Hukum Jual Alatan Muzik

 

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh

Soalan dari Syukur Abdul Majid yang bertanya: “Secara sambilan saya menjual barangan lama simpanan saya seperti alat muzik, CD muzik, piring hitam dan lain-lain. Saya dimaklumkan bahawa hasil jualan tersebut adalah haram kerana barangan tersebut mempunyai unsur maksiat. Persoalan; Bolehkah saya menderma duit dari hasil jualan dan Adakah perbuatan menjual barangan tersebut juga haram? Mohon penjelasan Ustaz.”

Jawapan:

Wallahu ta'ala a'lam. Perkara berkaitan dengan alat muzik, CD muzik, terutamanya CD muzik dan piring hitam itu, jika lagu yang ada di dalam CD dan piring hitam itu termasuk dalam kumpulan lagu-lagu yang diharuskan, maka harus juga menjualnya dan halal duit yang diperolehi dari lagu-lagu tersebut.

Akan tetapi, jika lagu-lagu yang ada di dalam CD dan piring hitam itu termasuk dalam kumpulan lagu-lagu yang diharamkan, seperti ada unsur yang menyalahi akidah, ada unsur-unsur melampau dalam memuji wanita, atau memuja lelaki, secara mudahnya jika lagu-lagu yang ada di dalam piring hitam dan CD muzik itu bertentangan dengan syariah Islam, maka tidak boleh menjualnya dan hasil pendapatan yang diperolehi daripadanya adalah haram.

Manakala alat muzik, alat muzik, wallahu ta'ala a'lam, seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, saya memegang pandangan ulamak yang mengatakan harus bermain muzik selagi dia tidak melampau dan tidak mengganggu kewajipan-kewajipan yang lain.  

Jadi halal ataupun haram, dia kembali kepada persoalan yang saya nyatakan dengan melihat apa kandungan yang ada di dalam CD dan piring hitam tersebut. Jika halal kandungannya, maka pendapatannya juga halal, jika haram maka pendapatannya juga haram.  

Jika yang ada di dalam CD dan piring hitam itu lagu-lagu yang bertentangan dengan syariat Islam, maka tidak boleh jual kepada orang lain. Bahkan tak boleh ambil pendapatan daripadanya. Kerana apa? Kerana perkara-perkara yang seperti itu hendaklah dimusnahkan. Kalau kita jual, bermakna kita jual keburukan kepada orang lain, kita beri keburukan kepada orang lain, kita beri benda-benda yang bersalahan dengan syariat kepada orang lain. Kerana itu kita musnahkan apa-apa CD dan piring hitam yang memiliki kandungan yang menyalahi syarak. Manakala alat-alat muzik, perkara itu diharuskan.


Cetak  
Wallahu a'lam