SDI 1231: Hadis Larangan Minum Dari Cawan Yang Pecah

Hadis dan Ulumnya Jumlah paparan: 3455

Soalan: 

Assalamualaikum ustaz...boleh tau status hadis ini..try cari kat sunan abu daud tak jumpa..jazzakallahukhairan

Jawapan: 

Hadis tersebut ada di dalam Sunan Abi Daud, bilangan 3722 bersama dengan syarahnya ‘Aun al-Ma’bud 10/151 dengan lafaz:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الشُّرْبِ مِنْ ثُلْمَةِ الْقَدَحِ وَأَنْ يُنْفَخَ فِي الشَّرَابِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melarang minum dari thulmah (tempat pecah atau sumbing di cawan atau bekas minuman) dan meniup di dalamnya.”

Mudah-mudahan sebab larangan yang lebih jelas ialah pandangan ulama yang mengatakan larangan itu adalah kerana bahagian yang pecah atau sumbing tersebut tidak melalui proses pembersihan yang sempurna pada kebiasaannya. Maka sudah tentu tempat tersebut menjadi tempat pembiakan kuman. Kata al-Imam al-Tahawi RH di dalam Syarh Ma’ani al-Athar:

وقد قال قوم: إنما نهى عن ذلك لأنه الموضع الذي يقصده الهوام فنهى عن ذلك خوف أذاها

Maksudnya: “Sekumpulan ulama berkata: “Tegahan itu adalah kerana ia (tempat pecah atau sumbing) itu adalah tempat serangga yang memudharatkan. Maka ditegah kerana bimbangkan mudharatnya.”

Jika ia bersih dan terhindar dari sebarang kemudharatan jika menggunakannya, tidak ada hukum haram mahupun makruh disebabkan ada hadis lain yang menunjukkan Nabi SAW pernah makan dari bekas yang pecah atau terbelah. Antaranya hadis yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari daripada Anas bin Malik RA:

كان النبي صلى الله عليه وسلم عند بعض نسائه فأرسلت إحدى أمهات المؤمنين بصحفة فيها طعام، فضربت التي النبي صلى الله عليه وسلم في بيتها يد الخادم فسقطت الصحفة فانفلقت، فجمع النبي صلى الله عليه وسلم فِلَقَ الصحفة، ثم جعل يجمع فيها الطعام الذي كان في الصحفة ويقول: غارت أمكم، ثم حبس الخادم حتى أُتِيَ بصحفة من عند التي هو في بيتها، فدفع الصحفة الصحيحة إلى التي كُسِرَت صحفتها، وأمسك المكسورة في بيت التي كَسَرت

Maksudnya: “Dahulu pernah ketika Nabi SAW berada di rumah salah seorang isteri baginda. Tiba-tiba salah seorang isteri baginda yang lain menghantar makanan di dalam bekas. Menyebabkan isteri baginda pada giliran tersebut menampar tangan pembantu yang membawa bekas mananan tersebut sehingga bekas itu jatuh dan pecah. Lalu Nabi SAW menghimpunkan pecahan bekas tersebut dan mengumpulkan semula makanan yang jatuh dan bersabda: “Ibu kamu semua (isteri baginda) telah cemburu." Kemudian pembantu itu kekal di situ sehinggalah dibawakan kepadanya bekas lain dari rumah isteri baginda tersebut, digantikan bekas yang elok itu untuk diberikan kepada isteri baginda yang mengirimkan makanan, manakala bekas yang pecah itu berada di rumah isteri baginda yang memecahkannya.” (Dinilai Sahih oleh Ibn Hibban dan Hasan oleh al-Suyuthi)

Dalam riwayat al-Imam Ahmad, mungkin merujuk kepada kes yang sama dinyatakan bekas tersebut terpecah dua, lalu Nabi SAW melekapkan kedua-duanya dan meletakkan semula makanan yang jatuh ke dalamnya dan bersabda kepada mereka yang berada bersama baginda: “makanlah.” Kata Anas bin Malik: “lalu mereka yang berada di situpun makan (makanan yang berada di dalam bekas yang telah terbelah dua itu).” Hadis ini menunjukkan Nabi dan para sahabat makan dari bekas yang telah terbelah dua tersebut dan tiada bukti baginda melarang dari menggunakannya atau memerintahkan agar dibuang sahaja dan jangan digunakan lagi.   

Cetak
Wallahu a'lam