh wanita tanpa khilaf dalam mazhab, meskipun terdapat bau wangi padanya. Ini kerana tujuan pemakaiannya bukanlah untuk berwangi-wangian, sebaliknya kerana warnanya.
Berdasarkan kepada perincian-perincian yang dinyatakan oleh para ulama, maka hukum menggunakan sabun mandi terbahagi kepada tiga keadaan:
Pertama: Jika sabun tersebut tidak mengandungi sebarang wangian, maka harus menggunakannya.
Kedua: Jika sabun itu mengandungi bahan beraroma seperti yang terdapat pada sabun sekarang, maka harus bagi orang yang berihram menggunakannya untuk mandi, kerana tujuannya adalah untuk membersihkan diri, bukan untuk berwangi-wangian, walaupun terdapat bau wangian padanya. Ini kerana bau tersebut tidaklah menjadi tujuan penggunaan dalam mandian, ditambah pula baunya itu akan hilang dalam masa yang singkat.
Ketiga: Jika sabun itu mengandungi bahan beraroma dan bau tersebut kekal lama serta penggunaannya bertujuan membersih dan berwangi-wangian dengan baunya, maka tidak boleh mandi dengan menggunakannya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama tentang larangan menggunakan ubat peluh yang berbau wangi. Walaupun tujuannya untuk menghilangkan bau badan, tetapi wangian padanya nyata dan menjadi tujuan. Meskipun jenis sabun seperti itu tidak banyak wujud sekarang, namun beginilah hukumnya.
--------- Teks asal perkongsian beliau -------
حكم استعمال الصابون المعطر للمحرم: يحرم على المحرم استعمال الطيب بنص الحديث. وﻳﺸﺘﺮﻁ ﻓﻲ اﻟﻄﻴﺐ اﻟﺬﻱ ﻳﺤﻜﻢ ﺑﺘﺤﺮﻳﻤﻪ ﺃﻥ ﻳﻜﻮﻥ ﻣﻌﻈﻢ اﻟﻐﺮﺽ ﻣﻨﻪ اﻟﻄﻴﺐ ﻭاﺗﺨﺎﺫ اﻟﻄﻴﺐ ﻣﻨﻪ ﺃﻭ ﻳﻈﻬﺮ ﻓﻴﻪ ﻫﺬا اﻟﻐﺮﺽ. أما ﻣﺎ ﻳﻄﻠﺐ ﻟﻻﻛﻞ ﺃﻭ ﻟﻠﺘﺪاﻭﻱ ﻏﺎﻟﺒﺎ ﻛﺎﻟﻘﺮﻧﻔﻞ والتفاح ﻭﺳﺎﺋﺮ اﻟﻔﻮاﻛﻪ ﻛﻞ ﻫﺬا ﻭﺷﺒﻬﻪ ﻟﻴﺲ ﺑﻄﻴﺐ ﻓﻴﺠﻮﺯ ﺃﻛﻠﻪ ﻭﺷﻤﻪ كما قاله النووي في المجموع. وكذلك الحناء يجوز استعمالها للمرأة بلا خلاف في المذهب وإن كان فيها طيب لأنه ليس القصد التطيب بها وإنما الزينة من لونها. وبناء على ما سبق من الفروع المنصوص عليها فحكم صابون الاغتسال على ثلاثة أحوال: الأولى: إذا كان خاليا من العطر فيجوز استعماله. الثانية: إذا كان فيه مادة عطرية كالموجود حاليا فيجوز للمحرم الاغتسال لأن القصد منه التنظيف لا التطيب وإن كان فيه رائحة عطرية لأنها غير مقصودة من الاغتسال به وتذهب عن قرب. الثالثة: إذا كان فيه مادة عطرية وتبقى مدة ويقصد منه التنظف به والتطيب برائحته فهذا لا يجوز الاغتسال به كما نصوا على عدم جواز استعمال دواء العرق المطيب لأنه وإن كان الغرض منه إزالة الرائحة إلا أن الطيب فيه ظاهر ومقصود. وهذا وإن كان غير موجود الآن إلا أن هذا حكمه. والله أعلم. ✍ #سعيد_الجابري