Soalan:
Assalamualaikum ustaz...betul ke selawat 10 kali pagi dan 10 kali petang dapat safaat daripada rasulullah sallahu alaihi wasallam.
Jawapan:
وعليكم السلام ورحمة الله
Ada hadis tentang hal itu, namun ia TIDAK SAHIH. Hadis yang dimaksudkan ialah:
من صلى عليَّ حين يصبح عشرًا، وحين يمسي عشرًا، أدركته شفاعتي يوم القيامة
Maksudnya: "Sesiapa yang berselawat ke atasku pada pagi hari sebanyak 10 kali dan petang hari 10 kali, dia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat." Ibn alQayyim di dalam Jalaa' alAfham (halaman 63) ada menukilkan Isnad alTabarani bagi hadis ini sehingga kepada Abu alDardaa' RA. Namun isnad hadis ini memiliki beberapa kecacatan menurut penilaian ulama hadis yang menjadikannya tidak dapat dipastikan sebagai sabdaan Nabi SAW. Antara kecacatan itu ialah:
1) Hadis ini didakwa disampaikan oleh Khalid bin Ma'dan (خالد بن معدان) daripada Abu alDardaa' sahabat Nabi SAW. Namun masalahnya Khalid bin Ma'dan ini tiada bukti pernah mendengar hadis dari Abi alDardaa'. (Jamii' alTahsil, halaman: 171)
2) Periwayat yang ada di dalam isnad hadis bernama Ibrahim bin Muhammad bin Ziyad alAlhaniy seorang yang tiada sebarang nukilan komentar ulama hadis tentangnya sama ada Ta'dil atau Tajrih. (Lihat alTarikh alKabir 1/323 oleh alBukhari. Juga alJarh wa alTa'dil 2/127 oleh Ibn Abi Hatim)
3) Seorang periwayat lain dalam isnad hadis ini yang bernama Baqiyyah bin alWalid pula seorang Mudallis. Ketika menyampaikan hadis ini beliau tidak menyampaikannya dalam bentuk pernyataan jelas mendengar langsung dari periwayat sebelumnya.
Ini antara sebab menjadikan hadis ini bermasalah dan berpenyakit. Kerana itu alHafidz al'Iraqi telah menilai hadis ini sebagai Lemah di dalam Takhrij al-Ihyaa' 1/441, alSakhawi di dalam alQaul alBadii' 179 dan alSyeikh Muqbil alWada'ie di dalam alSyafa'ah 270. Manakala alAlbani pernah menilai hadis ini sebagai Hasan di dalam Sahih alJami' 5357, namun setelah itu menarik semula penilaiannya itu dan menghukum hadis ini sebagai Lemah di dalam alSilsilah alDhoiefah 5788.
Sekalipun begitu, satu perkara yang tidak boleh diingkari iaitulah berselawat ke atas Nabi SAW sememangnya memiliki kelebihan yang besar. Selain itu terdapat banyak hadis-hadis Sahih yang menyatakan tentang jalan untuk memperolehi syafaat Nabi SAW, perkara ini tidak perlu kepada hadis-hadis Lemah. Antaranya, daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Rasulillah SAW pernah bersabda:
مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ النِّدَاءَ: اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ، وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ، آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ، وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ: حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: "Siapa yang mendengar azan setelah itu membaca: "Ya Allah, Tuhan kepada seruan yang sempurna ini, dan solat yang didirikan, kurniakanlah kepada Nabi Muhammad alWasilah dan alFadhilah, bangkitkan baginda dalam dikurniakan maqam yang terpuji yang telah Engkau janjikan." Dia berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat." (Riwayat alBukhari 614)