Hukum Meletakkan Syarat Sebelum Nikah Bakal Suami Tak Boleh Berpoligami

Tuesday, February 19, 2013

Soalan:

Assalamualaikum ustaz blh tlg jelaskan......kalau perempuan bg syarat kpd lelaki yang mahu memperisterikan nya ...dgn syarat lelaki itu tidak blh berkahwin selain daripadanye selagi mana dya mampu menjalankan tugas sbg seorg isteri talak akn terjatuh sekiranya si suami berkahwin lg ........dye tidak mengharamkan poligami. tp dye tdk mahu dimadukan .....blh ke ustaz..??????adakah ia dikira taklik????

Jawapan:

Ya, ia dikira taklik jika sisuami bersetuju. Syarat tersebut juga WAJIB dipenuhi. Inilah pandangan yang lebih kuat berdasarkan penilaian kami. Di bawah disertakan huraian lanjut:

Terdapat dua pandangan ulama dalam permasalahan ini.

PANDANGAN PERTAMA:

Perkahwinan tersebut SAH, manakala syarat tersebut tidak termeterai, iaitulah suami tidak wajib memenuhinya. Inilah Mazhab al-Syafie dan selainnya.

Dalil mereka adalah seperti berikut:

1.    Nabi SAW bersabda:

المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا أو أحل حراما

Mafhumnya:  “Orang Islam itu berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui oleh mereka, melainkan syarat yang mengharamkan perkara yang halal atau menghalalkan perkara yang haram.” (HR al-Tirmizi)

Berdasarkan hadis ini, menghalang suami dari berkahwin lain adalah perbuatan mengharamkan perkara yang halal. Maka syarat yang seperti ini tidak wajib dilaksanakan.

2.     Nabi SAW bersabda:

كل شرط ليس في كتاب الله فهو باطل،وإن كان مائة شرط

Mafhumnya: “Setiap Syarat yang tiada di dalam kitab Allah, maka ianya terbatal, sekalipun seratus syarat (yang diletakkan).” (al-Bukhari dan Muslim)

3.    Syarat seperti ini tidak termasuk di dalam maslahah akad, tidak juga termasuk dari kandungan tuntutan pensyariatan akad. Oleh itu ia tidak wajib dipenuhi.

PANDANGAN KEDUA:

            Perkahwinan dan syarat yang diletakkan adalah SAH. Wajib sisuami memenuhi syarat tersebut. Inilah pandangan kebanyakan Sahabat Nabi SAW seperti ‘Umar bin al-Khattab, ‘Amr bin al-‘Ash RA, demikian juga pandangan Tabi’ien seperti Syuraih al-Qadhi, al-Auzaie dan Ishak. Inilah juga pandangan dari ulama-ulama mazhab Hambali.

Dalil mereka adalah seperti berikut:

1.    Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah janji-janji kamu apabila kamu berjanji.” (al-Maidah:1)

2.    Hadis Nabi SAW:

المسلمون على شروطهم

Mafhumnya:  “Orang Islam itu berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui oleh mereka.” (al-Bukhari)

3.    Hadis Nabi SAW, dari ‘Uqbah bin ‘Amir:

أحق الشروط أن يوفى به ما استحللتم به الفروج

Mafhumnya: “Syarat-syarat yang lebih berhak dipenuhi iaitulah apa-apa yang menjadikan halal hubungan kelamin.” (HR al-Bukhari dan Muslm)

4.    Seorang lelaki mengahwini seorang perempuan dengan syarat wanita tersebut tidak dimadukan. Setelah itu berlaku pertelingkahan. Lalu kes tersebut diangkat kepada ‘Umar al-Khattab dan beliau berkata:

مقاطع الحقوق عند الشروط

Maksudnya: “Ketentuan-ketentuan hak itu menurut syarat-syarat (janji-janji yang telah dipersetujui).”  (Lihat al-Fatawa al-Kubra oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH 3/124.)

Riwayat ini di sini Ibn Abi Syaibah menyatakan:

أن رجلا تزوج امرأة وشرط لها دارها ثم أراد نقلها فخاصموه إلى عمر فقال: لها شرطها. فقال الرجل: إذا يطلقننا. فقال عمر: مقاطع الحقوق عند الشروط

Maksudnya: “Seorang lelaki mengahwini seorang perempuan, lalu berjanji tidak akan membawa isterinya keluar dari tempat tinggal isteri tersebut, setelah beberapa tempoh dia hendak membawa isterinya keluar dari tempat tinggal isterinya, menyebabkan mereka mengangkat perbalahan itu kepada ‘Umar al-Khattab. Kata ‘Omar: “Untuk siisteri, syarat yang telah termeterai.”  Kata lelaki tadi: “jika demikian, mereka (para isteri) akan mentalakkan kita (para suami). Kata ‘Omar RA: “Ketentuan-ketentuan hak itu menurut syarat-syarat (janji-janji yang telah dipersetujui).” (Melalui Irwa’ al-Ghalil 6/303, dinilai Sahih oleh al-ALbani)  

5.    Meletakkan syarat sebelum akad adalah termasuk di dalam perkara yang diizinkan oleh agama. Maka hadis:

كل شرط ليس في كتاب الله فهو باطل،وإن كان مائة شرط

Mafhumnya: “Setiap Syarat yang tiada di dalam kitab Allah, maka ianya terbatal, sekalipun seratus syarat (yang diletakkan).” (al-Bukhari dan Muslim) tidak boleh dijadikan alasan. Demikian juga Syarat ini tidak termasuk dalam mengharamkan perkara yang dihalalkan oleh agama. Kerana siisteri ada pilihan samada hendak memilih fasakh atau sebaliknya jika sisuami tidak menepati janjinya.


Cetak  
Wallahu a'lam