SDI 1128: Hadis Lemah Tentang Waktu Mustajab Doa Pada Hari Rabu

Soalan:


السلام عليكم ورحمةالله وبركاته
صباح الخير 🥀بارك الله فيك 🌹

Ana ingin bertanya ttg waktu maqbul doa. Ada ke hadis yg kata antara waktu yg mustajab ialah sebelum salam dlm solat wajib dan antara waktu zohor dan 'asar hari rabu.

Jawapan:

Pertama: Waktu mustajab doa sebelum salam thabit di dalam hadis yang sahih. Antaranya hadis Ibn Mas'ud RA dalam alBukhari dan Muslim berkaitan Nabi SAW mengajarkan kepada para sahabat bacaan alTasyahhud selepas itu baginda bersabda:

ثُمَّ يَتَخَيَّرُ مِنَ الْمَسْأَلَةِ مَا شَاءَ

Maksudnya: "Kemudian (selepas bertasyahhud dan berselawat) dia pilihlah apa-apa permohonan yang dikehendakinya." Ia tidak khusus untuk solat wajib sahaja, bahkan dalam solat sunat juga.

Kedua: Hadis berkaitan waktu mustajab doa selepas Zohor dan sebelum Asar hari Rabu adalah DHOIEF atau LEMAH. Hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam alMusnad daripada Jabir bin Abdillah RA:

أَنَّ النَّبِيَّ ‏‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏‏دَعَا فِي مَسْجِدِ الْفَتْحِ ثَلَاثًا يَوْمَ ‏ ‏الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الثُّلَاثَاءِ وَيَوْمَ الْأَرْبِعَاءِ فَاسْتُجِيبَ لَهُ يَوْمَ الْأَرْبِعَاءِ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ فَعُرِفَ الْبِشْرُ فِي وَجْهِهِ، ‏ قَالَ ‏ ‏جَابِرٌ: ‏ "‏فَلَمْ يَنْزِلْ بِي أَمْرٌ مُهِمٌّ غَلِيظٌ إِلَّا ‏ ‏تَوَخَّيْتُ ‏ ‏تِلْكَ السَّاعَةَ ‏ ‏فَأَدْعُو فِيهَا فَأَعْرِفُ الْإِجَابَةَ

Maksudnya: "لآahawasanya Nabi SAW berdoa di masjid alFath tiga kali, pada hari Isnin, Selasa dan Rabu. Lalu dimustajabkan untuk baginda doa pada hari Rabu di antara dua solat (Zohor dan Asar), dan hal ini dikenali dari kegembiraan di wajah baginda." Kata Jabir lagi: "Tidak menimpa aku sesuatu perkara penting lagi besar, melainkan aku akan berusaha berdoa pada waktu tersebut untuk aku memohon ketika itu, maka aku dapati diperkenankan." 

Para pentahkik kitab alMusnad berkata: "Isnad hadis ini LEMAH..." 

Namun Ibn Taimiyyah RH di dalam Iqtidhaa alSirat alMustaqim menyatakan ada di kalangan ulama mazhab Hambali yang beramal dengan hadis ini terutamanya berkaitan dengan waktu yang disebutkan di dalam riwayat. 

Allah SWT sahaja yang lebih mengetahui. Sesiapa yang berusaha berdoa pada waktu ini dengan tanpa dijazamkan ia dari sunnah Nabi SAW kerana hadis berkaitannya Lemah, tidak mengapa insyaAllah.


Cetak  
Wallahu a'lam