Soalan:
Mana yang lebih utama antara jamak taqdim atau jamak ta’khir?
Jawapan:
Terdapat empat keadaan:
Keadaan Pertama
Jika seseorang berhenti pada waktu solat pertama dan berjalan atau bergerak pada waktu solat kedua, maka yang lebih utama ialah jamak taqdim.
Keadaan Kedua
Jika keadaannya bertentangan dengan yang pertama, maka yang lebih utama ialah jamak ta’khir.
Dalilnya: Telah sabit dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim daripada Anas رضي الله عنه bahawa beliau berkata:
ﻛﺎﻥ ﺭﺳﻮﻝ اﻟﻠﻪ ﺻﻠﻰ اﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﺇﺫا اﺭﺗﺤﻞ ﻗﺒﻞ ﺃﻥ ﺗﺰﻳﻎ اﻟﺸﻤﺲ ﺃﺧﺮ اﻟﻈﻬﺮ ﺇﻟﻰ ﻭﻗﺖ اﻟﻌﺼﺮ ﺛﻢ ﻧﺰﻝ ﻓﺠﻤﻊ ﺑﻴﻨﻬﻤﺎ فإﻥ ﺯاﻏﺖ ﻗﺒﻞ ﺃﻥ ﻳﺮﺗﺤﻞ ﺻﻠﻰ اﻟﻈﻬﺮ ﺛﻢ ﺭﻛﺐ.
“Adalah Rasulullah ﷺ apabila berangkat sebelum tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur), baginda menangguhkan solat Zuhur ke waktu Asar. Apabila baginda berhenti, baginda menjamakkan antara keduanya. Tetapi jika matahari telah tergelincir sebelum baginda berangkat, baginda solat Zuhur dahulu kemudian menaiki tunggangannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keadaan Ketiga
Jika seseorang berjalan atau bergerak dalam kedua-dua waktu solat tersebut.
Keadaan Keempat
Jika seseorang berhenti dalam kedua-dua waktu solat tersebut.
Dalam dua keadaan ini (ketiga dan keempat), adakah yang lebih utama jamak taqdim atau jamak ta’khir?
Pilihan Ibn Hajar al-Haitami RH:
Beliau memilih jamak taqdim, sebagai langkah menyegerakan penunaian tanggungan (إبراء للذمة).
Pilihan al-Ramli dan al-Khatib RH:
Mereka berpendapat jamak ta’khir lebih utama disebabkan dua perkara:
Pertama:
Waktu solat kedua juga merupakan waktu bagi solat pertama dalam keadaan uzur, seperti jamak dan dalam keadaan darurat seperti apabila hilang halangan. Maka, ia (jamak ta'khir) adalah lebih utama berbanding waktu pertama (jamak taqdim), yang menjadi waktu bagi solat kedua hanya dalam keadaan uzur safar sahaja.
Kedua:
Untuk keluar daripada khilaf (perbezaan pendapat) golongan yang melarang jamak taqdim, seperti Imam Ahmad dan Ibn Hazm, dan keluar daripada khilaf adalah sesuatu yang disunatkan (مستحب).
