Hukum Wanita Bersuami Melakukan Perbuatan Keji Berzina

Perbuatan zina termasuk di dalam dosa-dosa besar yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Firman-Nya:

 وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً

Maksudnya:  “Dan jangan kamu semua menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan pilihan.” (al-Isra’: 32)

Di dalam hadis, Nabi SAW bersabda:

لا يزني الزاني حين يزني وهو مؤمن

Maksudnya: “Tidak ada seseorang yang melakukan zina, dia memiliki iman ketika dia melakukan perbuatan keji itu.” (HR al-Bukhari)

Zina yang dilakukan oleh seseorang yang telah berkahwin adalah lebih besar dosanya, sama ada dia seorang suami mahupun seorang isteri. Hukuman syarak ke atas penzina muhsan ialah direjam sehingga mati berdasarkan perbuatan Nabi SAW dan hukuman ini disabitkan melalui kuasa hakim yang dilantik oleh pemerintah.

Para ulama berbeza pandangan berkaitan seorang wanita yang terlanjur melakukan zina. Apakah wajib ke atasnya istibra’ (memastikan bebas hamil) dengan beriddah? Terdapat tiga pandangan ulama:

Pertama: Ulama mazhab Hanafi, ulama mazhab Syafi’ie dan al-Thauri berpandangan tidak perlu beriddah, sama ada dia hamil atau tidak dari hubungan tersebut. Inilah juga pandangan yang diriwayatkan dari Abu Bakr al-Siddiq, ‘Umar dan ‘Ali RA berdalilkan hadis Nabi SAW:

الولد للفراش وللعاهر الحجر

Maksudnya: “Anak itu menurut firash dan penzina mendapati kerugian.”

Kedua: Pandangan muktamad di sisi ulama mazhab Maliki dan pandangan al-Mazhab di sisi ulama Hambali, juga pandangan al-Hasan dan al-Nakha’ie mengatakan wanita bersuami yang melakukan zina, wajib ke atasnya istibra’ tiga kali haid.

Ketiga: Salah satu pandangan lain di sisi ulama mazhab Maliki dan ulama mazhab Hambali dalam salah satu riwayat lain mengatakan wanita tersebut perlu beriddah selama sekali haid. (lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 29/337-338)

Di dalam al-Insaf dinyatakan:

فائدة : إذا وُطِئت امرأتُه أو سُرِّيَتُه بشبهة أو زنا : حرمت عليه حتى تعتد

Maksudnya: “Apabila disetubuhi seseorang wanita bersuami atau hamba sahayanya dengan persetubuhan syubhah atau persetubuhan zina. Diharamkan ke atas suami atau tuan hamba tersebut (menyetubuhi isteri atau hambanya) sehingga dia beriddah.” (al-Insaf 9/295. lihat juga al-Muqni’ Fi Fiqh al-Imam Ahmad bersama al-Mutli’ ‘Ala Abwab al-Muqni’ 2/697)

Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin mentarjihkan pandangan yang mengatakan tidak perlu istibra dengan beriddah. Beliau berkata:

وهذا القول أصح الأقوال ، لكن إن حملت ، على هذا القول ، لم يصح العقد عليها حتى تضع الحمل؛ لأنه لا يمكن أن تُوطأ في هذه الحال؛ لأن النبي صلّى الله عليه وسلّم (نهى أن توطأ ذات حمل حتى تضع).والفائدة من ذلك : أنها إذا كانت ذات زوج ، ما نقول للزوج : تجنبها إذا زنت مثلاً، بل نقول: لك أن تجامعها، ولا يجب عليك أن تتجنبها، إلا إن ظهر بها حمل ، فلا تجامعها، أما إذا لم يظهر بها ، فإنها لك. فلو قال قائل: ألا يحتمل أن تكون نشأت بحمل من وطء الزنا؟ نقول: هذا الاحتمال وارد، لكن قال النبي ـ عليه الصلاة والسلام ـ: (الولد للفراش وللعاهر الحجر)، فما دمنا ما تيقّنا أنها حملت من الزاني ، فإن الولد يحكم بأنه للفراش، وإذا حملت من الزاني ، وقلنا لزوجها: لا تطأها، فإنه يجوز أن يستمتع بها بغير الوطء ؛ لأنها زوجته، وإنما منع من الوطء من أجل أن لا يسقي ماءه زرع غيره

Maksudnya: “Inilah pandangan yang lebih sahih. Akan tetapi jika wanita itu telah hamil berdasarkan pandangan ini (ulama Hanafi), tidak sah akad perkahwinan dengannya sehinggalah dia melahirkan anak tersebut. Ini kerana tidak mungkin disetubuhi (wanita tersebut) dalam keadaannya (hamil anak zina) kerana Nabi SAW telah melarang disetubuhi wanita yang hamil (dari lelaki lain) sehinggalah wanita itu bersalin. Faedahnya: bahawa jika wanita itu bersuami, kita tidak katakan kepada suaminya: “jauhilah kamu dari isteri kamu yang telah berzina itu sebagai contoh. Bahkan kita katakan kepada sisuami, kamu boleh menyetubuhi isteri kamu yang berzina itu dan tidak semestinya kamu perlu menjauhinya, melainkan jelas dia telah hamil, maka (ketika itu) jangan kamu setubuhinya. Adapun jika belum jelas siisteri hamil (hasiil zina), maka kamu boleh menyetubuhinya. Jika ada yang berkata: “bukankah ada kemungkinan siisteri itu hamil dari zina?” Jawapan kita: “Kemungkinan itu ada. Akan tetapi Nabi SAW bersabda: “Anak itu menurut firash dan penzina mendapati kerugian.” Maka selagi tidak yakin siisteri itu telah hamil dari zina, maka anak yang dilahirkan hukumnya adalah anak suami. Namun jika siisteri telahpun hamil dari zina, kita katakan kepada suaminya: “Jangan kamu setubuhi isteri kamu,” agar dia tidak menumpahkan benihkan ke rahim yang telah ada kandungan dari orang lain.” (al-Syarh al-Mumti’ 13/232)

Dalam kitab yang sama pada halaman 382 beliau berkata:

بل إن القول المروي عن أبي بكر وجماعة من الصحابة رضي الله عنهم : أن المزني بها لا عدة عليها إطلاقاً ، ولا تُستبرأ، لا سيما إذا كانت ذات زوج؛ لقول الرسول عليه الصلاة السلام: (الولد للفراش)، بل ينبغي للإنسان إذا علم أن زوجته زنت ـ والعياذ بالله ـ وتابت ، أن يجامعها في الحال ، حتى لا يبقى في قلبه شك في المستقبل هل حملت من جماع الزنا أو لم تحمل؟ فإذا جامعها في الحال ، حمل الولد على أنه للزوج وليس للزاني .أما إذا كانت المرأة الزانية ليس لها زوج ، فلا بد أن تستبرئ بحيضة على القول الراجح

Maksudnya: “Bahkan pandangan yang diriwayatkan daripada Abu Bakar dan sekumpulan dari kalangan sahabat lain RA mengatakan wanita yang berzina tiada iddah itlaqan dan tidak diminta beristibra'. Terutamanya bagi wanita yang bersuami berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Anak itu menurut firash.” Bahkan yang sepatutnya bagi seseorang yang mendapat tahu isterinya telah berzina - kita memohon perlindungan dengan ALlah - dan siisteri itu pula telah bertaubat, hendaklah sisuami menyetubuhinya segera agar tidak ada sebarang keraguan di dalam hatinya pada masa akan datang apakah isterinya itu hamil dari zina atau tidak? Jika dia segera menyetubuhi isterinya, dipikul anak yang dikandung itu adalah anak sisuami bukan dari penzina. Adapun bagi wanita bujang yang berzina, hendaklah melaksanakan proses istibra dengan sekali haid berdasarkan pandangan yang rajih.”


Cetak  
Wallahu a'lam