Assalamualaikum ustaz
Seorang isteri yang bercerai dengan suaminya buat kali ketiga adakah pantang larang dalam iddah sama dengan penceraian kali pertama atau kedua?
Jawapan:
Wa‘alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh
Ada persamaan dan ada perbezaan, antara persamaan, wanita yang dicerai dengan ba-in kubra, yakni cerai talak tiga, selagi dia ada di dalam iddah, dia tidak boleh berkahwin dengan sesiapa lagi. Demikian juga lelaki lain tidak boleh meminang dia secara jelas melainkan hanya boleh meminang secara kiasan sahaja. Boleh semak dalam web saya binSahak.com (Hukum Meminang Wanita dalam Iddah Talak Tiga) untuk melihat perincian dalam masalah lafaz meminang yang jelas dan lafaz meminang yang kiasan.
Selain dari itu perbezaan yang ada iaitulah wanita yang dicerai dengan talak tiga itu tidak lagi boleh merujuk dengan lelaki yang telah menceraikannya atau bekas suaminya, melainkan jika dia (isteri) berkahwin dengan lelaki lain dengan perkahwinan raghbah yakni perkahwinan yang memang dia hendaklah lalaki itu, kemudian jika berlaku perceraian, barulah dia boleh rujuk semula kepada bekas suaminya yang pertama. Itu antara beberapa perbezaan dan persamaan bagi wanita yang dicerai dengan talak tiga atau ba-in kubra.