SDI 1918: Hukum Jual- Beli Dengan Deposit Hangus

Fiqh Muamalat Jumlah paparan: 32

Soalan:

Saya bekerja sebagai orang tengah atau broker jual beli hartanah. Dalam banyak keadaan, saya menerima wang deposit atau ‘urbun (عربون) dan berjanji tidak akan menjualkan unit kediaman kepada pihak lain selama menunggu pemeteraian kontrak jual beli. Menurut kebiasaan yang diamalkan, wang tempahan ini tidak akan dipulangkan sekiranya pembeli membatalkan hasrat untuk membeli pada tarikh yang dipersetujui, kerana kami telah menanggung kos dan beban seperti perbelanjaan iklan, menahan unit kediaman yang dipersetujui dari pihak lain, maka sudah tentu kami akan kehilangan peluang lain untuk menjual disebabkan tempahan tersebut.

Apakah hukum wang ini yang berada dalam pegangan saya? Pembeli juga reda dan bersetuju wang deposit yang dibayarnya tidak akan dikembalikan, dan penjual pula reda untuk membatalkan jual beli serta menerima pampasan daripada sebahagian wang yang berada dalam pegangan saya?

 

Jawapan:

Majoriti fuqaha berpendapat tidak dibenarkan jual beli secara ‘urbun (wang deposit), berbeza dengan mazhab Hanbali yang mengharuskannya. Pendapat ini menjadi pilihan sebahagian fuqaha semasa dan menjadi keputusan  Majma’ al-Fiqh al-Islami (JK Fiqh Islami Antarabangsa)

Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Dr. ‘Abdullah al-Saif (عبد الله السيف) dalam tesis kedoktorannya bertajuk الوساطة العقارية وتطبيقاتها القضائية (Perantaraan Hartanah dan Aplikasinya dalam Kehakiman), di mana beliau membahaskan isu: siapakah yang berhak terhadap wang ‘urbun (deposit) sekiranya pembeli tidak menyempurnakan urus niaga?

Beliau menyatakan:

حينما يطلب راغب الشراء حبس الصفقة لصالحه مدة من الزمان، ويدفع عربونا لذلك على أنه إن أحضر بقية المبلغ، وإلا فالعربون يفوت عليه، ففي حال ما لم يتم المبلغ فإلى من يؤول العربون؟ يقال في تقرير المسألة: يظهر من كلام فقهاء المذاهب الثلاثة القائلين بالتحريم، عدم صحة بيع العربون، ووجوب رد الثمن المدفوع عربونا. أما على القول بصحة بيع العربون - وهو ما ظهر رجحانه فيما سبق - فمآل العربون يحتمل ثلاثة آراء:

- الرأي الأول: أن كل العربون يذهب إلى البائع، ولا يستحق الوسيط منه شيئا.

- الرأي الثاني: أن يكون مآل العربون مناصفة بين البائع وبين المكتب العقاري.

- الرأي الثالث: أن جميعه يذهب للمالك، وعليه أن يدفع للمجاعل عوضا عن جعالته. اهـ.

Apabila seseorang yang berminat untuk membeli meminta agar sesuatu transaksi ditahan (dari pihak lain) untuknya dalam tempoh tertentu, lalu membayar wang ‘urbun dengan syarat bahawa jika dia membawa baki harga maka urus niaga diteruskan, dan jika tidak, maka wang ‘urbun tersebut akan hangus, maka sekiranya baki harga tidak dibayar, kepada siapakah wang ‘urbun itu akan diberikan? Dalam membahaskan isu ini, dapat difahami daripada pandangan fuqaha tiga mazhab yang mengharamkan jual beli ‘urbun bahawa akad tersebut tidak sah dan wang yang dibayar sebagai ‘urbun wajib dipulangkan. Namun berdasarkan pendapat yang mengharuskan jual beli ‘urbun — dan itulah yang lebih kuat sebagaimana huraian lalu — maka kesudahan wang ‘urbun itu boleh difahami bawah tiga pandangan:

  1. Keseluruhan wang ‘urbun menjadi milik penjual, dan perantara tidak berhak sedikitpun daripadanya.
  2. Wang ‘urbun dibahagikan sama rata antara penjual dan pejabat hartanah (perantara).
  3. Keseluruhan wang ‘urbun menjadi milik pemilik (penjual), dan penjual wajib membayar upah kepada orang tengah sebagai ganti kepada khidmatnya.Dr. Abdullah al-Saif menguatkan pandangan ketiga, iaitu wang ‘urbun adalah hak penjual, kerana wang ‘urbun disyariatkan sebagai ganti rugi atas mudarat akibat menahan barang jualan untuk tempoh tertentu demi kepentingan pembeli.

Beliau juga menjelaskan bahawa hak orang tengah adalah seperti berikut:

Berdasarkan hal ini, tidak menjadi kesalahan bagi penanya untuk mengambil dan mengurus wang ‘urbun tersebut, selagi perkara itu dilakukan dengan pengetahuan dan keredaan penjual, sebagaimana difahami daripada kenyataan penanya: “dengan keredaan penjual untuk membatalkan jual beli dan diberi pampasan daripada wang yang berada dalam pegangan saya.”

 

Cetak
Wallahu a'lam