Hadis Tentang Syurga (1)

Hadis dan Ulumnya Jumlah paparan: 765
Daripada Anas bin Malik RA katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW:
 
آتِي بَابَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَأَسْتَفْتِحُ، فَيَقُولُ الْخَازِنُ: مَنْ أَنْتَ؟ فَأَقُولُ: مُحَمَّدٌ، فَيَقُولُ: بِكَ أُمِرْتُ، لَا أَفْتَحُ لِأَحَدٍ قَبْلَكَ.
 
Maksudnya: “Daku mendatangi pintu syurga pada hari kiamat, lalu aku meminta dibukakan pintunya. Lalu penjaganya berkata: ”Siapakah kamu?” Daku menjawab: “Muhammad.” Kata penjaga itu: “Terhadapmu aku diperintahkan, daku tidak akan membuka pintu syurga kepada seseorang lain sebelum dikau.” (Riwayat Muslim, bilangan 197)
 
Pengajaran Hadis:
 
1. Nabi Muhammad SAW adalah orang pertama yang akan mengetuk pintu syurga dan masuk ke dalamnya. Demikian juga umat baginda merupakan umat pertama yang memasuki syurga berbanding umat-umat yang lain.
2. Kalimah آتِي yang diterjemahkan sebagai “Daku mendatangi” iaitulah baginda mendatangi pintu syurga pada hari kiamat dalam keadaan tenang dan selesa tanpa sebarang kesusahan dan kepayahan.
3. Huruf ف yang terdapat pada kalimah فَيَقُولُ adalah huruf ‘Fa’ yang menunjukkan menyusul (فاء التعقيب). Diterjemahkan sebagai “Lalu penjaganya berkata.” Ia menunjukkan jawapan dari malaikat penjaga syurga adalah bersegera setelah baginda mengetuk pintu syurga tanda meminta dibuka untuk dimasuki. Malaikat penjaga pintu syurga tidak akan menunda jawapan dan melengahkan membuka pintu syurga untuk baginda kerana ia telah diamanahkan untuk membukanya kepada Nabi Muhammad SAW.
4. Kalimah الْخَازِنُ diterjemahkan sebagai “penjaga” iaitulah penjaga pintu syurga. Huruf ال yang terdapat di awalnya adalah ال عَهْدِيَّة yang memaksudkan kepada sesuatu yang sedia dimaklumi. Maka penjaga syurga yang sedia dimaklumi ialah malaikat Ridhwan رِضْوَان yang merupakan malaikat paling agung dan besar dari kalangan malaikat-malaikat penjaga syurga. Justeru Nabi Muhammad SAW selaku Rasul Allah yang teragung disambut oleh malaikat Ridhwan yang teragung.
 
Cetak
Wallahu a'lam