Soalan:
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanyakan soalan dalam kes musafir,
Umum kita tahu solat qasar (zohor, asar & isyak) adalah yang paling utama bahkan ada pendapat mengatakan wajib qasar bagi yang berstatus musafir kerana setiap kali bermusafir Nabi 100% pasti akan melakukan qasar tanpa pernah melakukan tamam.
Namun dalam kes saya dalam perjalanan ketika bermusafir (bukan dalam keadaan tergesa), saya lebih memilih untuk berhenti singgah solat berjemaah dengan imam masjid mukim kerana akses ke masjid yang mudah dalam laluan saya, jadi persoalan saya;
(1) Adakah perbuatan saya tersebut menyalahi sunnah? Kerana lebih mengutamakan solat berjemaah dengan imam mukim di masjid berbanding qasar sebagaimana yang dilakukan Rasulullah SAW dalam perjalanan safar?
(2) Dalam situasi saya yakni bermusafir tanpa ada darurat atau kecemasan dan berada di laluan yang mudah akses ke masjid, yang manakah lebih afdal? Adakah lebih afdal saya mengabaikan masjid untuk saya qasar sendirian di lain² tempat?
Mohon pencerahan dari pihak Mufti, terima kasih.
Jawapan:
Pertama: Qasar solat bagi seorang musafir adalah sunnat muakkad iaitu sunnah yang sangat dituntut dan tidak sepatutnya ditinggalkan dengan sepakatan para imam mazhab, kecuali satu pendapat yang diriwayatkan daripada al-Imam al-Syafi‘I yang menyatakan menunaikan solat secara tamam adalah lebih afdhal. Namun pendapat yang sahih dalam mazhab al-Syafi‘e ialah qasar itu lebih afdhal, seperti yang dinyatakan dalam al-Majmu’ oleh al-Nawawi, 4/218–223.
Dalil yang menunjukkan qasar itu lebih utama ialah Nabi ﷺ sentiasa mengqasarkan solat dalam semua permusafiran baginda, dan tiada satupun riwayat sahih yang menunjukkan baginda ﷺ pernah menunaikan solat secara tamam ketika bermusafir.
Anas bin Malik رضي الله عنه berkata:
خَرَجْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْمَدِينَةِ إِلَى مَكَّةَ فَكَانَ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ حَتَّى رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ
“Kami keluar bersama Nabi ﷺ dari Madinah menuju Makkah, dan baginda menunaikan solat dua rakaat-dua rakaat sehingga kami kembali ke Madinah.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari 1081 dan Muslim 724).
Abdullah bin Umar رضي الله عنهما berkata:
صَحِبْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَانَ لَا يَزِيدُ فِي السَّفَرِ عَلَى رَكْعَتَيْنِ، وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ كَذَلِكَ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ
“Daku bersahabat dengan Rasulullah ﷺ, dan baginda tidak menambah dalam solat ketika bermusafir melebihi dua rakaat; demikian juga Abu Bakar, Umar dan Uthman رضي الله عنهم.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari 1102 dan Muslim 689).
Melainkan pada akhir pemerintahan Uthman رضي الله عنه, beliau menunaikan solat secara tamam di Mina. Apabila sampai kepada Abdullah bin Mas‘ud رضي الله عنه bahawa Uthman رضي الله عنه menunaikan solat di Mina secara tamam empat rakaat, beliau berkata:
إنا لله وإنا إليه راجعون، صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمِنًى رَكْعَتَيْنِ، وَصَلَّيْتُ مَعَ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بِمِنًى رَكْعَتَيْنِ، وَصَلَّيْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بِمِنًى رَكْعَتَيْنِ
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji‘un. Aku telah solat bersama Rasulullah ﷺ di Mina dua rakaat, dan bersama Abu Bakar al-Siddiq رضي الله عنه di Mina dua rakaat, dan bersama Umar bin al-Khattab رضي الله عنه di Mina dua rakaat.” (al-Bukhari, 1084 dan Muslim 695).
Ibn Taymiyyah رحمه الله berkata:
ويكره إتمام الصلاة في السفر، قال أحمد: لا يعجبني، ونقل عن أحمد إذا صلى أربعاً أنه توقف في الإجزاء، ولم يثبت أن أحداً من الصحابة كان يتم على عهد النبي صلى الله عليه وسلم في السفر، وحديث عائشة في مخالفة ذلك لا تقوم به الحجة
“Makruh menunaikan solat secara tamam ketika musafir. Imam Ahmad berkata: “Aku tidak menyukainya (solat tamam ketika bermusafir).” Dinukilkan daripada Imam Ahmad bahawa jika seseorang solat empat rakat (dalam musafir), beliau tidak menyatakan hukum berkaitan apasah solat tersebut sah. Tiada juga sebarang riwayat yang menunjukkan seorang sahabat menunaikan solat secara taman ketika zaman Nabi ﷺ dalam permusafir. Adapun hadis Aisyah yang menyelisihi hal ini, maka ia tidak dapat dijadikan hujah.” (al-Ikhtiyarat, hlm. 32).
Ibn Qayyim al-Jawziyyah رحمه الله berkata dalam Zad al-Ma‘ad (1/464):
وكان صلى الله عليه وسلم يقصر الرباعية، فيصليها ركعتين من حين يخرج مسافراً إلى أن يرجع إلى المدينة، ولم يثبت عنه أنه أتم الرباعية في سفره البتة . وأما حديث عائشة أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يقصر في السفر ويتم، ويفطر ويصوم، فلا يصح، وسمعت شيخ الإسلام ابن تيمية يقول: هو كذب على رسول الله صلى الله عليه وسلم
“Baginda ﷺ sentiasa mengqasarkan solat empat rakaat menjadi dua rakaat bermula keluar bermusafir hingga kembali semula ke Madinah. Tiada bukti yang sabit menunjukkan baginda pernah menunaikan solat secara tamam empat rakaat dalam permusafiran baginda sama sekali. Adapun hadis Aisyah yang menyebut bahawa Nabi ﷺ kadang-kadang qasar dan kadang-kadang solat tamam, kadang-kadang berbuka dan kadang-kadang berpuasa, adalah tidak sahih. Aku mendengar Ibn Taymiyyah berkata: “hadis itu adalah dusta atas nama Rasulullah ﷺ.”
Tidak sabitnya riwayat-riwayat seumpama ini, menjadikan sebahagian para imam seperti Abu Hanifah dan Ibn Hazm رحمهما الله berpendapat qasar bagi musafir adalah wajib dan tidak boleh dia menunaikan solat secara tamam.
Namun pendapat yang rajih ialah pendapat jumhur atau majoriti ulama, bahawa qasar bagi orang yang bermusafir adalah sunnah yang digalakkan, bukan wajib, berdasarkan alasan perbuatan Uthman bin Affan dan Aisyah binti Abi Bakr رضي الله عنهما yang pernah menunaikan solat secara tamam ketika bermusafir. Majoriti ulama berkata jika qasar solat itu wajib, nescaya Uthman dan ‘Aisyah tidak akan menunaikan solat secara tamam. Para sahabat juga mengikuti solat ‘Uthman رضي الله عنه ketika beliau menunaikan solat secara tamam di Mina. Sekiranya menunaikan solat secara tamam bagi yang bermusafir itu haram, sudah tentu para sahabat tidak akan mengikuti solat beliau.
Al-Imam al-Syafi‘i رحمه الله berkata:
لو كان فرض المسافر ركعتين لما أتم عثمان ولا عائشة ولا ابن مسعود، ولم يجز أن يتمها مسافر مع مقيم
“Kalau seandainya solat dua rakaat itu wajib bagi musafir, nescaya Uthman, Aisyah dan Ibn Mas‘ud tidak akan menunaikan seccara tamam, dan tidak boleh juga bagi musafir untuk menunaikan solat seccara tama bersama orang yang bermukim.” (al-Umm, 1/159).
Kedua: Bagi seorang musafir yang masih dalam perjalanan sengaja mencari masjid untuk ditunaikan solat berjemaah secara tamam, jika perbuatan itu dilakukan kerana ada perkara-perkara tertentu yang dibenarkan oleh syarak yang hendak diperolehinya, tanpa beranggapan ia lebih baik, maka tidak mengapa, insya Allah. Namun kekal menunaikan solat secara qasar ketika dalam perjalanan adalah lebih utama dan melazimi meninggalkan solat secara qasar ketika dalam perjalanan adalah suatu tindakan yang tidak wajar. Daripada Ya’lā bin Umayyah رضي الله عنه, beliau berkata:
سألتُ عُمرَ بن الخطَّابِ رَضِيَ اللهُ عنه قلت: فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا، وقد أمَّن اللهُ الناسَ؟ فقال لي عُمرُ رَضِيَ اللهُ عنه: عجبتُ ممَّا عجبتَ منه، فسألتُ رسولَ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم عن ذلك فقال: ((صَدقَةٌ تَصدَّق اللهُ بها عليكم، فاقْبَلوا صَدقتَه
“Aku pernah bertanya kepada ‘Umar bin al-Khattab رضي الله عنه, aku berkata: “(Firman Allah:)Tidaklah menjadi kesalahan bagi kamu untuk mengqasarkan solat jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir (Surah al-Nisa’ 4:101), sedangkan sekarang Allah telah memberi keamanan kepada manusia?” Maka ‘Umar رضي الله عنه berkata kepadaku: “Aku juga merasa hairan sebagaimana engkau hairan, lalu aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang hal itu. Maka baginda ﷺ bersabda:
“(qasar) itu adalah sedekah yang Allah berikan kepada kamu, maka terimalah sedekah-Nya.” (Muslim 686)
Namun, apabila seseorang musafir telah sampai dan menetap di tempat yang dituju, para ulama yang berpandangan solat jemaah tidak wajib berbeza pendapat, antara sunnah qasar dan sunnah solat berjemaah, manakah antara keduanya yang lebih utama. Terdapat beberapa keadaan yang mungkin berlaku:
- Jika permusafiran itu secara berkumpulan, maka semua mereka menunaikan solat dua rakaat qasar secara berjemaah adalah lebih utama.
- Jika dalam kalangan mereka ada yang musafir dan ada yang bermukim, maka petunjuk Nabi ﷺ dalam keadaan ini ialah,
imam hendaklah dari kalangan mereka yang bermusafir. Maka imam menunaikan solat secara qasar dan memberi salam selepas dua rakaat, diikuti mereka yang juga bermusafir. Sementara orang yang bermukim berdiri untuk menyempurnakan bagi rakaat solat mereka.
Perkara ini berulang kali dilakukan oleh Nabi ﷺ ketika berada di Makkah. - Jika keadaan yang berlaku selain dari dua keadaan di atas, maka bagi seorang musafir yang telah sampai dan menetap di tempat yang dituju, pendapat yang rajih atau kuat ialah mengutamakan solat berjemaah secara tamam di masjid berbanding solat bersendirian secara qasar.
Seorang musafir yang solat mengikut imam yang solat secara tamam, wajib menunaikan solat secara tamam, kerana mengikut imam. Hal ini berdasarkan keumuman sabda Nabi ﷺ:
إِذَا سَمِعْتُمُ الإِقَامَةَ فَامْشُوا إِلَى الصَّلَاةِ، وَعَلَيْكُمْ بِالسَّكِينَةِ وَالْوَقَارِ وَلَا تُسْرِعُوا، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا
“Apabila kamu mendengar iqamah, maka berjalanlah menuju solat dengan tenang dan sopan, dan jangan tergesa-gesa. Apa yang kamu sempat (bersama imam), maka solatlah, apa yang kamu tertinggal, maka sempurnakanlah.” (al-Bukhari, 636 dan Muslim, 602)
Umum sabda baginda: “Apa yang kamu sempat, maka solatlah; dan apa yang kamu tertinggal, maka sempurnakanlah” mencakupi semua termasuk musafir yang solat di belakang imam yang solat empat rakaat.
Abdullah bin Abbas رضي الله عنهما pernah ditanya:
ما بال المسافر يصلي ركعتين إذا انفرد، وأربعاً إذا ائتم بمقيم؟! فقال: تلك السنة
“Mengapa musafir solat dua rakaat apabila bersendirian, tetapi solat empat rakaat apabila mengikut imam yang bermukim?”
Beliau menjawab: “Itulah sunnah.” (Muslim, 688 dan Ahmad, 1865).
Tuntutan solat berjemaah tidak gugur daripada musafir, kerana Allah ﷻ telah memerintahkannya walaupun dalam keadaan perang, sebagaimana firman-Nya:
وَإِذَا كُنْتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِنْهُمْ مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا فَلْيَكُونُوا مِنْ وَرَائِكُمْ وَلْتَأْتِ طَائِفَةٌ أُخْرَى لَمْ يُصَلُّوا فَلْيُصَلُّوا مَعَكَ
“Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada di tengah-tengah mereka, lalu engkau mendirikan solat untuk mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka berdiri bersamamu sambil membawa senjata mereka. Apabila mereka telah sujud (selesai rakaat pertama), maka hendaklah mereka berada di belakangmu, dan datanglah pula golongan yang lain yang belum solat, lalu mereka solat bersamamu.” (Surah al-Nisa’: 102).
Berdasarkan ayat ini, jika seorang musafir berada di suatu tempat selain negerinya sendiri, perkara yang terbaik ialah dia menghadiri solat berjemaah di masjid jika mendengar seruan azan.