SDI 1228: Hukum Jual-Beli Durian Musang King Dengan Harga RM98, Sedangkan Buah di Dalamnya Dua Ulas Sahaja

Fiqh Muamalat Jumlah paparan: 1648

Soalan: 

@Bin Sahak nak tanya. Nak tanya ada tak ulama bincang bab jual beli seperti beli durian Musang king dengan harga RM98, bila dibuka hanya ada dua ulas sahaja.

Beli durian macam ni nampak macam ikut nasib... harga sekilo dah tetap tapi tak tahu bilangan ulas...

Jawapan:

Jual-beli seperti itu tak dinamakan ikut nasib. Bahkan ia jual-beli yang sah. Manfaatnya juga diperolehi oleh pembeli sekalipun tidak seperti yang dijangkakan. Sekalipun ada unsur jahalah atau ketidaktahuan isi di dalamnya bagaimana, namun ia diberi kemaafan disebabkan ada keperluan untuk menjualnya bersama kulit-kulitnya. Bayangkan bagaimana perniagaan Durian boleh dijalankan jika setiap pihak yang terbabit bermula dari pekebun, pemborong dan peruncit kena belah buah terlebih dahulu untuk dilihat isinya? Sudah tentu ia suatu perkara yang mustahil.

Jika kita perhatikan, selain durian, buah-buahan lain juga demikianlah jual-belinya. Oren Sunkist, Manggis, Cempedak, Delima dan lain-lainnya kita beli dalam keadaan tidak dapat dipastikan apakah isi di dalam itu sama sepertimana yang kita kehendaki. Mungkin sahaja Oren Sunkist yang dibeli itu tawar rasanya, mungkin juga Delima yang dibeli busuk separuhnya dan macam-macam kemungkinan lagi. Namun jual beli seperti ini dibenarkan di dalam fiqh Islam disebabkan ada kesukaran untuk memastikan isinya sama ada dipihak penjual mahupun dipihak pembeli. Sekalipun demikian baik-buruk isi di dalamnya pada ghalibnya dapat dipastikan pada tanda-tanda di kulit luarnya. Hal ini membezakan ia dengan jual-beli janin lembu sebagai contoh yang masih berada di dalam perut ibunya dan susu yang masih di dalam kantung binantang yang ditegah di dalam fiqh Islam.

Keharusan jual-beli buah-buahan yang berada di dalam kulit seperti Durian ini disebut oleh Para fuqaha:

جواز بيع ما مأكوله في جوفه

Maksudnya: “harus jual-beli apa-apa yang dimakan darinya berada di dalamnya.”

Selain itu, bagi mengelak perkara yang meralatkan, para fuqaha membenarkan anda meletakkan syarat ‘ala al-Sikkin على السكين iaitulah syarat supaya dibelah terlebih dahulu buah tersebut. Itupun jika berlaku persetujuan antara anda dengan penjual. Syarat seperti ini di samping memberi kebaikan kepada pembeli, ia juga memberi kebaikan kepada penjual dari sudut “marketing perniagaan” yang dapat mendatangkan kepercayaan pembeli kepada peniaga  yang merupakan aspek penting dalam kejayaan sesuatu perniagaan.

Jika tiada syarat yang dipersetujui di awalnya, maka buah Durian tersebut sah jual-belinya, maka halal perpindahan milik buah dan harganya yang berlaku antara penjual dan pembeli.

Cetak
Wallahu a'lam