SDI 1699: Hukum Mengambil Perlindungan Insuran Kesihatan

Soalan:

Ustaz apa hukum ambil insuran kesihatan untuk diri sendiri dan keluarga? 

Jawapan:

Saya terjemahkan di sini fatawa dari lamanweb Fatwa Jordan (https://www.aliftaa.jo : قرار رقم: (306) (14/ 2021) حكم التأمين الصحي):

Majlis Ifta’, Penyelidikan dan Kajian Islam dalam sesi ke-16 yang diadakan pada hari Khamis, 25 Jamadil Awwal 1443H, bersamaan 30 Disember 2021M, telah meneliti soalan bernombor (207233) yang diterima melalui laman web rasmi Jabatan Ifta’ Am. Soalan tersebut berbunyi: Saya bekerja di sektor swasta dan kami ditawarkan insurans kesihatan pilihan. Apakah hukum insurans kesihatan dalam keadaan ini. Dengan makluman bahawa syarikat saya bekerjasama dengan sebuah syarikat insurans dan memotong sebanyak 11 dinar, manakala baki selebihnya dibayar oleh Syarikat.

Setelah mengkaji dan membincangkan isu ini, majlis memutuskan perkara berikut:

Rawatan kesihatan adalah satu keperluan mendesak bagi orang ramai sebagaimana yang diperakui dalam prinsip maqasid syariah. Natijah dari perkembangan teknologi perubatan dan kepelbagaian teknologinya, menjadikan perlaksanaan rawatan terbeban kepada setiap individu, demikian juga adanya perkara yang boleh menyebabkan keperluan rawatan tidak dapat dipenuhi yang akan menjadikan seseorang individu terdedah kepada ancaman kesihatan.

Memandangkan keperluan umum berada pada kedudukan yang sama penting dengan darurat individu (الحاجة العامة تنزل منزلة الضرورة الخاصة), demikian juga syariat Islam dibina atas dasar menghilangkan kesulitan dan menghapuskan kemudaratan (رفع الحرج وإزالة الضرر), maka tidak ada halangan bagi seseorang pekerja mendapatkan insurans kesihatan yang disediakan oleh syarikat mereka melalui kontrak atau perjanjian dengan syarikat insurans. Begitu juga, tidak ada masalah bagi pekerja untuk memasukkan tanggungan mereka dalam perkhidmatan tersebut. Dalam masa yang sama, kami mengesyorkan semua majikan menyediakan insurans pekerja mereka melalui syarikat insurans yang mematuhi piawaian Islam.


Cetak  
Wallahu a'lam