Soalan:
Apakah hukum meletakkan hadiah tersembunyi di dalam barangan yang dijual? adakah ia dibenarkan atau tidak? Dan apakah syarat-syaratnya?
Jawapan:
Syarat dibolehkan meletak hadiah tersembunyi di dalam barangan yang dijual, hendaklah barangan tersebut dijual dengan harga yang sama seperti harga pasaran, tanpa sebarang kenaikan harga sebagai ganti kepada kemungkinan pembeli memperoleh hadiah tersebut. Jika tidak, maka hukumnya adalah haram kerana ketika itu kerana mengandungi unsur gharar (ketidaktentuan) dan maysir (perjudian). Ini kerana, jika pembeli membayar lebih semata-mata kerana ingin mendapatkan hadiah tersembunyi yang tidak diketahui jenis dan nilainya, maka dia sebenarnya membayar sesuatu untuk sesuatu yang tidak jelas dan ini adalah unsur gharar. Nabi ﷺ telah melarang jual beli yang mengandungi gharar, sebagaimana diriwayatkan oleh Muslim.
Jika pembeli membayar lebih semata-mata untuk peluang mendapat hadiah yang belum pasti itu, maka ini adalah bentuk perjudian yang nyata (maysir), kerana dia mungkin mendapat hadiah tersebut atau mungkin tidak mendapatnya. Jika dia mendapatkannya pun, hadiah itu mungkin lebih bernilai daripada apa yang dibayar, atau mungkin kurang nilainya. Allah ﷻ telah berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ* إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, berhala dan anak panah penentu nasib adalah najis daripada perbuatan syaitan, maka jauhilah ia agar kamu beroleh kejayaan. Sesungguhnya syaitan itu mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan dari sembahyang. Maka, mahukah kamu berhenti?" (Surah Al-Mā’idah: 90-91)