SDI 1151: Kenali Tiang alMukhallaqah Dalam Kawasan Raudhah

Hadis dan Ulumnya Jumlah paparan: 765

Assalamu'alaikum ust. Mohon dijelaskan apakah maksud ungkapan الْأُسْطُوَانَةِ الَّتِي عِنْدَ الْمُصْحَفِ dlm hadis:

يَا أَبَا مُسْلِمٍ ، أَرَاكَ تَتَحَرَّى الصَّلَاةَ عِنْدَ هَذِهِ الْأُسْطُوَانَةِ. قَالَ: فَإِنِّي رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى الصَّلَاةَ عِنْدَهَا

Terima kasih

Jawapan:

Hadis yang dimaksudkan diriwayatkan oleh alBukhari dan Muslim di dalam kitab sahih mereka berdua. Hadis tersebut daripada Yazid bin Abi 'Ubaid yang bersama dengan salah seorang sahabat nabi SAW bernama Salamah bin alAkwa' سلمة بن الأكوع datang ke masjid Nabi di Madinah, lalu beliau melihat Salamah bin alAkwa' sentiasa menunaikan solat di tiang yang berada di sisi mushaf.

alUstuwanah الأسطوانة adalah tiang. Tiang tersebut disebut di dalam hadis sebagai tiang yang berada di sisi Mushaf kerana di zaman pemerintahan 'Uthman, beliau meletakkan satu peti simpanan mushaf alQuran induk yang ditulis di zaman beliau dan peti yang tersimpan mushaf di dalamnya itu diletakkan di sekitar tiang tersebut. 'Uthman juga seringkali memegang dan membaca alQuran dari mushaf tersebut.

Tiang atau alUstuwanah ini merupakah salah satu tiang yang berada dalam kawasan Raudhah. Dalam kawasan Raudhah terdapat lapan batang tiang kesemuanya, yang setiap satunya ada nama tersendiri berdasarkan kisah-kisah dan sebab-sebab yang tersendiri. Tiang-tiang dalam kawasan Raudhah ini dikekalkan kedudukannya sepertimana yang ada di zaman Nabi SAW, hanya ditukar dari batang-batang tamar kepada tiang yang lebih kukuh ketika kerja-kerja pembesarannya yang dilakukan di zaman pemerintahan Sultan 'Abd alMajid al'Uthmani.

Tiang yang dimaksudkan di dalam hadis ini dikenali juga sebagai alUstuwanah alMukhallaqah الأسطوانة المخلقة dan nama inilah yang tertulis di tiang tersebut pada hari ini, yang boleh dilihat di bahagian atas tiang. Di bawah ini saya sertakan gambarnya.

alMukhallaqah ialah alMu'attarah المعطرة iaitulah tiang yang diletakkan wangian. Asal kisahnya di mana pernah satu ketika Rasulullah SAW mendapati ada kahak yang diludah di tiang tersebut sehinggakan berubah air muka baginda kerana marah melihat apa yang berlaku. Lalu datang seorang sahabat membuang kahak tersebut dan dia menyapukan wangian di tempat tersebut. Lalu dinamakan tiang ini sebagai tiang yang diwangikan.

Kedudukan tiang ini melekat dengan mihrab imam, berada di sebelah kanan dan hadapan sedikit dari mihrab. Ia juga bersebelahan dengan alUstuwanah 'alSayyidah 'Aisyah RA yang ada kisahnya yang tersendiri.

 

Cetak
Wallahu a'lam