Soalan:
Ustaz, benarkah ada hadis yang mengatakan Dajjal tidak akan keluar sehinggalah orang ramai tidak lagi mengingati dan menyebut tentangnya?
Jawapan:
Ya, sememangnya terdapat hadis yang menyebut akan hal itu. al-Haithami di dalam kitabnya Majma’ al-Zawa-id wa Manba’ al-Fawa-id ada membuat satu bab iaitulah بَابُ لَا يَخْرُجُ الدَّجَّالُ حَتَّى يَذْهَلَ النَّاسُ عَنْ ذِكْرِهِ Bab Dajjal Tidak Akan Keluar Sehinggalah Orang Ramai Melupakan Dari Mengingatinya (menyebutnya).
Di bawah bab ini al-Haithami mendatangkan hadis daripada Rasyid bin Sa‘ad (راشد بن سعد) yang berkata:
لَمَّا فُتِحَتْ إِصْطَخْرُ إِذَا مُنَادٍ يُنَادِي : أَلَا إِنَّ الدَّجَّالَ قَدْ خَرَجَ . قَالَ : فَلَقِيَهُمُ الصَّعْبُ بْنُ جَثَّامَةَ فَقَالَ : لَوْلَا مَا تَقُولُونَ لَأَخْبَرْتُكُمْ أَنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - يَقُولُ : " لَا يَخْرُجُ الدَّجَّالُ حَتَّى يَذْهَلَ النَّاسُ عَنْ ذِكْرِهِ ، وَحَتَّى تَتْرُكَ الْأَئِمَّةُ ذِكْرَهُ عَلَى الْمَنَابِرِ " . رَوَاهُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَحْمَدَ مِنْ رِوَايَةِ بَقِيَّةَ عَنْ صَفْوَانَ بْنِ عَمْرٍو ، وَهِيَ صَحِيحَةٌ كَمَا قَالَ ابْنُ مَعِينٍ ، وَبَقِيَّةُ رِجَالِهِ ثِقَاتٌ .
Maksudnya: “Ketikamana dibuka Istakhr, apabila ada seorang yang berseru dengan berkata: “Ketahuilah sesungguhnya Dajjal telahpun keluar.” Lalu al-Sa’b bin Jaththamah menemui orang itu dan berkata: “Kalau bukan kerana apa yang kamu semua katakan, pasti aku akan khabarkan bahawa sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Dajjal tidak akan keluar sehinggalah orang ramai melupakan dari mengingati dan menyebut tentangnya, sehinggakan para imam akan meninggalkan menyebut tentangnya di atas mimbar.” Kata al-Haithami: “Hadis ini diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Ahmad daripada riwayat Baqiyyah daripada Safwan bin ‘Amr. Riwayat ini SAHIH sepertimana yang dikatakan oleh Ibn Ma‘ien dan baki semua periwaytnya adalah thiqat.”