Soalan:
Apakah tempat pandangan ketika solat?
Jawapan:
Allah Ta‘ala berfirman:
فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ
“Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram, dan di mana saja kamu berada, maka hadapkanlah wajahmu ke arahnya.” [al-Baqarah: 144]
Para ulama berbeza pendapat tentang tempat pandangan ketika solat, namun semua mereka sepakat bahawa menghadap kiblat termasuk dalam syarat sah solat.
Mazhab Malikiy berpendapat: Disunatkan bagi orang yang solat memandang lurus ke hadapan mengikut arah tegaknya, tanpa mendongak dan tanpa menundukkan kepalanya.
Ulama lain pula berpendapat: Disunatkan pandangan orang yang solat diarahkan ke tempat sujud berdasarkan riwayat daripada Ibn Sirin bahawa Rasulullah ﷺ dahulu sering mengarahkan pandangannya ke langit, lalu turunlah ayat: (الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاتِهِمْ خَاشِعُونَ) – “Orang-orang yang khusyuk dalam solat mereka.” [al-Mu’minun: 2] Maka Baginda menundukkan kepala ketika solat. Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dan Sa‘id bin Mansur, terdapat tambahan dalam riwayat itu: وكانوا يستحبون للرجل ألا يجاوز بصره مصلاه “Mereka menganjurkan seseorang tidak melampaui pandangannya dari tempat solatnya.”
Sharik bin ‘Abdullah al-Qadhi (شريك بن عبد الله القاضي) pula berpendapat: Pandangan ketika berdiri ialah ke tempat sujud, ketika rukuk ke tempat berdirinya dua kaki, ketika sujud ke tempat hidungnya, dan ketika duduk ke arah pangkuannya.
Para ulama juga bersepakat bahawa menoleh muka dan mengangkat pandangan adalah makruh, berdasarkan riwayat al-Bukhari daripada ‘Aisyah رضي الله عنها secara marfu’:
هو اختلاس يختلسه الشيطان من صلاة العبد
“Ia adalah satu curian yang dicuri oleh syaitan daripada solat seseorang hamba.”
Adapun menoleh kerana ada suatu keperluan, maka tidaklah makruh jika sedikit. Sebagaimana dalam al-Muwatta’ dan lainnya, daripada hadis Sahl bin Sa‘d رضي الله عنه tentang solat Abu Bakar yang mengimami manusia ketika Nabi ﷺ tidak hadir kerana ada urusan lain, di mana dalam hadis disebut:
وكان أبو بكر لا يتلتفت في صلاته، فلما أكثر الناس عليه من التصفيق التفت، فإذا رسول الله صلى الله عليه وسلم، فأشار إليه أن امكث مكانك
Abu Bakar tidak menoleh dalam solatnya. Namun ketika orang ramai banyak bertepuk tangan padanya, beliau menoleh, lalu terlihat Rasulullah ﷺ. Baginda memberi isyarat agar beliau tetap di tempatnya.
Al-Nawawi berkata:
فيه جواز الالتفات للحاجة. واتفقوا على أن الالتفات المؤدي إلى استدبار القبلة أنه مبطل
“Dalam hadis ini ada dalil harus menoleh kerana hajat. Ulama juga bersepakat bahawa berpaling sehingga membelakangi kiblat membatalkan solat.”