Isu-Isu Berkaitan Kafarah Sumpah
Sumber: https://www.aliftaa.jo/article/5645/ المسائل-المشهورة-في-كفارة-اليمين
Penterjemah: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak
Pendahuluan:
Kafarah (dari sudut bahasa):
مأخوذة من الكفر، وهو تغطية الشيء تغطية تستهلكه، وسميت كفارات لأنها تكفر الذنوب أي تسترها
Diambil daripada kata al-Kufr (الكفر) yang bermaksud menutupi sesuatu dengan tutupan yang menghapuskan kesannya(1). Dinamakan kafarah kerana ia menghapuskan dosa-dosdan menutupinya (2).
Kafarah dari sudut istilah:
فعل ما من شأنه أن يمحو الذنب: من عتق، وصدقة، وصيام، بشرائط مخصوصة
“Melakukan suatu perbuatan yang dapat menghapuskan dosa, seperti memerdekakan hamba, bersedekah dan berpuasa, dengan syarat-syarat tertentu.”(3)
Kafarah merupakan salah satu bentuk ihsan yang menghapuskan dosa. Allah Taala berfirman:
إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ
“Sesungguhnya amalan-amalan kebaikan itu menghapuskan kejahatan-kejahatan” (Hud: 114).
Maka sesiapa yang melakukan dosa kemudian menunaikan kafarah daripadanya, bererti dia telah melakukan kebaikan selepas dosa, dan diharapkan baginya keampunan terhadap dosa tersebut serta perlindungan Allah pada hari kiamat.
Antara hikmah kafarah ialah ia menguatkan dalam diri manusia perasaan taubat yang sebenar. Ia juga merupakan salah satu bentuk kerjasama dan kasih sayang sesama kaum Muslimin.
Kafarah memberi ketenangan kepada orang yang berdosa, kerana orang yang menunaikan kafarah terhadap dosanya merasakan bahawa dia sedang melakukan suatu amalan yang dengannya Allah menghapuskan dosa-dosa dan menutup kesilapan serta keterlanjurannya.
Oleh kerana kafarah termasuk dalam kategori ibadah, kerana padanya terdapat bentuk-bentuk ihsan seperti memerdekakan hamba, memberi makan dan nafkah, serta ibadah badaniah seperti berpuasa; maka ia menghilangkan kesan maksiat dari hati seorang hamba apabila dia merasakan kedekatannya dengan Allah, bahawa dia masih merupakan hamba Allah, masih menerima perintah-perintah daripada Tuhannya dan melaksanakannya, serta bahawa Allah mengampunkan dosanya dan menerima taubat, ketaatan dan ibadahnya.
Hukum Kafarah Sumpah:
Kafarah sumpah adalah wajib apabila orang yang bersumpah melanggar (حنث) sumpahnya.(4)
Sebab Kafarah Sumpah:
Kafarah sumpah mempunyai dua sebab: sumpah itu sendiri dan pelanggaran (الحنث) sumpah, kedua-duanya sekali (5). Pelanggaran sumpah (الحنث) ialah menyelisihi sumpahnya. Ibn Faris berkata:
الحنث في اليمين، هو الْخُلْف فيه
“Pelanggaran sumpah ialah mengingkarinya.” (6)
Syarat Wajib Kafarah ke atas Orang yang Bersumpah:
Kafarah menjadi wajib ke atas orang yang bersumpah dengan syarat-syarat berikut:
- Orang yang bersumpah itu hendaklah baligh dan berakal (7), berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ
“Diangkat pena daripada tiga golongan: daripada orang yang tidur sehingga dia terjaga, daripada kanak-kanak sehingga dia baligh, dan daripada orang gila sehingga dia berakal.” (8)
Maka jika kanak-kanak sebelum baligh bersumpah, tidak wajib ke atasnya kafarah, begitu juga jika orang gila bersumpah.
- Sumpah itu dilakukan dengan pilihan sendiri. Jika dia bersumpah kerana paksaan, maka tidak wajib ke atasnya kafarah. (9)
- Sumpah itu hendaklah dengan Zat Allah, atau salah satu daripada nama-nama-Nya yang khusus, atau salah satu daripada sifat-sifat-Nya. (10)
Sumpah yang Wajib Kafarah:
Kafarah wajib bagi sumpah yang terlaksana (اليمين المنعقدة), di mana sumpah yang terlaksana ditakrifkan sebagai:
توثيق كلام غير ثابت المضمون بذكر أحد أسماء الله عز وجل، أو ذكر صفة من صفاته، بصياغة مخصوصة
Mengukuhkan suatu ucapan yang (asalnya) tidak thabit kandungannya, dengan menyebut salah satu nama Allah atau salah satu sifat-Nya, dengan lafaz tertentu.”(11)
Adapun sumpah lagha (اليمين اللغو), maka tiada kafarah padanya. Ia ialah sumpah yang biasa diucapkan di lidah tanpa tujuan mengukuhkan atau menegaskan sesuatu perkara tertentu, seperti seseorang berkata: “Demi Allah, matahari sedang terbit” atau “Demi Allah, matahari telah terbenam”, atau ucapan seseorang kepada saudaranya: “Tidak, demi Allah” atau “Ya, demi Allah” tanpa niat sumpah (12). Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Sayidah ‘Aishah RA (13). Dalilnya ialah firman Allah Taala:
لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ
“Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan, tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu kuatkan.” (al-Baqarah: 89)
Adapun sumpah ghamus (اليمين الغموس), maka wajib ke atas orang yang bersumpah itu memohon keampunan kepada Allah atas dosanya jika dia bersumpah dalam keadaan mengetahui bahawa dia berdusta. Ia dinamakan ghamus kerana sumpah itu akan menenggelamkan pelakunya ke dalam api neraka (14). Orang yang melakukan sumpah ghamus wajib segera bertaubat dan melepaskan tanggungjawabnya daripada hak-hak manusia jika dengan sumpahnya itu dia telah mengambil sesuatu atau menzalimi orang lain. Demikian juga hendaklah dia menunaikan kafarah sumpah sebagai langkah berhati-hati, kerana para fuqaha berbeza pendapat tentang kewajipan kafarah dalam sumpah ghamus atau adakah kafarah memberi manfaat dalam kes ini atau tidak. Perkara yang lebih berhati-hati ialah menggabungkan antara taubat daripada sumpah ghamus dan kafarah.
Mendahulukan Kafarah sebelum Melanggar Sumpah:
Berdasarkan bahawa kafarah sumpah mempunyai dua sebab sebagaimana yang telah dijelaskan, maka dibolehkan menunaikan kafarah apabila salah satu daripada dua sebab itu telah berlaku, dan tidak disyaratkan kedua-dua sebab berlaku serentak. Maka dibolehkan seseorang menunaikan kafarah sebelum dia melanggar sumpah. Diharuskan dia menyegerakan kafarah sebelum pelanggaran sumpah jika kafarah itu berbentuk harta seperti pakaian, memberi makanan atau memerdekakan hamba (15).
Adapun puasa, maka tidak boleh dilakukan sebelum pelanggaran sumpah, kerana ia adalah ibadah badaniah yang tidak perlu didahulukan sebelum kewajipan, seperti puasa Ramadan (16). Juga kerana puasa hanya dibolehkan sebagai kafarah apabila seseorang tidak mampu melaksanakan semua bentuk kafarah yang bersifat harta, dan ketidakmampuan itu hanya berlaku selepas kewajipan kafarah wujud (17).
Pengecualian dalam Sumpah:
Maksud pengecualian dalam sumpah ialah mengaitkan sumpah dengan kehendak Allah, seperti seseorang berkata: “Demi Allah, aku pasti akan hadir esok, insya-Allah.” Jika dia berniat dengan ucapan insya-Allah untuk menggantungkan kehadirannya kepada kehendak Allah, maka tidak wajib ke atasnya kafarah sumpah jika dia tidak hadir, kerana maksud ucapannya ialah: demi Allah, jika Allah menghendaki kehadiranku, maka aku akan hadir.
Namun, jika seseorang menyebut insya-Allah tanpa niat pengecualian, sebaliknya telah menjadi kebiasaannya menyebut insya Allah, dan bukan dengan tujuan pengecualian, tetapi hanya sebagaimana firman Allah Taala:
وَلَا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَلِكَ غَدًا* إِلَّا أَن يَشَاء اللَّهُ
“Dan janganlah engkau mengatakan terhadap sesuatu: Sesungguhnya aku akan melakukan perkara itu esok hari, kecuali dengan mengatakan: insya-Allah.” (al-Kahfi: 23–24)
Maka dalam keadaan ini dia tetap wajib kafarah sumpah jika dia melanggar sumpahnya (18).
Bentuk Kafarah Sumpah:
Kafarah sumpah dilaksanakan dengan salah satu daripada bentuk-bentuk yang disebutkan dalam firman Allah Taala:
لَا يُؤَاخِذُكُمُ ٱللَّهُ بِٱللَّغْوِ فِىٓ أَيْمَٰنِكُمْ وَلَٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ ٱلْأَيْمَٰنَ ۖ فَكَفَّٰرَتُهُۥٓ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَٰكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍۢ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَٰثَةِ أَيَّامٍۢ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّٰرَةُ أَيْمَٰنِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ
“Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan, tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu kuatkan. Maka kafarahnya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada makanan sederhana yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu, atau memberi mereka pakaian, atau memerdekakan seorang hamba. Maka sesiapa yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa tiga hari. Itulah kafarah sumpah kamu apabila kamu bersumpah.” (al-Baqarah: 89)
Daripada ayat ini jelas bahawa kafarah sumpah adalah pilihan pada peringkat awal dan berturutan pada peringkat akhir (مخيرة ابتداءً مرتبة انتهاء)(19), iaitu seseorang diberi pilihan pada permulaan antara memberi makan, memberi pakaian atau memerdekakan hamba. Jika dia tidak mampu melakukan semua bentuk tersebut, barulah dia berpuasa tiga hari. Maka tidak boleh berpuasa kecuali setelah tidak mampu melakukan salah satu daripada bentuk-bentuk tersebut. Inilah maksud ia berturutan pada peringkat akhir.
Orang yang dianggap tidak mampu sehingga berpindah kepada puasa ialah orang fakir atau miskin yang boleh diberikan zakat dan kafarah (20).
Bersumpah untuk Melakukan Maksiat atau Meninggalkan Kewajipan:
Sesiapa yang bersumpah untuk melakukan maksiat, seperti berkata: “Demi Allah, aku akan mencuri harta si fulan”, atau bersumpah untuk meninggalkan kewajipan, seperti berkata: “Demi Allah, aku tidak akan menyambung silaturahim”, atau berkata: “Demi Allah, aku tidak akan bercakap dengan ibuku”, maka dia telah menderhakai Allah dengan sumpahnya. Dia wajib melanggar sumpah tersebut dan tidak meneruskannya, serta wajib ke atasnya kafarah sumpah (21).
Kadar Wajib Makanan dan Pakaian dalam Kafarah Sumpah:
Kadar wajib makanan ialah memberi makan sepuluh orang miskin, setiap seorang satu mudd atau cupak daripada makanan asasi negeri, sebagaimana zakat fitrah (22), yang dianggarkan kira-kira 600 gram mengikut ukuran timbangan semasa (23).
Kadar wajib pakaian ialah memberi setiap seorang miskin daripada sepuluh orang itu sesuatu yang dinamakan pakaian dan biasa dipakai, seperti baju, selendang (24) atau seluar (25). Tidak disyaratkan pakaian itu sesuai untuk penerima; maka sah memberi kepada lelaki pakaian kecil atau pakaian wanita. Juga tidak disyaratkan pakaian itu baru, bahkan dibolehkan pakaian terpakai yang masih elok dan belum hilang kekuatannya untuk digunakan (26).
Wajib mengeluarkan satu-satu kafarah daripada satu jenis sahaja, sama ada makanan atau pakaian. Tidak dibolehkan memberi makan kepada lima orang dan memberi pakaian kepada lima orang yang lain.
Adakah Disyaratkan Sepuluh Orang dalam Satu Kafarah?
Wajib memberi makan atau pakaian kepada sepuluh orang miskin, dan tidak mencukupi jika diberikan kepada kurang daripada sepuluh orang. Ini adalah pendapat jumhur fuqaha: Malik (28), al-Shafi‘I (29) dan Ahmad dalam pendapat al-Sahih daripadanya (30).
Manakala Al-Awza‘i membenarkan pemberian kafarah kepada seorang sahaja (31). Dalam mazhab Hanafi (32) dan satu riwayat daripada Ahmad (33), dibolehkan memberikannya kepada seorang miskin atau beberapa orang miskin kurang daripada sepuluh, dengan syarat ia tidak diberikan sekaligus, tetapi diagihkan kepada seorang miskin selama sepuluh hari, atau kepada dua orang miskin selama lima hari, dengan memberi setiap seorang makanan satu hari, dan demikian seterusnya, sehingga dianggap telah memberi makan kepada sepuluh orang miskin tanpa memberikan kepada mana-mana seorang, lebih daripada kadar makan seorang miskin.
Jika terdapat kesukaran dalam melaksanakannya, atau tidak mampu mencari sepuluh orang miskin, atau sukar menyampaikannya kepada mereka selama beberapa hari, atau terdapat satu keluarga yang sangat memerlukan, maka dibolehkan memberikannya kepada mereka atau kepada sesiapa yang mampu disampaikannya kepada mereka, berdasarkan pendapat Imam al-Awza‘i, dan ia merupakan pendapat kedua dalam mazhab Hanafi (34).
Mengeluarkan Nilai Wang sebagai Ganti Makanan atau Pakaian:
Pandangan al-Mazhab, tidak dibolehkan mengeluarkan nilai wang sebagai ganti makanan atau pakaian dalam kafarah sumpah. Bahkan wajib dikeluarkan dalam bentuk makanan atau pakaian (35), berpegang kepada nas ayat:
فكفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ
“Maka kafarahnya ialah memberi makan sepuluh orang miskin … atau memberi mereka pakaian, atau memerdekakan seorang hamba.” (al-Baqarah: 89)
Manakala mazhab Hanafi pula membenarkan pemberian nilai makanan atau pakaian dalam bentuk wang bagi kafarah sumpah (36).
Memberi Kafarah Sumpah kepada Kaum Kerabat:
Dibolehkan memberi kafarah sumpah kepada fakir dan miskin daripada kalangan kaum kerabat yang tidak wajib ditanggung nafkah mereka, seperti saudara lelaki, bapa saudara, bapa saudara sebelah ibu, sepupu dan selainnya yang tidak wajib memberi nafkah kepada mereka. Adapun mereka yang wajib ditanggung nafkahnya, seperti ibu bapa, isteri dan anak-anak sendiri yang masih kecil, maka tidak dibolehkan memberikan kafarah kepada mereka (37).
Kewajipan Segera atau Bertangguh dalam Mengeluarkan Kafarah:
Maksudnya, adakah wajib ke atas orang yang melanggar sumpahnya untuk menunaikan kafarah dengan segera, atau boleh ditangguhkan ke waktu lain? Jawapannya: kafarah sumpah wajib dan boleh ditangguh dan bukan secara serta-merta atau segera (38).
Adakah Disyaratkan Niat ketika mengeluarkan Kafarah?
Disyaratkan niat ketika menyerahkan kafarah kepada orang miskin (39).
Adakah Perlu Memberitahu Orang Miskin bahawa Ia Kafarah?
Tidak disyaratkan untuk memberitahu orang miskin bahawa pemberian itu adalah kafarah. Memadai dengan niat, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
“Sesungguhnya amalan-amalan itu bergantung kepada niat.” (40)
Bolehkah Membayar Kafarah bagi Orang Lain?
Pembayaran kafarah bagi orang lain mempunyai beberapa bentuk:
- Jika orang yang wajib kafarah memberikan kepada seseorang sejumlah kafarah dalam bentuk makanan, pakaian atau nilai wang, dan memintanya menyerahkan kafarah itu kepada yang berhak, maka ini dibolehkan (41), kerana masuk dalam bab mewakilkan untuk penyerahan kaffarah.
- Dibolehkan membayar kafarah bagi pihak orang lain dengan izinnya, sama ada harta itu daripada orang yang wajib kafarah atau sumbangan daripada orang yang membayarnya.
- Dibolehkan seseorang meminta orang lain membayar kafarah bagi pihaknya. Jika orang itu membayarnya, maka kafarah itu sah, sama ada ia dibayar sebagai sumbangan atau kemudian orang yang berkafarah menggantikannya (42).
- Jika seseorang membayar kafarah bagi pihak orang lain tanpa izinnya, maka ia tidak dibolehkan dan kafarah itu tidak gugur daripada orang yang melanggar sumpah (43).
Orang yang Meninggal Dunia dan Masih Menanggung Kafarah Sumpah:
Sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan masih menanggung kafarah sumpah dan meninggalkan harta, maka kafarah dikeluarkan daripada hartanya sebelum dibahagikan kepada waris. Dikeluarkan bentuk kafarah yang paling rendah nilainya daripada tiga pilihan (44): memerdekakan hamba, memberi makan atau memberi pakaian, kerana meluaskan kafarah akan memudaratkan waris, dan tujuan kafarah tercapai dengan kadar yang paling minimum.
Jika si mati tidak meninggalkan harta, maka disunatkan bagi warisnya untuk menunaikan kafarah bagi pihaknya (45).
Puasa Kafarah: Perlu Berturut-turut atau Tidak?
Jika seseorang tidak mampu memerdekakan hamba, memberi makan dan memberi pakaian lalu berpindah kepada puasa, maka tidak disyaratkan puasa tiga hari itu dilakukan secara berturut-turut (46). Jika dilakukan secara berasingan, ia tetap mencukupi atau memadai.
Niat Puasa Kafarah:
Wajib berniat puasa dari malam hari bagi setiap hari puasa kafarah (47).
Menggabungkan Puasa Ramadan dan Puasa Kafarah:
Tidak dibolehkan menggabungkan niat puasa Ramadan dengan puasa kafarah (48).
Melanggar Sumpah kerana Lupa, Jahil atau Dipaksa:
Dalam semua keadaan ini, seseorang tidak dianggap melanggar sumpah dan tidak wajib ke atasnya kafarah, serta sumpah itu tidak terbatal (49). Contoh seorang yang terlupa: seperti bersumpah tidak akan memakan sesuatu jenis buah atau makanan tertentu selama seminggu. Lalu dia terlupa dan memakan sebelum sempurna seminggu. Contoh seorang yang jahil: seperti dia bersumpah tidak akan bercakap dengan Zaid, namun bercakap dengan Zaid tanpa dia tahu orang tersebut Zaid disebabkan dalam suasana gelap atau seumpamanya, maka tiada kafarah ke atasnya dan sumpahnya juga masih tidak berbatal. Contoh seorang yang dipaksa; seperti dia bersumpah akan melakukan sesuatu perkara tertentu, setelah itu dia dipaksa untuk melakukan perkara tersebut, dia pula tidak mampu menentang paksaan tersebut, maka tidak wajib dia melaksanakan kafarah dan sumpanya juga masih belum terungkai.
Sumpah Berdasarkan Sangkaan Kuat:
Jika seseorang bersumpah berdasarkan sangkaan kuat, kemudian ternyata sebaliknya, maka tidak wajib kafarah, kerana sangkaan kuat disamakan kedudukannya dengan keyakinan dalam hukum.
Contohnya: seseorang bertanya kepadanya tentang Zaid, rakan sekerjanya, lalu dia berkata: “Demi Allah, dia tidak hadir hari ini,” berdasarkan sangkaan kuatnya —misalnya kerana pejabat Zaid kelihatan tertutup, atau dia tidak melihatnya di tempat kerja, atau dia tidak melihat kereta Zaid di tempat letak kereta — kemudian selepas itu ternyata Zaid sebenarnya ada. Dalam keadaan ini, tidak wajib kafarah ke atas orang yang bersumpah; kerana yang lebih kuat pada sangkaannya ialah Zaid tidak hadir bekerja pada hari itu. Dan sangkaan kuat (غلبة الظن) diberi kedudukan seperti yakin dalam penetapan hukum (50).
Bersumpah dalam Keadaan Lupa:
Jika seseorang melakukan sesuatu, kemudian lupa bahawa dia telah melakukannya lalu bersumpah bahawa dia tidak melakukannya, maka tidak wajib kafarah sumpah, kerana dia terlupa, berdasarkan firman Allah Taala:
رَبَّنَا لا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا
“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau tersalah.” (al-Baqarah: 286)
Adakah Kafarah Berulang dengan Pengulangan Sumpah?
Jika seseorang bersumpah beberapa kali atas satu perkara yang sama untuk tujuan penegasan, maka hanya satu kafarah yang wajib jika dia melanggar sumpah, sama ada sumpah itu diucapkan dalam satu majlis atau dalam beberapa majlis dan waktu yang berlainan. Jika dia bersumpah beberapa sumpah atas perkara-perkara yang berlainan, maka wajib kafarah bagi setiap sumpah yang dilanggar.
Bersumpah atas Orang Lain:
Jika seseorang berkata kepada orang lain: “Demi Allah, engkau mesti melakukan perkara ini,” atau “Aku bersumpah dengan Allah agar engkau melakukannya,” dan dia berniat sumpah itu sebagai sumpah dirinya untuk memaksa atau memastikan perkara itu berlaku, maka kafarah wajib ke atas orang yang bersumpah. Jika dia hanya berniat agar orang itu melakukannya, dengan menyebut nama Allah (التشفع عنده بالله), maka tiada kafarah ke atasnya jika orang yang disumpahkan itu tidak melaksanakannya (52).
Bersumpah dengan Selain Allah:
Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, seperti berkata: “Demi maruahku” atau “Demi nyawa ibuku” atau “Demi nyawa ayahku”, maka dia berdosa kerana bersumpah dengan selain Allah. Wajib ke atasnya memohon ampun dan bertaubat kepada Allah serta tidak mengulangi sumpah tersebut. Tidak wajib kafarah bagi sumpah-sumpah seperti ini.
Sumpah dalam Hati Tanpa Dilafazkan:
Jika seseorang bersumpah dalam hatinya tanpa melafazkannya, maka tidak wajib ke atasnya kafarah jika dia melanggarnya (53), berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ اللهَ تَجَاوَزَ لِأُمَّتِي مَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ يَتَكَلَّمُوا، أَوْ يَعْمَلُوا بِهِ
“Sesungguhnya Allah memaafkan umatku terhadap apa yang dibisikkan oleh hati mereka, selagi mereka tidak mengucapkannya atau melakukannya.” (54)
Memberi Kafarah kepada Masjid:
Kafarah tidak diberikan kepada masjid, kerana saluran kafarah telah ditetapkan oleh syarak sebagaimana yang disebut dalam ayat al-Quran:
فكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ
“Maka kafarahnya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada makanan sederhana yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu, atau memberi mereka pakaian, atau memerdekakan seorang hamba. Maka sesiapa yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa tiga hari.” (al-Baqarah: 89)
Perkara ini telah disepakati oleh para ulama(55).
Memberi Kafarah kepada Jawatankuasa Zakat atau Badan Kebajikan:
Dibolehkan orang yang wajib kafarah menyerahkannya kepada individu yang dipercayai, atau kepada tabung dan jawatankuasa zakat dan sedekah, atau kepada pertubuhan kebajikan yang dipercayai, dengan mewakilkan mereka untuk menyampaikannya kepada fakir dan miskin. Ini kerana kafarah ialah ibadah harta yang dibolehkan wakalah (56).
Menolak Nilai Kafarah daripada Hutang Orang Miskin:
Tidak dibolehkan menolak nilai kafarah daripada hutang yang ditanggung oleh fakir atau miskin, kerana kafarah memerlukan niat ketika menyerahkannya, dan ketika memberi hutang tidak ada niat kafarah. Selain itu, kafarah ialah ibadah harta seperti zakat yang tidak sah kecuali dengan penyerahan sebenar sehingga orang miskin memilikinya(57).
Memberi Kafarah Secara Berperingkat:
Tidak wajib memberikan kafarah sekaligus. Jika mampu disegerakan dalam satu masa, itu lebih baik. Jika tidak mampu dan mengeluarkannya secara berperingkat mengikut kemampuan, maka tiada halangan, kerana perintah yang ada tidak disertai petunjuk tambahan yang menunjukkan kewajipan segera atau penangguhan (58).
Ucapan “Aku Juga Begitu”:
Jika seseorang berkata: “Demi Allah, aku tidak akan melakukan perkara ini,” lalu orang lain berkata: “Aku juga begitu,” maka kafarah hanya wajib ke atas orang pertama, kerana orang kedua tidak menggunakan lafaz sumpah (59).
Perbuatan Dilakukan oleh Orang Lain:
Jika seseorang bersumpah bahawa dia sendiri tidak akan melakukan sesuatu perkara, lalu orang lain melakukan perkara itu bagi pihaknya, seperti seseorang berkata: “Demi Allah, aku tidak akan memasukkan peranti ini ke dalam rumahku,” Lalu peranti itu dibawa masuk oleh orang lain ke dalam rumahnya; maka dalam keadaan ini dia tidak dianggap melanggar sumpah dan tidak wajib ke atasnya kafarah, kerana dia bersumpah berkaitan dengan perbuatannya sendiri, dan dia tidak menyelisihi apa yang telah dia sumpahkan (60).
Kafarah kerana Ragu-ragu:
Jika seseorang ragu sama ada dia telah bersumpah atau tidak, maka tidak wajib kafarah, kerana hukum asal ialah tidak bersumpah (61).
---------------
Nota kaki:
([1]) ابن منظور، لسان العرب 5 /145.
([2]) الهروي، تهذيب اللغة 10 /114.
([3]) الخن وآخرون، الفقه المنهجي 3 /113.
([4]) العمراني، البيان في مذهب الإمام الشافعي 10 /585.
([5]) الشربيني، مغني المحتاج 6 /191.
([6]) ابن فارس، معجم مقاييس اللغة 2 /108.
([7]) الخن وآخرون، الفقه المنهجي 3 /12.
([8]) أبو داود، سنن أبي داود 4 /139 حديث رقم 4389.
([9]) النووي، روضة الطالبين 10 /282.
([10]) الخن وآخرون، الفقه المنهجي 3 /13.
([11]) مصطفى الخن وآخرون، الفقه المنهجي على مذهب الإمام الشافعي 3 /9.
([12]) الماوردي، الحاوي الكبير 15 /289.
([13]) البخاري، صحيح البخاري 8 /135 حديث رقم 6663.
([14]) العمراني، البيان في مذهب الإمام الشافعي 10 /488.
([15]) الماوردي، الحاوي الكبير 15 /291.
([16]) الشيرازي، المهذب 3 /116.
([17]) الأنصاري، أسنى المطالب في شرح روض الطالب 4 /245.
([18]) الشافعي، الأم 7 /65.
([19]) الأنصاري، فتح الوهاب بشرح منهج الطلاب 2 /245.
([20]) الشربيني، مغني المحتاج 6 /193.
([21]) النووي، روضة الطالبين 11 /20.
([22]) الشربيني، مغني المحتاج 6 /191.
([23]) الخن وآخرون، الفقه المنهجي 3 /18.
([24]) الدمياطي، إعانة الطالبين 4 /376.
([25]) الخن وآخرون، الفقه المنهجي 3 /18.
([26]) الدمياطي، إعانة الطالبين 4 /376.
([27]) النووي، روضة الطالبين 11/
([28]) الدسوقي، حاشية الدسوقي على الشرح الكبير 2 /132.
([29]) المزني، مختصر المزني 8 /399.
([30]) ابن قدامة، المغني 9 /544.
([31]) المرجع السابق 9 /544.
([32]) الكاساني، بدائع الصنائع في ترتيب الشرائع 5 /105.
([33]) ابن قدامة، المغني 9 /544.
([34]) المرغيناني، الهداية في شرح بداية المبتدي 2 /269.
([35]) الماوردي، الحاوي الكبير 15 /301.
([36]) السرخسي، المبسوط 2 /156.
([37]) الماوردي، الحاوي الكبير 15 /303.
([38]) العجيلي، حاشية الجمل على شرح المنهج 5 /296.
([39]) النووي، روضة الطالبين 8 /279.
([40]) البخاري، صحيح البخاري، حديث رقم (1).
([41]) المزني، مختصر المزني 8 /399.
([42]) ابن حجر، تحفة المحتاج في شرح المنهاج 8 /195.
([43]) الماوردي، الحاوي الكبير، 15 /311.
([44]) الشربيني، مغني المحتاج 6 /192.
([45]) الجويني، نهاية المطلب في دراية المذهب 18 /322.
([46]) الأنصاري، فتح الوهاب بشرح منهج الطلاب 2 /245.
([47]) الأنصاري، أسنى المطالب 3 /368.
([48]) النووي، روضة الطالبين 8 /308.
([49]) النووي، روضة الطالبين 11 /79.
([50]) العمراني، البيان في مذهب الإمام الشافعي 10 /553.
([51]) المنهاجي، جواهر العقود ومعين القضاة والموقعين والشهود 2 /246.
([52]) الشربيني، مغني المحتاج 6 /186.
([53]) العمراني، البيان في مذهب الإمام الشافعي 10 /88.
([54]) مسلم، صحيح مسلم.
([55]) ابن القطان، الإقناع في مسائل الاجماع 1 /373.
([56]) الماوردي، الحاوي الكبير 6 /496.
([57]) النووي، المجموع شرح المهذب 6 /210.
([58]) هيتو، الخلاصة في أصول الفقه 52.
([59]) ابن حجر، تحفة المحتاج في شرح المنهاج 10 /11.
([60]) الزحيلي، المعتمد في الفقه الشافعي 2 /542.
([61]) النووي، روضة الطالبين 11 /78.