Soalan:
Siapakah ahli keluarga yang wajib kita menjaga hubungan silaturahim dengan mereka?
Jawapan:
Berdasarkan dalil-dalil syarak, dapat difahami bahawa "arham (الأرحام)" merujuk kepada semua kaum qarabah dari pihak ayah dan ibu, sama ada yang dekat mahupun yang jauh. Seorang Muslim dituntut menyambung silaturahim dan berbuat baik kepada mereka. Tuntutan berbuat baik ini berbeza mengikut tahap kedekatan hubungan kekeluargaan antara kita dengan mereka. Semakin rapat hubungan kekeluargaan, semakin kuat tuntutan untuk menjalin hubungan silaturahim dengan mereka.
Imam Ibn Hajar al-Haitami رحمه الله berkata:
المراد بالأرحام - الذين يتأكد برهم وتحرم قطيعتهم - جميع الأقارب من جهة الأب أو الأم وإن بعدوا، ومن ثم قال في " الأذكار ": يستحب استحبابا متأكدا زيارة الصالحين والإخوان والجيران والأصدقاء والأقارب، وإكرامهم، وبرهم، وصلتهم، وضَبْطُ ذلك يختلف باختلاف أحوالهم ومراتبهم وفراغهم، وينبغي أن يكون زيارته لهم على وجه لا يكرهونه، وفي وقت يرضونه، والأحاديث والآثار في هذا كثيرة مشهورة
"Yang dimaksudkan dengan arham – yang sangat ditekankan untuk dipelihara hubungan baiknya dan haram diputuskan – adalah semua kaum kerabat dari pihak ayah atau ibu, walaupun mereka jauh (dari segi pertalian). Oleh sebab itu, disebutkan dalam kitab 'Al-Adzkar' bahawa sangat disunnatkan untuk menziarahi orang-orang soleh, sahabat, jiran, teman, dan kaum kerabat, serta memuliakan mereka, berbuat baik, dan menyambung hubungan dengan mereka. Namun, kadar serta cara menziarahi mereka berbeza mengikut keadaan mereka, kedudukan mereka, dan kesibukan mereka. Hendaklah ziarah itu dilakukan dalam keadaan yang tidak mereka benci dan pada waktu yang mereka senangi. Banyak hadis dan atsar yang menyebutkan perkara ini." (al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra (4/244), cetakan Maktabah al-Islamiyyah)
Kata al-Imam al-Nawawi RH dalam Syarh Muslim 16/113:
وَاخْتَلَفُوا فِي حَدِّ الرَّحِمِ الَّتِي تَجِبُ صِلَتُهَا فَقِيلَ هُوَ كُلُّ رَحِمٍ مَحْرَمٍ بِحَيْثُ لَوْ كَانَ أَحَدُهُمَا ذَكَرًا وَالْآخَرُ أُنْثَى حَرُمَتْ مُنَاكَحَتُهُمَا فَعَلَى هَذَا لَا يَدْخُلُ أَوْلَادُ الْأَعْمَامِ وَلَا أَوْلَادُ الْأَخْوَالِ وَاحْتَجَّ هَذَا الْقَائِلُ بِتَحْرِيمِ الْجَمْعِ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَعَمَّتِهَا أَوْ خَالَتِهَا فِي النِّكَاحِ وَنَحْوِهِ وَجَوَازِ ذَلِكَ فِي بَنَاتِ الْأَعْمَامِ وَالْأَخْوَالِ وَقِيلَ هُوَ عَامٌّ فِي كُلِّ رَحِمٍ مِنْ ذَوِي الْأَرْحَامِ فِي الْمِيرَاثِ يَسْتَوِي الْمَحْرَمُ وَغَيْرُهُ وَيَدُلُّ عَلَيْهِ قَوْلُهُ ﷺ ثُمَّ أَدْنَاكَ أَدْنَاكَ هَذَا كَلَامُ الْقَاضِي وَهَذَا الْقَوْلُ الثَّانِي هُوَ الصَّوَابُ وَمِمَّا يَدُلُّ عَلَيْهِ الْحَدِيثُ السَّابِقُ فِي أَهْلِ مِصْرَ فَإِنَّ لَهُمْ ذِمَّةً وَرَحِمًا وَحَدِيثُ إِنَّ أَبَرَّ الْبِرِّ أَنْ يَصِلَ أَهْلَ وُدِّ أَبِيهِ مَعَ أَنَّهُ لَا مَحْرَمِيَّةَ
Para ulama berbeza pendapat mengenai batasan hubungan rahim yang wajib dijalinkan hubungan. Ada yang berpendapat bahawa ia merangkumi setiap hubungan rahim yang mahram, dalam bentuk jika salah seorang daripadanya lelaki dan seorang lagi perempuan, maka perkahwinan antara mereka diharamkan. Berdasarkan pendapat ini, anak-anak kepada adik-beradik sebelah bapa (sepupu) dan anak-anak kepada adik-beradik sebelah ibu tidak termasuk dalam kategori hubungan rahim yang wajib dijalinkan hubungan. Golongan yang berpegang kepada pendapat ini berhujah dengan larangan mengumpulkan seorang wanita dengan ibu saudaranya (sama ada sebelah bapa atau ibu) dalam satu perkahwinan, sedangkan hal itu dibolehkan bagi sepupu (anak-anak bapa saudara atau ibu saudara sebelah bapa atau ibu). Sebahagian ulama lain pula berpendapat bahawa hubungan rahim yang wajib dijalinkan hubungan adalah umum merangkumi zawil arham dalam hukum faraid, sama ada mereka termasuk dalam kategori mahram atau tidak. Pendapat ini disokong oleh hadis Nabi ﷺ: "Kemudian orang yang lebih dekat denganmu, kemudian yang lebih dekat." Ini adalah pandangan al-Qadhi, dan pendapat kedua ini adalah yang lebih tepat. Antara dalil yang menguatkan pendapat ini ialah hadis yang telah lalu mengenai penduduk Mesir, di mana Baginda ﷺ bersabda bahawa mereka memiliki dzimmah (perlindungan perjanjian) dan hubungan rahim. Begitu juga dengan hadis: "Sesungguhnya kebaikan yang paling utama ialah seseorang menyambung hubungan dengan sahabat baik ayahnya," sedangkan hubungan ini bukan dalam kategori mahram.”
Oleh itu, disunnahkan bagi seorang Muslim menjalinkan hubungan dengan anak-anak sepupunya dengan apa jua bentuk kebaikan yang mampu dilakukan, seperti memberi bantuan kewangan, memenuhi keperluan mereka, menziarahi, menghubungi mereka, dan sebagainya. Namun, hubungan ini mestilah dijaga agar tidak melibatkan perkara yang dilarang oleh syarak, seperti percampuran bebas antara lelaki dan wanita bukan mahram, berdua-duaan, atau melihat sesuatu yang haram.
Selain itu, dalam menyambung silaturahim, seseorang tidak boleh mencampuri urusan orang lain dengan cara yang boleh merosakkan hubungan di antara mereka.