Sunat Mengharapkan Anak Dari Perkahwinan

Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: “…Maka sekarang gaulilah mereka dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan Allah untuk kamu semua…” (al-Baqarah: 187)

Al-Imam Ibn Jarir al-Tobari menyatakan:

قَوْلُهُ: {فَالْآن بَاشِرُوهُنَّ} بِمَعْنَى: جَامِعُوهُنَّ; فَلِأَنْ يَكُوْنَ قَوْلُهُ: {وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّه لَكُمْ} بِمَعْنَى: وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّه فِي مُبَاشَرَتِكُمْ إيَّاهُنَّ مِنْ الْوُدِّ وَالنَّسْلِ

Mafhumnya: “Firman Allah: “Maka sekarang gaulilah mereka” membawa maksud: Setubuhilah mereka. Maka firmanNya: “dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan Allah untuk kamu semua” membawa maksud: carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah untuk kamu dengan menggauli para isteri yang terdiri dari rasa kasih sayang dan zuriat.”

Terdapat beberapa tujuan dalam hubungan suami isteri, antaranya:

  • Memenuhi tuntutan syahwat, mengharapkan keredaan dan pahala dari Allah SWT sepertimana hadith Nabi SAW:

وَ فِيْ بِضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ قَالُوْا يَا رَسُوْلَ اللهِ أَيَأْتِيْ أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُوْنُ لَهُ فِيْهَا أَجْرٌ قَالَ أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِيْ حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيْهَا وِزْرٌ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِيْ الْحَلَالِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ

Mafhumnya: “…dan apabila seseorang kamu mendatangi isterinya adalah sedekah. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah apakah seseorang kami yang memenuhi syahwatnya (dengan menggauli isterinya), dia memperolehi pahala? Baginda menjawab: Bukankah sekiranya dia memenuhi syahwatnya dengan cara yang haram dia akan memperolehi dosa? Demikian itu jugalah jika dia memenuhi tuntutan syahwatnya secara halal dia akan mendapat pahala.” (HR Muslim)

  • Mengharapkan dikurniakan anak dengan menggauli isteri, seterusnya anak itu membesar dan mentauhidkan Allah, ia meramaikan lagi orang-orang yang menyembah Allah. Sabda Rasulullah SAW:

تَزَوَّجُوْا الْوَدُوْدَ الْوَلُوْدَ فَإِنِّيْ مُكَاثِرٌ بِكُمْ الأَنْبِيَاء يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Mafhumnya: “Kahwinilah orang yang kamu cintai dan dapat melahirkan ramai anak, kerana aku berbangga dengan umat yang lebih ramai berbanding nabi yang lainnya pada  hari Kiamat.” (Dinilai Sahih oleh Ibn Hibban, demikian juga al-‘Iraqi di dalam Takhrij al-Ihya’)    

  • Dinaikkan darjat di akhirat, sabda Nabi SAW:

إنَّ الْعَبْدَ لَتَرْفَع لَهُ الدَّرَجَة فَيَقُوْلُ يَا رَبّ أَنَّى لِيْ هَذَا فَيَقُوْلُ بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ مِنْ بَعْدِكَ

Mafhumnya: “Sesungguhnya seseorang hamba akan dinaikkan darjat untuknya (di hari akhirat), lalu hamba itu bertanya: Wahai Tuhanku dari manakah aku memperolehi perkara ini? Firman Allah SWT: dari permohonan maaf anakmu untukmu.” (HR Ahmad, Ibn Majah dan al-Baihaqi. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah)


Cetak  
Wallahu a'lam