SDI 1204: Apakah Jual-Beli Secara Bida & Lelong Itu Haram?

Fiqh Muamalat Jumlah paparan: 6548

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz, Harap ustaz dan keluarga dalam keadaa sihat.

Ade 2 soalan yg ingin diajukan.

1. Musim skrg di FB org jual barang bidding, auction , lelong contoh : mula dgn $5 den bole naik sehingga $40.

Adakah ia termasok dalam “Najash” yg dilarang nabi dalam hadith nya?

2. Ade pandangan menyatakan perbezaan Rasul dan nabi itu kn meyampaikan syariat baru yg mane nabi hanya sampaikan continuation of syariat yg sebelomnya..

Persoalan saye : Nabi Adam A.S adakah die membawa syariat baru? Yg membuat Nabi Adam A.S menjadi Antara 25 rasul.

Jawapan: 

1. Asas بيع المزايدة jual-beli barang secara bida dan lelong adalah harus apabila memenuhi syarat-syaratnya. Inilah pandangan majoriti ulama dengan berdalilkan hadis Anas bin Malik RA:

 أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَاعَ حِلْسًا وَقَدَحًا وَقَالَ مَنْ يَشْتَرِي هَذَا الْحِلْسَ وَالْقَدَحَ فَقَالَ رَجُلٌ أَخَذْتُهُمَا بِدِرْهَمٍ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَزِيدُ عَلَى دِرْهَمٍ مَنْ يَزِيدُ عَلَى دِرْهَمٍ فَأَعْطَاهُ رَجُلٌ دِرْهَمَيْنِ فَبَاعَهُمَا مِنْهُ

Maksudnya: "Bahawa Rasulullah SAW pernah menjual Jilsan (tikar atau pelapik utk duduk di tanah atau di atas tunggangan) dan mangkuk atau bekas makanan. Baginda berkata: "siapa mahu beli Jilsa dan mangkuk ini?" Kata seorang lelaki: "daku ambil (beli) barangan itu dengan harga satu dirham." Kata Nabi SAW: "Siapa nak belinya dengan harga lebih dari satu dirham?" Seorang lelaki lain (menawar) membeli barangan itu dengan harga dua dirham. Lalu baginda menyerahkan kedua-dua barangan itu kepadanya." (HR alTirmizi di dalam Sunannya, kata beliau: Hadis ini Hasan... dan menjadi amalan di sisi sebahagian ulama...") 

Najsyh النَجْش pula adalah suatu aktiviti yang diharamkan dalam perniagaan. Ia berlaku dalam bentuk: 

i. Kenaikan harga berlaku dengan adanya pihak yang sebenarnya tidak mahu membeli, sebaliknya kewujudannya hanya bertujuan memperdaya pembeli sebenar, bagi tujuan menaikkan lagi harga tawaran.

ii. Wujud pihak yang berpura-pura memiliki minat hendak membeli barangan yang ditawarkan dan memuji barang tersebut kerana memiliki pengetahuan luas dengannya bagi tujuan menaikkan harga barang.

iii. Pemilik barang atau wakilnya atau broker membuat dakwaan palsu telah mengeluarkan perbelanjaan yang besar bertujuan menipu bakal pembeli.

iv. Termasuk juga bentuk Najsyh yang diharamkan iaitulah apabila sesuatu jual beli hanya berlaku berdasarkan khabar berita, melihat gambar dan pembacaan yang digembar-gemburkan dengan ciri-ciri palsu barangan jualan. 

Jika jelas aktiviti Najsyh ini berlaku dalam sesuatu bida dan lelong maka ia menjadi HARAM.

2. Itulah pandangan sebahagian ulama berkaitan perbezaan antara Nabi dan Rasul. Demikian juga ulama berbeza pandangan akan status Nabi Adam AS apakah seorang Nabi atau seorang Rasul. Namun ia bukanlah satu tajuk dan persoalan besar. Tidak rosak dan tidak juga tercalar iman seseorang dengan dia berpegang dengan salah satu pandangan tersebut. 

Cuma, untuk mengatakan Nabi Adam membawa ajaran baru lalu itulah bukti baginda seorang Rasul, pada pandangan saya ia tidak tepat kerana tiada sebarang ajaran lain sebelum itu. Kesemua makhluk ketika itu mentauhidkan ALlah. Ajaran yang ada hanya Islam tiada ajaran lain.   

 

Cetak
Wallahu a'lam