Perbezaan Antara al-Sanad السند Dan al-Isnad الإسناد

Hadis dan Ulumnya Jumlah paparan: 5469

al-Sanad السند (jika merujuk kepada hadis Nabi SAW) ialah Hikayat para periwayat hadis yang meriwayatkannya seorang dari seorang sehingga Rasulullah SAW adapun al-Isnad الإسناد ialah Menyandarkan hadis kepada penuturnya (periwayat yang menuturkannya) dan menisbahkan hadis ini kepadanya. Kadang-kala disebut salah satunya dengan maksud kedua-duanya sekali. 

Jalur periwayat hadis dinamakan sebagai sanad kerana merekalah yang dipegang dan dijadikan sandaran bagi membezakan antara hadis yang Sahih atau yang lainnya, apa-apa yang pasti dari agama dan yang tidak. 

Kata al-Imam Abu Muhammad bin Hazm RH:

“Nukilan dari seorang thiqah dari seorang thiqah dalam keadaan bersambung sanad sehingga sampai kepada Nabi SAW, Allah khususkan kepada umat Islam, tidak kepada seluruh penganut agama lain. Adapun (sanad) dalam keadaan al-irsal dan al-i’dhal, banyak ada di dalam agama Yahudi, namun sanad mereka tidak menghampiri (Nabi) Musa sepertimana hampirnya sanad kita (umat Islam) dari (Nabi) Muhammad SAW. Bahkan sanad mereka dalam bentuk terputus antara mereka dengan Musa (AS) lebih dari 30 zaman (عصرا), sebaliknya sanad mereka hanya sampai kepada Simeon (شمعون) dan seumpamanya.”

Kata beliau lagi: “Adapun Kristian tiada langsung di sisi mereka apa-apa bentuk nukilan (dari Nabi Isa) melainkan berkaitan pengharaman talak sahaja. Nukilan dengan jalan periwayatan yang mengandungi para pendusta dan orang yang tidak diketahui siapa orangnya (majhul al-‘ain), amat banyak terdapat dalam nukilan Yahudi dan Kristian."

Sambung beliau: “Adapun perkataan-perkataan para sahabat dan tabi’ien, tidak mungkin Yahudi dapat datangkan satu sanad yang sampai kepada seorang sahabat Nabi sama-sekali, tidak juga kepada seorang tabi’ien. Kristian juga tidak mungkin sanad mereka dapat samai kepada Simeon dan Paul (بولس)."    

Cetak
Wallahu a'lam