Soalan:
Zakat wang kertas berdasarkan nisab emas atau perak? Jika seseorang mempunyai sejumlah wang tunai yang tidak mencapai nisab, dan juga mempunyai emas dalam jumlah yang tidak mencapai nisab, tetapi apabila kedua-duanya digabungkan maka mencukupi nisab. Adakah dia wajib menggabungkannya? Saya mahukan jawapan dengan dalil serta penjelasan mazhab-mazhab fiqh.
Jawapan:
Pertama:
Para ulama kontemporari berbeza pandangan dalam menentukan cara penetapan nisab wang tunai hari ini, adakah ia ditentukan berdasarkan nisab emas atau perak?
Seperti yang diketahui, wang kertas tidak digunakan di zaman Nabi SAW, juga di zaman awal umat Islam. Perlu juga diketahui bahawa pada zaman Nabi ﷺ, nisab emas bersamaan dengan 20 dinar adalah sama nilainya dengan 200 dirham nisab perak.
Namun, dengan berlalunya masa, kedua-dua nilai tersebut tidak lagi seimbang. Hari ini terdapat perbezaan yang amat besar antara nisab emas dan nisab perak. Pada masa kini, nisab emas ialah 85 gram, manakala nisab perak ialah 595 gram, dengan perbezaan nilai kedua-duanya sangat ketara.
Dari sinilah timbul persoalan dan khilaf, adakah penentuan nisab wang kertas hendaklah berdasarkan emas atau perak?
- Pendapat yang menetapkan berdasarkan emas beranggapan: sesiapa yang memiliki nilai kurang daripada 85 gram emas, maka tidak wajib zakat ke atasnya. Ini kerana mereka melihat dari sudut zakat itu diwajibkan di atas kekayaan yang dimiliki.
- Pendapat yang menetapkan berdasarkan perak pula beranggapan: sesiapa yang memiliki nilai bersamaan 595 gram perak, maka wajib zakat ke atasnya. Berdasarkan pandangan ini, kebanyakan orang awam akan tertakluk ke atasnya kewajipan zakat.
Hujah pihak yang berpendapat nisab wang kertas ditentukan berdasarkan perak:
- Nisab perak disepakati ulama dan sabit dalam hadis-hadis sahih yang masyhur.
- Penetapan dengan perak lebih memberi manfaat kepada golongan fakir miskin, kerana dengan kiraan ini zakat akan diwajibkan kepada lebih ramai umat Islam.
Manakala hujah pihak yang berpendapat nisab wang kertas ditentukan berdasarkan emas:
- Nilai emas lebih stabil dan tidak banyak berubah, berbeza dengan perak.
- Pada zaman Nabi ﷺ 20 dinar emas (nisab zakat) mampu membeli sekitar 20 ekor kambing Hijaz. Demikian juga dengan 200 dirham perak (nisab zakat) juga boleh membeli jumlah yang sama. Keadaan ini sama sekali berbeza dengan zaman sekarang. Kestabilan nilai emas ini lebih dapat memenuhi hikmah asal penetapan nisab, tidak seperti nisab perak. Justeru, nisab emas lebih menghampiri kepada kadar nisab bagi jenis harta zakat lain seperti, lima ekor unta, empat puluh ekor kambing, atau lima awsuq bagi kurma atau anggur kering.
- Asal sandaran bagi nilai wang kertas adalah emas, bukan perak.
Kedua:
Wang kertas tidak pernah digunakan pada zaman fuqaha’ terdahulu. Oleh sebab itu, mereka tidak pernah membicarakan hukumnya secara khusus. Dalam “أبحاث هيئة كبار العلماء بالمملكة العربية السعودية” (1/61) disebut:
لم تكن الأوراق النقدية معروفة عند قدماء فقهاء الإسلام ؛ لعدم تداولها في زمنهم، فلذا لم نجد منهم من تعرض لحكمها.
“Wang kertas tidak dikenali oleh fuqaha Islam terdahulu kerana ia tidak digunakan pada zaman mereka. Oleh sebab itu kita tidak mendapati seorang pun daripada mereka yang membicarakan hukumnya.”
Namun, pada zaman mereka terdapat emas, perak dan barang dagangan (عروض التجارة). Oleh itu mereka membincangkan hukum yang berkaitan barang-barang ini, termasuk hukum menggabungkan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain bagi mencukupkan nisab zakat.
Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (23/268–269) dinyatakan:
ذَهَبَ الْجُمْهُورُ (الْحَنَفِيَّةُ وَالْمَالِكِيَّةُ وَهُوَ رِوَايَةٌ عَنْ أَحْمَدَ وَقَوْلُ الثَّوْرِيِّ وَالْأَوْزَاعِيِّ) إلَى أَنَّ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ يُضَمُّ أَحَدُهُمَا إلَى الْآخَرِ فِي تَكْمِيلِ النِّصَابِ، فَلَوْ كَانَ عِنْدَهُ خَمْسَةَ عَشَرَ مِثْقَالًا مِنْ الذَّهَبِ، وَمِائَةٌ وَخَمْسُونَ دِرْهَمًا، فَعَلَيْهِ الزَّكَاةُ فِيهِمَا، وَكَذَا إنْ كَانَ عِنْدَهُ مِنْ أَحَدِهِمَا نِصَابٌ، وَمِنْ الْآخَرِ ما لا يَبْلُغُ النِّصَابَ يُزَكَّيَانِ جَمِيعًا، وَاسْتَدَلُّوا بِأَنَّ نَفْعَهُمَا مُتَّحِدٌ، مِنْ حَيْثُ إنَّهُمَا ثَمَنَانِ [أي: تثمن بها الأشياء]، وَيُتَّخَذَانِ لِلتَّحَلِّي. وَذَهَبَ الشَّافِعِيَّةُ وَهُوَ رِوَايَةٌ أُخْرَى عَنْ أَحْمَدَ وَقَوْلُ أَبِي عُبَيْدٍ وَابْنِ أَبِي لَيْلَى وَأَبِي ثَوْرٍ: إلَى أَنَّهُ لَا تَجِبُ فِي أَحَدِ الْجِنْسَيْنِ الزَّكَاةُ حَتَّى يَكْمُلَ وَحْدَهُ نِصَابًا؛ لِعُمُومِ حَدِيثِ: (لَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسِ أَوَاقٍ مِنْ الْوَرِقِ صَدَقَةٌ) ..... أَمَّا الْعُرُوض [أي: عروض التجارة] فَتُضَمُّ قِيمَتُهَا إلَى الذَّهَبِ أَوْ الْفِضَّةِ وَيَكْمُلُ بِهَا نِصَابُ كُلٍّ مِنْهُمَا. قَالَ ابْنُ قُدَامَةَ: لَا نَعْلَمُ فِي ذَلِكَ خِلَافًا
“Jumhur ulama (Hanafiyyah, Malikiyyah, satu riwayat daripada Ahmad, serta pendapat al-Thawri dan al-Awza‘i) berpendapat bahawa emas dan perak boleh digabungkan bagi mencukupkan nisab. Jika seseorang memiliki 15 mithqal emas dan 150 dirham perak, maka zakat wajib atas kedua-duanya. Begitu juga jika dia mempunyai salah satu daripada keduanya (emas dan perak) yang mencukupi nisab, dan yang satu lagi kurang daripada nisab, maka kedua-duanya tetap dizakatkan. Mereka berdalil bahawa manfaat keduanya adalah sama dari sudut kedua-duanya menjadi ukuran nilai dan alat tukaran, dan juga digunakan untuk perhiasan. Manakala mazhab al-Syafi‘iyyah, serta satu riwayat lain daripada Imam Ahmad. Manakala Abu ‘Ubayd, Ibn Abi Layla dan Abu Thawr pula berpendapat: “Tidak wajib zakat pada salah satu daripada dua jenis (emas atau perak) itu sehinggalah mencukupi nisabnya secara sendiri. Ini berdasarkan keumuman hadis: “Tidak ada zakat pada perak kurang daripada lima uqiyyah.” Adapun barang dagangan (عروض التجارة), nilainya boleh digabungkan dengan emas atau perak bagi mencukupkan nisab. Ibn Qudamah berkata: “Kami tidak mengetahui ada khilaf dalam hal ini.”
Ketiga:
Pendapat wang kertas digabungkan dengan emas atau perak bagi mencukupkan nisab zakat adalah keputusan rasmi Majma’ Fiqhi di bawah Rabitah ‘Alam Islami, juga keputusan Hay’ah Kibar al-‘Ulama’ di Arab Saudi, dan juga fatwa al-Lajnah ad-Da’imah lil Ifta’ di Arab Saudi.
Dalam keputusan rasmi Majma’ Fiqhi di bawah Rabitah ‘Alam Islami “قرار المجمع الفقهي التابع لرابطة العالم الإسلامي” disebut:
وجوب زكاة الأوراق النقدية إذا بلغت قيمتها أدنى النصابين من ذهب أو فضة، أو كانت تكمل النصاب مع غيرها من الأثمان [الذهب والفضة] والعروض المعدة للتجارة.
“Wajib zakat ke atas wang kertas jika nilainya mencapai kadar nisab paling rendah antara emas atau perak, atau apabila wang kertas digabungkan dengan selainnya (emas/perak) atau barang dagangan lain hingga mencukupi nisab.” (Keputusan no. 6, hlm. 101)
Dalam keputusan Hay’ah Kibar al-‘Ulama’ di Arab Saudi “قرار هيئة كبار العلماء في السعودية” (1/88) pula disebut:
وحيث إن الثمنية متحققة بوضوح في الأوراق النقدية ؛ لذلك كله فإن هيئة كبار العلماء تقرر بأكثريتها: أن الورق النقدي يعتبر نقداً قائماً بذاته، كقيام النقدية في الذهب والفضة وغيرها من الأثمان …ثانياً: وجوب زكاتها إذا بلغت قيمتها أدنى النصابين من ذهب أو فضة، أو كانت تكمل النصاب مع غيرها من الأثمان والعروض المعدة للتجارة إذا كانت مملوكة لأهل وجوبها.”
“Memandangkan sifat ‘thamaniyyah’ (nilai mata wang) jelas wujud pada wang kertas, maka Majlis Ulama Tertinggi berdasarkan pandangan majoriti memutuskan: wang kertas dianggap sebagai mata wang yang berdiri sendiri, sebagaimana emas, perak dan mata wang lain.… perkara itu membawa kepada implikasi hukum-hakam syarak seperti berikut:….
Kedua: Wajib zakat ke atasnya apabila nilainya mencapai nisab paling rendah antara emas dan perak, atau apabila digabungkan dengan athman lain atau barang dagangan hingga mencukupi nisab, sekiranya dimiliki oleh orang yang wajib menunaikan zakat.”
Dalam Fatwa al-Lajnah ad-Da’imah lil Ifta’ di Arab Saudi “فتاوى اللجنة الدائمة - المجموعة الثانية” (8/324) ditanya:
ما دليل إضافة المال إلى الذهب من أجل إخراج الزكاة إذا كان الذهب وحده لا يتوفر فيه شرط النصاب، وكذلك نفس الشيء بالنسبة للمال؟
“Apakah dalil menggabungkan wang dengan emas bagi tujuan zakat apabila emas sahaja tidak mencukupi nisab, dan begitu juga sebaliknya?”
Jawapan:
يجب ضم المال، سواء كان فضة أو نقداً ورقياً أو قيمة عروض تجارة إلى الذهب في تكميل النصاب؛ لأنه بمجموع المال والذهب يكمل النصاب، فوجب إخراج الزكاة، ولأن الواجب في العروض إخراج قيمته بأحد النقدين.”
“Wajib menggabungkan harta sama ada perak, wang kertas atau nilai barang dagangan dengan emas untuk mencukupkan nisab. Ini kerana dengan gabungan tersebut barulah nisab tercapai, maka zakat wajib dikeluarkan. Dan zakat pada barang dagangan wajib dikeluarkan berdasarkan nilainya menurut salah satu daripada dua mata tunai (emas atau perak).”
Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah “الموسوعة الفقهية الكويتية” (23/269) turut disebut:
أَمَّا الْعُرُوض فَتُضَمُّ قِيمَتُهَا إلَى الذَّهَبِ أَوْ الْفِضَّةِ وَيَكْمُلُ بِهَا نِصَابُ كُلٍّ مِنْهُمَا. قَالَ ابْنُ قُدَامَةَ: لَا نَعْلَمُ فِي ذَلِكَ خِلَافًا. وَفِي هَذَا الْمَعْنَى الْعُمْلَةُ النَّقْدِيَّةُ الْمُتَدَاوَلَةُ
“Adapun barang dagangan, nilainya digabungkan dengan emas atau perak untuk mencukupkan nisab setiap satu dari keduanya. Ibn Qudamah berkata: Kami tidak mengetahui ada khilaf dalam hal ini. Dalam konteks ini, mata wang kertas yang digunakan pada masa kini termasuk dalam makna yang sama.”
Kesimpulan:
Sememangnya terdapat perbezaan pendapat ulama dalam penentuan nisab wang tunai, sama ada berdasarkan nisab emas atau perak. Jika seseorang memiliki wang tunai dan emas yang secara berasingan tidak mencapai nisab, tetapi apabila digabungkan mencukupi kadar nisab emas atau perak, wajib zakat dikeluarkan ke atas keseluruhannya. Inilah pendapat jumhur fuqaha, dan merupakan keputusan rasmi badan-badan fiqh kontemporari serta fatwa beberapa tokoh ulama zaman ini.
