Hibah dari segi bahasa dari kata terbitan daripada وهب – يهب له شيئا، إذا أعطاه بلا عوض wahaba – yahabu sesuatu kepadanya, apabila seseorang memberikan sesuatu kepada orang lain tanpa gantian. (Tartib al-Qamus 4/661, Mukhtar as-Sihah hlm. 737)
Dari segi istilah, ia ialah: تمليك عين حالا بلا عوض menjadikan orang lain memiliki sesuatu secara langsung ketika itu tanpa gantian.
Al- Imam ar-Ramli رحمه الله berkata:
التمليك بلا عوض فإن ملك محتاجا أو لثواب الآخرة فصدقة وإن نقله إلى مكان الموهوب لَهُ إِكراما له فهدية فكل من الصدقة والهدية هبة ولا عكس
“Menjadikan orang lain memiliki sesuatu tanpa gantian; maka jika diberikan kepada orang yang berhajat atau kerana mengharapkan pahala akhirat, maka ia dinamakan sedekah. Dan jika dipindahkan ke tempat penerima hibah sebagai memuliakannya, maka ia dinamakan hadiah. Maka setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, tetapi tidak sebaliknya.” (Bahjatul Bayan Syarh Zaid bin Ruslan hlm. 231)
Para ulama telah sepakat bahawa hibah dikira daripada harta asal jika ijab dan qabulnya berlaku dalam keadaan pemberi hibah dalam keadaan sihat.
Jumhur ulama berpendapat hibah hanya terlaksana satu pertiga dari harta jika ijab, qabul dan penerimaan berlaku ketika pemberi hibah dalam keadaan sakit hendak mati.
Dalam permasalahan ini terdapat dua masalah penting yang perlu diberi perhatian:
- Jika hibah berlaku ketika pemberi hibah sihat tetapi tidak berlaku penerimaan (القبض) melainkan ketika pemberi hibah dalam keadaan sakit hendak mati. Maka jumhur berpendapat ia berada bawah hukum hibah ketika pemberi hibah dalam keadaan sakit hendak mati, kerana mengambil kira masa penerimaan (القبض). Jika pemberi hibah mati disebabkan sakit itu, hibah yang terlaksana hanya satu pertiga harta berdasarkan waktu penerimaan (القبض).
al-Khatib asy-Syirbini رحمه الله berkata:
ولو وَهَبَ في الصحةِ وَأَقْبَضَ فِي الْمَرَضِ اعْتُبِرَ مِنْ الثَّلْثِ أَيْضًا، إِذْ لَا أَثَرَ لِتَقَدُّمِ الْهِيَةِ
“Jika seseorang melakukan hibah dalam keadaan sihat tetapi penerimaannya berlaku dalam keadaan sakit (hendak mati), maka hibah hanya dilaksanakan satu pertiga juga, kerana tiada kesan akad hibah yang berlaku sebelum itu (sebelum sakit hendak mati jika pemilikan berlaku ketika sakit hendak mati).” (Mughni al-Muhtaj 4/79)
Mereka berhujah dengan atsar daripada Aisyah رضي الله عنها, katanya:
نَحَلَنِي أبو بكرٍ جَادَّ عِشْرِينَ وَسْقًا مِنْ مَالِ الْغَابَةِ، فَلَمَّا حَضَرَتْهُ الْوَفَاةُ،قَالَ: يَا بُنَيَّةُ مَا مِنَ النَّاسِ أَحَبُّ إِلَيَّ غِنًى بَعْدِي منك وَلا أَعَزُّ عَلَيَّ فَقْرًا بَعْدِي مِنْكِ، وَإِنِّي كُنْتُ نَحَلْتُكِ جَادَّ عِشْرِينَ وَسْقًا فَلَوْ كُنْتِ جَدَدْتِيهِ واحتزيتيه لكَانَ لَكِ، وَإِنَّمَا هُوَ الْيَوْمَ مَالُ الوَارِثٍ وَإِنَّمَا هُمَا أَخَوَاكِ وَأُخْتَاكِ، فَاقْتَسِمُوهُ عَلَى كِتَابِ الله، قَالَتْ: يَا أَبَتِ لَوْ كَانَ كَذَا وَكَذَا لَتَرَكْتُهُ إِنَّمَا هِيَ أَسْمَاءُ فَمَنِ الأُخْرَى قَالَ: ذُو بَطْنِ ابِنْة خَارِجَةَ، وأُرَاهَا جَارِيَةً
“Ayahku Abu Bakar telah menghadiahkanku kadar dua puluh wasq daripada harta al-Ghābah (hasil dari tanah milik Abu Bakar). Maka ketika ajalnya telah hampir, dia berkata: "Wahai puteriku, tiada seorang pun daripada manusia yang lebih aku suka dia menjadi kaya selepas kewafatanku daripadamu, dan tiada seorang pun yang lebih berat bagiku jika dia menjadi fakir selepas kewafatanku daripadamu. Sesungguhnya sebelum ini aku telah menghadiahkan kepadamu kadar dua puluh wasq. Maka sekiranya engkau telah menuai dan menguasainya, nescaya ia adalah milikmu. Akan tetapi pada hari ini ia adalah harta pusaka untuk ahli waris, mereka hanyalah dua orang saudaramu yang lelaki (Abdullah dan Muhammad) dan kedua orang saudaramu yang perempuan (Asma’ dan Ummu Kalthum – Anak Abu Bakar dari isterinya bernama Habibah binti Kharijah). Maka bahagi-bahagikanlah ia mengikut Kitab Allah." Aisyah berkata: "Wahai ayah, sekiranya begini dan begitu (jika apa yang engkau berikan kepadaku lebih dari sepatutnya), nescaya aku akan tinggalkannya (untuk diberikan kepada ahli waris lain). Sesungguhnya ia hanyalah Asmā’. Maka siapakah yang seorang lagi (Ummu Kalthum)?" Abu Bakar berkata: "Anak di dalam perut Khārijah (seorang lagi isteri Abu Bakar), dan aku mengira dia adalah seorang anak perempuan." (al-Badr al-Munir 7/144)
Kata al-Imam al-Baghawi RA sebagai istinbath dari athar ini:
وَفِيه دليلٌ على جَوَاز تَفْضِيل بعض الْأَوْلَاد فِي النِّحلة على بعض، وَأَن الْهِبَة لَا يحصُل بهَا الملكُ مَا لم يتَّصل بهَا الْقَبْض من الْمَوْهُوب لَهُ، وَأَن من وهب لوَارِثه شَيْئا، وَكَانَت الهبةُ فِي الصِّحَّة، وَالْقَبْض فِي مرض موت الْوَاهِب، كَانَ كابتداء الْعَطِيَّة فِي الْمَرَض، وَتَكون مَردودة
“Dan pada (kisah itu) terdapat dalil tentang harusnya melebihkan sebahagian anak dalam pemberian berbanding sebahagian yang lain, dan bahawa hibah tidak menjadikan pemilikan selagi tidak disertai dengan penerimaan oleh pihak yang diberi. Dan bahawa sesiapa yang memberi hibah sesuatu kepada ahli warisnya, hibah itu pula berlaku ketika dia dalam keadaan sihat, tetapi penerimaan berlaku ketika pemberi hibah dalam keadaan sakit hendak mati, maka ia sama seperti permulaan pemberian ketika sakit, dan hibah dikira tertolak.” (Syarh as-Sunnah al-Baghawi 8/303)
Hal ini sedemikian kerana, penerimaan (القبض) orang yang diberikan hibah adalah salah satu syarat sah dan hibah menjadi lazim. Maka apabila penerima hibah memperolehinya ketika pemberi hibah dalam sakit hendak mati, hukum hibah tersebut adalah hukum hibah yang dimulakan dalam sakit itu, dengan mengambil kira waktu sah dan ketika ia menjadi lazim
- Jika seseorang menghibahkan sesuatu kemudian meninggal sebelum sempat diterima (القبض) oleh penerima hibah, adakah hibah itu terbatal ataukah waris menggantikan kedudukan pemberi hibah untuk menyerahkannya?
Pendapat al-Asah menurut jumhur ialah hibah itu tetap sah dan waris menggantikan kedudukan pemberi hibah dalam penyerahan hibah tersebut.
al-Imam Zakariya al-Ansari رحمه الله berkata:
(وَلَوْ مَاتَ أَحَدُهُمَا قَبْلَ الْقَبْضِ لَمْ يَنفَسِحْ) عَقْدُ الْهِيَةِ؛ لِأَنَّهُ يَئُوْلُ إِلَى اللزُومِ..... (وَقَامَ الْوَارِثُ) أَي وَارِثُ الْوَاهِبِ فِي الْإِقْبَاضِ وَالْإِذْنِ فِي الْقَبْضِ وَوَارِثُ الْمُتَّهِب في القبض (مَقَامَهُ) أَي مَقَامَ الْمورث
“Jika salah seorang daripada mereka berdua (pemberi dan penerima hibah) mati sebelum penerimaan berlaku, maka akad hibah tidak terbatal, kerana ia akan kembali dengan menjadi lazim..… Dan waris pemberi hibah mengambil tempat pemberi hibah (boleh memilih) dalam penyerahan dan mengizinkan penerimaan, dan waris penerima hibah mengambil tempat penerima hibah yang telah mati dalam penerimaan.” (Asna al-Matalib 2/482)