SDI 1319: Wajibkah Seorang Isteri Taat Kepada Suami Yang Mengutamakan Ziarah Ahli Keluarganya Berbanding Keluarga Isteri?

Fiqh Usrah Jumlah paparan: 362

Tuesday, August 20, 2013

Soalan:

Apakah suami berhak menetapkan pada hari raya pertama mesti beraya di rumah keluarganya terlebih dahulu? Sebaliknya pada hari raya kedua baru pergi ke rumah keluarga isteri?

 

Jawapan:

Allah SWT mengarahkan kepada kedua-dua pasangan suami isteri untuk bergaul dengan cara yang baik di dalam firmanNya yang bermaksud: “dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” (al-Nisa’: 19)

Termasuk dalam ertikata pergaulan yang baik dari kedua-dua pihak ialah masing-masing bersungguh-sungguh berusaha untuk mewujudkan persefahaman sesama mereka dan menjauhi perbalahan dan pertelingkahan, saling beralah, bersikap lemah lembut dan menjalani kehidupan berumah tangga dengan penuh kesabaran dan bertolak-ansur. 

Namun jika perkara yang berlaku adalah sebaliknya. Maka ketaatan dari seorang isteri adalah dituntut dan didahulukan. Hal ini kerana mentaati suami yang meminta beraya di rumahnya terlebih dahulu bukanlah termasuk maksiat. Agama Islam telah memberikan hak yang cukup besar untuk seorang suami setelah memikulkan kepada mereka tanggungjawab yang cukup besar juga dalam berumahtangga. Sebaliknya agama telah memberi keringanan kepada para isteri dan keringanan tersebut tidak diberikan kepada para suami. Nabi SAW bersabda:

إذا صلت المرأة خمسها، وصامت شهرها، وحصنت فرجها، و أطاعت بعلها، دخلت من أي أبواب الجنة شاءت

Maksudnya: “Jika seseorang wanita itu menunaikan solat 5 waktu, berpuasa bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, taat kepada suaminya, dia boleh masuk ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki.” (HR Ahmad di dalam Musnadnya, demikian juga Ibn Hibban di dalam Sahihnya) 

Selain dari hadis ini, banyak lagi hadis-hadis lain yang sahih dengan jelas menunjukkan wajibnya seorang isteri memberikan ketaatannya kepada suami yang memiliki hak yang besar darinya. Kerana itu syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata di dalam Majmu’ al-Fatawa:

المرأة إذا تزوجت، كان زوجها أملك بها من أبويها، وطاعة زوجها عليها أوجب

Maksudnya: “Seorang wanita yang telah berkahwin, suaminya adalah lebih berhak terhadapnya berbanding kedua ibu-bapanya, taat kepada suaminya adalah lebih wajib.”  Kata beliau lagi:

فليس لها أن تخرج من منزله إلا بإذنه، سواء أمرها أبوها، أو أمها، أو غير أبويها، باتفاق الأئمة

Maksudnya: “Si isteri juga tidak boleh keluar dari rumah melainkan hendaklah mendapat izin dari suaminya terlebih dahulu, sama ada bapanya yang mengarahkan atau ibunya atau selain dari keduanya dengan kesepakatan para imam.”

 

Cetak
Wallahu a'lam