SDI 1813: Tentang Kaffarah Sumpah Dan Dalilnya

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 32

Soalan:

Apakah pilihan yang diberikan oleh syarak bagi membayar kafarah sumpah dan apakah dalilnya dari al-Quran?

Jawapan:

Terdapat dua keadaan sumpah:

Keadaan Pertama:

Iaitu apabila pelanggaran sumpah itu berupa kegagalan melaksanakan perkara yang  dia telah wajibkan dirinya melalui sumpah; seperti seseorang bersumpah dengan nama Allah Ta‘ālā bahawa dia akan bersedekah kepada seorang fakir pada hari tertentu. Namun dia tidak melakukannya pada hari yang ditetapkan itu. Pelanggaran sumpah (الحنث) seperti ini, menjadikan pelakunya wajib membayar kaffarah sumpah.

Keadaan Kedua:

Iaitu apabila pelanggaran sumpah itu berupa pembohongan dalam pernyataannya. Sumpah itu hanya dilafazkannya kerana ingin membuat pengukuhan; seperti seseorang berkata: “Demi Allah, barang ini milik aku,” sedangkan dia tahu barang itu bukan miliknya. Sumpah seperti ini dinamakan sumpah ghamūs (يمينا غموسا).

Hukum pelanggaran sumpah seperti ini: pelakunya layak mendapat azab yang besar daripada Allah ‘Azza wa Jalla, di samping wajib membayar kaffarah, kerana ia tergolong dalam sumpah yang berlaku.

Perbezaan antara dua keadaan ini: Orang yang berada dalam keadaan kedua lebih besar kesalahannya mempermainkan nama Allah ‘Azza wa Jalla, kerana dia bersumpah dengan nama Allah dalam keadaan dia memaksudkan berdusta.

Adapun orang dalam keadaan pertama, mungkin ketika dia melafazkan sumpah itu dia memang berniat untuk menepatinya dan melaksanakannya, tetapi terhalang oleh sesuatu halangan daripada memenuhinya. Atau mungkin juga dia menyedari selepas itu bahawa terdapat sesuatu yang lebih baik daripada apa yang telah dia ikat dengan sumpahnya, lalu dia bertindak menurut wasiat Nabi :

من حلف على يمين، فرأى غيرها خيرا منها، فليأت الذي هو خير، وليكفر عن يمينه

“Sesiapa yang bersumpah atas sesuatu sumpah, kemudian dia melihat ada yang lebih baik daripadanya, maka hendaklah dia lakukan yang lebih baik itu, dan hendaklah dia membayar kaffarah sumpahnya.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

Dan sesiapa yang melanggar sumpah ghamūs (يمين غموس) atau selainnya, maka wajib ke atasnya membayar kaffarah. Dimaksudkan dengan sumpah Ghamūs, berdasarkan perkataan Al-Munāwī ialah;

اليمين الغموس الحلف على فعل أو ترك ماضٍ كاذبًا

bersumpah terhadap sesuatu perbuatan yang telah berlaku sama ada melakukannya atau meninggalkannya dalam keadaan berdusta.[1]

Ia telah dijelaskan oleh Nabi dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhārī, al-Tirmidhī dan al-Nasā’ī daripada ʿAbd Allāh ibn ʿAmr ibn al-ʿĀṣ رضي الله عنهما, daripada Nabi , baginda bersabda:

الكبائر الإشراك بالله، وعقوق الوالدين، واليمين الغموس

"Dosa-dosa besar itu ialah: menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa, dan sumpah ghamūs."

Dalam satu riwayat lain, seorang Arab Badwi datang kepada Nabi lalu berkata:

يا رسول الله ما الكبائر؟ قال: الإشراك بالله، قال: ثم ماذا؟ قال: اليمين الغموس؟ «قُلتُ: وما اليمين الغموس؟ قال: الذي يقتطع مال امرئ مسلم بيمين هو فيها كاذب

 "Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa besar?" Baginda menjawab: "Menyekutukan Allah." Dia bertanya: "Kemudian apa lagi?" Baginda menjawab: "Sumpah ghamūs." Aku berkata: "Apakah itu sumpah ghamūs?" Baginda menjawab: "Iaitu seseorang yang mengambil harta seorang Muslim dengan sumpah yang dia berdusta padanya."[2]

Dalam al-Mustadrak oleh al-Ḥākim daripada ʿAbd Allāh ibn Masʿūd رضي الله عنه, beliau berkata:

كٌنَّا نعد من الذنب الذي ليس له كفارة اليمين الغموس. قيل: وما اليمين الغموس؟ قال: الرجل يقتطع بيمينه مال الرجل

"Kami menganggap antara dosa yang tiada kaffarah padanya ialah sumpah ghamūs." Ditanya kepadanya: "Apakah sumpah ghamūs?"
Beliau menjawab: "Seseorang yang mengambil harta orang lain dengan sumpahnya."

Sesiapa yang melanggar sumpah, maka dia hendaklah membayar kaffarah sumpah dengan memilihantara tiga perkara:

  1. Membebaskan seorang hamba yang beriman, sama ada hamba lelaki atau perempuan. Ini hanya terlaksana jika hamba masih wujud.
  2. Memberi makan sepuluh orang miskin. Setiap seorang satu mudd (cupak) makanan ruji negerinya. Satu Mudd bersamaan kira-kira 600 gram.

Makanan yang diberikan ini hendaklah dalam bentuk Tamlik (تمليك), iaitu wajib diberikan kepada setiap miskin dalam bentuk mereka dapat memilki makanan tersebut dan mereka bebas melakukan apa sahaja yang mereka kehendaki dengannya. Tidak memadai sekadar menjemput mereka makan tengah hari, makan malam dan seumpamanya.

  1. Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin daripada pakaian yang lazim dipakai dan diakui dalam uruf sebagai pakaian. Maka baju, seluar, stokin, penutup kepala dalam apa bentuk sekalipun, semuanya dianggap sebagai pakaian.

Jika dia tidak mampu melaksanakan salah satu daripada tiga perkara ini kerana kefakiran, maka wajib ke atasnya berpuasa selama tiga hari. Tidak disyaratkan ia dilakukan berturut-turut berdasarkan mazhab Syafie[3], bahkan boleh dilakukan secara berselang-seli.

Dalil Kaffarah Sumpah:

Dalil bagi kaffarah ini ialah firman Allah ‘Azza wa Jalla:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang tidak disengajakan, tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah yang kamu kukuhkan. Maka kaffarahnya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada makanan pertengahan yang kamu beri kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian kepada mereka, atau membebaskan seorang hamba. Maka sesiapa yang tidak mendapatkannya, hendaklah dia berpuasa selama tiga hari. Itulah kaffarah sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah sumpah-sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya agar kamu bersyukur.”
(
Surah al-Mā’idah: 89)

 



[1] التوقيف على مهمات التعاريف (١/ ٧٥١).

[2] فتح الباري (١٣/ ٦٧٧) برقم (٦٦٧٥)، وصححه الألباني في صحيح الترغيب

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji 3/18

Cetak
Wallahu a'lam