Thursday, October 11, 2012
Soalan:
Assalamualaikum, saya ada sedikit kekeliruaan mengenai status hadis mengenai 10 sahabat yang dijamin syurga. Ada yang mengatakan hadis tersebut Dai'f dan tidak pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW. Persoalan saya apakah status hadis ini sama ada sahih ataupun sebaliknya? Terima kasih.
Jawapan:
HADIS TERSEBUT ADALAH HADIS SAHIH. diriwayatkan dari ‘Abdul Rahman bin ‘Auf dan Sa’id bin Zaid RA:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبُو بَكْرٍ فِي الْجَنَّةِ وَعُمَرُ فِي الْجَنَّةِ وَعُثْمَانُ فِي الْجَنَّةِ وَعَلِيٌّ فِي الْجَنَّةِ وَطَلْحَةُ فِي الْجَنَّةِ وَالزُّبَيْرُ فِي الْجَنَّةِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ فِي الْجَنَّةِ وَسَعْدٌ فِي الْجَنَّةِ وَسَعِيدٌ فِي الْجَنَّةِ وَأَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ فِي الْجَنَّةِ
Mafhumnya: “Sabda Rasulullah SAW: Abu Bakr di dalam syurga, ‘Umar di dalam syurga, ‘Uthman di dalam syurga, ‘Aliy di dalam syurga, Tolhah di dalam syurga, al-Zubair di dalam syurga, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf di dalam syurga, Sa’ad (bin Abi Waqqas) di dalam syurga, Sa’id (bin Zaid) di dalam syurga dan Abu ‘Ubaidah al-Jarrah di dalam syurga.” (HR al-Tirmizi)
Berikut, sebahagian para ulama yang menghukum hadis ini sebagai Hasan atau Sahih:
1. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Takhrij Misykah al-Masabih 5/436.
2. Al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir, bil: 73.
3. Ahmad Syakir di dalam Musnad Ahmad. 3/136.
4. Al-Albani di dalam Takhrij Misykah al-Masabih. Bil: 6064. Dan ramai lagi selain mereka.
Perlu diperingatkan juga bahawa selain 10 orang sahabat ini terdapat pula sahabat lain yang dijamin syurga oleh Nabi SAW seperti Khadijah binti Khuwailid, ‘Abdullah bin Salam, ‘Ukkasyah bin Mihsan dan lain-lain lagi. Namun 10 orang sahabat tersebut lebih dikenali sebagai al-‘Asyarah al-Mubassyirin bi al-Jannah (10 orang yang diberikan berita gembira dengan syurga) kerana nama mereka disebut dalam satu hadis. Ia tidak menafikan para sahabat lain juga merupakan Ahli Syurga.