SDI 1410: Macamana nak buat dengan suami kaki maksiat?

Fiqh Usrah Jumlah paparan: 525

Wednesday, September 24, 2008

Soalan: 
 
Assalamualaikum Ustaz,

1) Jika seorang suami tidak solat/puasa, minum arak dan sbgnya, apakah patut si isteri teruskan perkahwinannya?
2) Jika dia masih bersama, adakah dia dikira bersubahat dlm maksiat yg dilakukan oleh suami?
3) Apakah doa yang boleh diamalkan agar suami bertaubat dan kembali pada isteri?

Sekian.
Wslam wrh

Jawapan:

1. Isteri tersebut hendaklah menasihati suaminya, jika suaminya enggan juga dan terus tidak solat dan puasa, meminum arak dan sebagainya, Isteri tersebut berhak meminta difasakhkan perkahwinan mereka di mahkamah. Maka dalam kes isteri tersebut, dia boleh rujuk kesnya di mahkamah syariah untuk permohonan fasakh iaitu permohonan membatalkan perkahwinan. Terutama jika suaminya itu mendatangkan mudharat kepadanya dan anak-anaknya dengan mabuk dan seumpamanya.

2. Tidak menjadi kesalahan seorang isteri tinggal bersama suaminya yang kaki maksiat, jika maksiat itu tidak sampai kepada had suaminya menjadi kufur. Terutama jika perceraian itu akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada dia dan anak-anak. Dia boleh taat terhadap suaminya tersebut dalam perkara yang makruf, seperti menjaga makan dan minumnya, memenuhi tuntutan syahwatnya dan seumpamanya, namun siisteri tidak boleh taat dalam perkara maksiat.

Di samping berdoa kepada Allah SWT untuk memberi hidayah kepada suami, siisteri juga boleh berusaha menasihati suami tersebut dengan cara yang terbaik, meminta bantuan dari keluarga suami apa yang boleh mereka bantu dan seumpamanya. Ini kerana jika siisteri biarkan perkara itu berterusan, ia boleh mendatangkan mudharat yang lain. Bayangkan seorang peminum arak, jika dia pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, besar kemungkinan dia akan menimbulkan mudharat yang lain lagi.

Jika dia dalam proses menasihati suaminya, insyaalah dia memperolehi pahala daripada Allah SWT.

Al-Syeikh ‘Abdul Khaliq al-Syarif di dalam laman islam-online ketika diminta nasihat oleh seorang wanita tentang suaminya yang tidak pernah menunaikan solat, berkata:
شكر الله لك حسن تمسكك بدينك والتزامك بأداء الصلاة، ودعوتك زوجك في هذا الأمر، الذي فرضه الله على المسلمين كافة، ولكن اعلمي أيتها الأخت الفاضلة :ـ أن الله تعالى قال: "وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلاةِ واصْطَبِرْ عَلَيْهَا..." سورة طه، وهنا جاءت الصاد والطاء زائدتين في الكلمة فإن الله ما قال واصبر عليها، بل قال واصطبر، أي ليكن منك مزيد الصبر عليها، أما امتناعك عن أن يأخذ حقه فننصحك بالرجوع عن هذا، فلعل دوام العشرة الطيبة ومزيد الأخلاق الفاضلة منك، وحسن المعاملة تجعله يفيق إلى أمره، ويعود إلى رشده، ويؤدي معك الصلاة، فإن ما لا يدرك بالأخلاق وبحسن العشرة لا يدرك بغيرها؛ ولأن في امتناعك عن استمتاع زوجك بك قد يؤدي به إلى معصية أخرى

Maksudnya: “Bersyukur kepada Allah yang menjadikan anda berpegang teguh dengan agama dan mendirikan solat, demikian juga kemahuan anda berdakwah kepada suami anda untuk mendirikan solat yang telah difardhukan oleh Allah kepada sekelian umat Islam. ketahuilah wahai puan, bahawasanya Allah taala berfirman (Maksudnya): “Suruhlah keluarga kamu mendirikan solat dan bersabarlah dalam melaksanakannya (solat).” (Surah Toha: 132). Di dalam ayat ini perkataan اصْبِر (bersabarlah) ditambahkan huruf “TO” membawa maksud “bersabarlah bersungguh-sungguh” dalam melaksanakannya. Adapun tindakan puan menghalang suami puan mendapatkan haknya, maka kami menasihati puan supaya tidak melakukannya lagi, mudah-mudahan dengan pergaulan puan yang baik dengannya dan akhlak puan yang baik dengannya menjadikanya mahu kembali sehingga dia mahu mendirikan solat. Adapun tindakan menghalang suami puan dari mendapatkan haknya sebagai suami terhadap anda, kadang-kadang ia boleh membawa kepada maksiat yang lain."

Namun jika dia memilih untuk berpisah dengan suaminya setelah beristikharah kepada Allah SWT, hendaklah dia redha dan bersabar serta mengharapkan balasan pahala daripada Allah atas ujian yang menimpanya.

3. Berdoalah dengan sebarang doa yang bersesuaian dengan hajat puan, Puan lebih mengetahui tentang keadaan puan. Gunalah bahasa puan sendiri, yang dengan bahasa tersebut puan dapat menghadirkan diri, menaruh harap kepada Allah SWT dan bergantung kepadaNya. Sesungguhnya Allah, tuhan yang memahami semua bahasa dan mendengar pengaduan hambaNya.
Cetak
Wallahu a'lam