Hadis Tentang Neraka (1)

 1. Daripada ‘Umar RA, Nabi SAW bersabda:
 
أَكْثِرُوا ذِكْرَ النَّارِ فَإِنَّ حَرَّهَا شَدِيدٌ وَإِنَّ قَعْرَهَا بَعِيدٌ وَإِنَّ مَقَامِعَهَا حَدِيدٌ
 
Maksudnya: “Perbanyakkanlah mengingati neraka. Sungguh kepanasannya bersangatan, lantainya amat dalam dan cemeti-cemetinya adalah besi.” (Riwayat al-Tirmizi. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan al-Tirmizi dan Sahih al-Targhib wa al-Tarhib, bilangan: 3671)
 
2. Daripada Nu’man bin Basyir RA katanya: "daku pernah mendengar Rasulullah SAW berkhutbah dengan berkata:
 
أَنْذَرْتُكُمُ النَّارَ، أَنْذَرْتُكُمُ النَّارَ" فَمَا زَالَ يَقُولُهَا حَتَّى لَوْ كَانَ فِي مَقَامِي هَذَا سَمِعَهُ أَهْلُ السُّوقِ، وَحَتَّى سَقَطَتْ خَمِيصَةٌ كَانَتْ عَلَيْهِ عِنْدَ رِجْلَيْهِ
 
Maksudnya: “Daku berikan peringatan kepada kamu semua akan neraka, Daku berikan peringatan kepada kamu semua akan neraka.” Sentiasalah baginda mengulanginya sehingga seandainya baginda berada di kedudukan aku ini, orang-orang yang berada di (hujung) pasar akan mendengarnya. (baginda mengulangi ungkapan tersebut) sehingga kain baginda yang berada di atas bahu terjatuh ke kaki baginda tanpa disedari.” (Kata al-Syeikh Syu’aib al-Arnaouth: Isnadnya Hasan. Al-Albani menilai hadis ini sebagai Sahih di dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib 3664)
 
Pengajaran Hadis
 
1. Neraka adalah suatu tempat yang menggerunkan. Kawasannya bersangatan dalam. Azab yang disediakan di dalamnya berbentuk kepanasan yang melampau dan membakar. Cemeti-cemetinya diperbuatan daripada besi.
2. Nabi SAW sering memberikan peringatan dari neraka. Bersungguhnya baginda dalam memberi peringatan itu sehingga baginda meninggikan suara.
3. Dalam berdakwah, hendaklah digabungkan unsur-unsur memberi khabar gembira tentang syurga dan khabar ancaman dengan neraka. Agar ada dorongan melakukan kebaikan kerana mengharapkan syurga dan berusaha menjauhi dosa kerana gerunkan azab neraka.

Cetak  
Wallahu a'lam