Soalan:
Setahu saya yang wajib saya taati ialah ibu dan bapa. wajibkah juga saya taati abang dan kakak saya?
Jawapan:
Sebelum menjawab soalan yang diajukan, perlu diketahui asas utama dalam hubungan sesama adik beradik ialah yang dewasa hendaklah mengasihi yang kecil, demikian pula yang kecil hendaklah menghormati yang dewasa. Pekara ini dinyatakan secara jelas oleh Nabi SAW dalam hadis baginda dari Anas bin Malik RA, daripada Nabi SAW yang bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا
maksudnya: "Bukan dari kalangan kami sesiapa yang tidak mengasihi orang yang lebih kecil dan tidak menghormati orang yang lebih besar." (HR al-Tirmizi dan dinilai Sahih oleh al-Albani)
Apakah wajib mentaati abang atau kakak?
Jawapannya ialah YA, mereka memiliki hak untuk ditaati terutamanya dalam situasi ketiadaan bapa atau ibu. Jika bapa atau ibu berada di rumah, maka ketaatan adalah kepada bapa dan ibu. Demikian juga jika semamngnya sedia dimaklumi, ibu dan bapa menghendaki keharmonian, saling tolong-menolong sesama adik-beradik, saling hormat-menghormati, yang kecil membantu yang besar, yang besar membantu yang kecil, yang besar bersikap penyayang kepada yang kecil, yang kecil mahu mematuhi bimbingan dari yang besar dan seumpamanya, maka semua ini termasuk dalam kewajipan juga.