SDI 1792: Bapa Susuan Suami Apakah Mahram Kepada Isteri?

Fiqh Usrah Jumlah paparan: 182

Soalan:

Apakah hukum wanita mendedahkan auratnya kepada bapa mertua atau bapa susuan suaminya?

Jawapan:

Tidak mengapa, bapa suami menjadi mahram sama ada melalui nasab atau susuan. Nabi bersabda:

يَحْرُمُ مِنْ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنْ النَّسَبِ

 "Diharamkan melalui susuan apa yang diharamkan melalui nasab." (al-Bukhari)

Maka bapa daripada susuan, anak daripada susuan adalah mahram, begitu juga datuk daripada susuan, datuk kepada datuk, anak lelaki kepada anak perempuan, anak lelaki kepada anak lelaki — semuanya adalah mahram sama ada melalui nasab atau susuan. (Fatwa Ibn Baz: نور على الدرب: حكم كشف المرأة وجهها لوالد زوجها من الرضاعة)

Namun Ibn ‘Uthaimin mengambil pandangan berbeza. Beliau berkata:

كشف المرأة وجهها لأبي زوجها من الرضاعة لا يجوز على القول الراجح الذي اختاره شيخ الإسلام ابن تيمية ، لأن الرسول صلى الله عليه وسلم يقول : (يَحْرُمُ مِنْ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنْ النَّسَبِ) وأبو الزوج ليس حراماً على زوجة ابنه من جهة النسب ، لكنه حرام من جهة الصهر . ولأن الله تعالى قال في القرآن : (وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمْ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ) النساء/23 ، والابن من الرضاع ليس من أبناء الصلب . وعلى هذا فالمرأة إذا كان لزوجها أب من الرضاعة فإنه يجب عليها أن تتحجب عنده ، ولا تكشف وجهها له ، ولو فرض أنها فارقت ابنه من الرضاع فإنها لا تحل له بالزواج احتياطاً ، لأن ذلك هو رأي جمهور العلماء" انتهى .فضيلة الشيخ محمد بن عثيمين رحمه الله .فتاوى المرأة المسلمة" (2/841، 842) جمع أشرف بن عبد المقصود

Seorang wanita mendedahkan wajahnya kepada bapa suaminya daripada susuan adalah tidak dibolehkan menurut pendapat yang rajih yang dipilih oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Ini kerana Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Diharamkan melalui susuan apa yang diharamkan melalui nasab.” Sedangkan bapa suami tidak haram ke atas isteri anaknya dari arah nasab, tetapi haram dari arah musaharah (hubungan kekeluargaan melalui perkahwinan). Demikian juga kerana Allah Taala berfirman dalam al-Qur’an: “Dan isteri-isteri anak-anak kamu yang berasal daripada tulang sulbi kamu.” (An-Nisa’ : 23) Sedangkan anak daripada susuan bukan daripada anak-anak sulbi. Oleh itu, jika seorang wanita mempunyai suami yang ada ayah daripada susuan, maka wajib bagi wanita itu berhijab di hadapan ayah suaminya melalui susuan tersebut dan tidak mendedahkan wajahnya kepadanya. Jika diandaikan wanita itu telah berpisah dengan suaminya yang seorang anak susuan itu, wanita itu tetap tidak halal berkahwin dengan bapa susuan suaminya sebagai langkah berjaga-jaga, kerana itu adalah pendapat majoriti ulama. — Tamat. (Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah (2/841-842), disusun oleh Asyraf bin Abdul Maqsud)

Namun penghujahan Ibn ‘Uthaimin ini dijawab dengan jawapan al-Syeikh ‘Abdul Karim bin ‘Abdullah al-Khudhair ketika disoal:

سائلة تقول: إن زوجها لديه أب من الرضاع فهل تتحجَّب منه، أو أنه يُعتبر بمكانة والد الزوج؟ الجواب في الحديث الصحيح: «يَحرم من الرضاع ما يَحرم من النسب» [البخاري: 2645]، أما قوله -جل وعلا-: {وَحَلائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلابِكُمْ} [النساء: 23] فهذا قيد قال أهل العلم: إنه يُخرج ولد التبنِّي، أما الولد من الرضاعة فحكمه حكم الولد من النسب في هذه الحال، والله أعلم.

Seorang penyoal wanita bertanya: Suaminya mempunyai ayah daripada susuan, adakah dia perlu berhijab daripadanya, atau dianggap seperti kedudukan bapa mertua?

Jawapan: Dalam hadis sahih disebutkan: "Diharamkan melalui susuan apa yang diharamkan melalui nasab" [al-Bukhari: 2645]. Adapun firman Allah – Yang Maha Tinggi: “Dan isteri-isteri anak-anak kamu yang berasal daripada tulang sulbi kamu" [an-Nisa’: 23], qaid dalam ayat ini (iaitu kaitkan menantu wanita menjadi mahram dengan bapa kandung suami) berdasarkan kenyataan para ulama ialah untuk mengeluarkan anak angkat (iaitu seorang isteri tidak menjadi mahram kepada bapa angkat suaminya). Adapun anak susuan, maka hukumnya sama dengan anak nasab dalam hal ini. Dan Allah Maha Mengetahui.”

Kesimpulannya, bapa susuan seorang lelaki adalah mahram kepada isteri lelaki tersebut.

Cetak
Wallahu a'lam