Soalan:
Dalam mazhab Syafi‘e, apakah khulu’ dikira talak? Bagaimana pula dengan Fatwa Perlis, apakah sama dengan mazhab Syafie atau tidak?
Jawapan:
Dalam mazhab Syafi‘e, berdasarkan pandangan jadid, khulu’ ialah talak dan mengurangkan bilangan talak yang dimiliki oleh suami. Al-Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin 7/375 menyebut:
فَإِنْ فَارَقَهَا عَلَى عِوَضٍ بِلَفْظِ الطَّلَاقِ، فَهُوَ طَلَاقٌ سَوَاءٌ فِيهِ صَرِيحُ الطَّلَاقِ وَكِنَايَاتُهُ. وَإِنْ لَمْ يَجُزْ إِلَّا لَفْظُ الْخُلْعِ، فَقَوْلَانِ. الْجَدِيدُ، أَنَّهُ طَلَاقٌ يَنْقُصُ بِهِ الْعَدَدُ، وَإِذَا خَالَعَهَا ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ يَنْكِحْهَا إِلَّا بِمُحَلِّلٍ، وَالْقَدِيمُ: أَنَّهُ فَسْخٌ لَا يَنْقُصُ بِهِ الْعَدَدُ. وَيَجُوزُ تَجْدِيدُ نِكَاحِهَا بَعْدَ الْخُلْعِ بِلَا حَصْرٍ، وَالْجَدِيدُ هُوَ الْأَظْهَرُ عِنْدَ جُمْهُورِ الْأَصْحَابِ. وَرَجَّحَ الشَّيْخُ أَبُو حَامِدٍ، وَأَبُو مَخْلَدٍ الْبَصْرِيُّ الْقَدِيمَ
Maka jika si suami menceraikan isterinya dengan bayaran tebus talak menggunakan lafaz talak, maka ia adalah talak, sama ada dengan lafaz talak yang jelas mahupun dengan lafaz-lafaz kiasannya. Dan jika tidak dibenarkan melainkan dengan lafaz khul’, maka terdapat dua qaul: al-Jadid ialah: ia adalah talak yang mengurangkan bilangan (talak), dan jika suami telah melakukan khulʿ terhadap isterinya tiga kali, maka dia tidak boleh lagi mengahwini semula wanita tersebut kecuali setelah wanita itu menikahi lelaki lain (muhallil). Al-Qadim: ia adalah fasakh yang tidak mengurangkan bilangan (talak). Dan dibolehkan memperbaharui pernikahan selepas khul’ tanpa batasan. Pendapat al-Jadid adalah yang azhar menurut kebanyakan Ashab. Manakala al-Syaikh Abu Hamid serta Abu Makhlad al-Basri mentarjih pendapat al-Qadim.”
Manakala pandangan Fatwa Perlis berpandangan khulu’ adalah fasakh bukan talak. Ia berbeza dengan pandangan Jadid mazhab Syafi‘e, namun sama dengan pandangan Qadim mazhab yang telah ditarjihkan oleh sebahagian ulama mazhab. Fatwa Perlis juga mengatakan khulu’ tidak terhitung dalam jumlah talak.