SDI 0787: Hadis War-warkan Perkahwinan dan Sembunyikan Pertunangan

Thursday, February 14, 2013

Hadis War-warkan Perkahwinan dan Sembunyikan Pertunangan

Soalan:

Assalamualaikum. Banyak disebarkan di internet sepotong hadis yang bermaksud:

"Rahsiakan pertunangan,war-warkan perkahwinan"

Soalan saya apakah benar ia sebuah hadis Nabi Muhammad SAW?

Terima kasih. 


Jawapan:

 وعليكم السلام ورحمة الله

Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus dengan lafaz:

أظهروا النكاح وأخفوا الخِطبة

Mafhumnya: “Zahirkanlah (war-warkan) perkahwinan dan sembunyikan (rahsiakan) pertunangan.” Akan tetapi hadis ini Dhoief (Lemah) seperti yang dinilai oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Dhoiefah bilangan: 2494, dan di dalam Dhoief al-Jami’ al-Soghir 922.

Akan tetapi terdapat hadis lain dengan lafaz:

اعلنوا النكاح

Bermaksud: “Iklankanlah (war-warkanlah) perkahwinan.” (HR Ahmad, demikian juga al-Hakim dan beliau menilai hadis ini sebagai Sahih, nilaian beliau ini dipersetujui oleh al-Zahabi)

Di dalam riwayat al-Tirmizi pula hadis dari ‘Aisyah RA dengan lafaz:

اعلنوا هذا النكاح، واجعلوه في المساجد، واضربوا عليه بالدفوف

Mafhumnya: “Iklankanlah (war-warkanlah) perkahwinan ini, dan jadikannya di masjjid-masjid, dan pukulkanlah gendang-gendang.” (kata al-Imam al-Tirmizi: “Hadis ini Gharib Hasan di dalam babnya”)

Ini bermakna ungkapan hadis yang bermaksud: “War-warkan perkahwinan” adalah ungkapan dari Nabi SAW. Manakala ungkapan: "Rahsiakan pertunangan" adalah satu ungkapan yang Dhoief atau lemah untuk dinisbahkan kepada perkataan Nabi SAW. 

Cumanya, sebahagian ulama ada yang beranggapan sunat menyembunyikan pertunangan jika bimbangkan kejahatan hasad orang lain yang sudah tentu akan berusaha untuk menggagalkan pertunangan tersebut. Hal ini seperti yang dinyatakan di dalam Hasyiah al-‘Adawiy ‘Ala Syarh Mukhtasar Khalil 3/167 dari Mazhab Maliki. 

Mereka menguatkan pendapat ini dengan hadis:

استعينوا على إنجاح الحوائج بالكتمان، فإن كل ذي نعمةٍ محسود

Mafhumnya: “(Mintalah bantuan) Bantu-membantulah untuk menjayakan hajat-hajat dengan menyembunyikannya, kerana sesungguhnya setiap yang ada kemanfaatan itu didengki.” (HR al-Tabarani. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’, bilangan: 943.) 

Namun hadis ini tidak khusus kepada pertunangan sahaja. Sebaliknya anjuran supaya menyembunyikan setiap perkara dari pengetahuan orang-orang yang dengki.


Cetak  
Wallahu a'lam