SDI 0573: Maksud Hadis Tinggal Solat Asar Batal Amalan

Hadis dan Ulumnya Jumlah paparan: 2125
Soalan: 
 
"Siapa yang tinggal solat asar, gugurlah amalannya" [HR Bukhari]. Soalan saya Ustaz, apakah amalan yang dimaksudkan oleh Nabi SAW? adakah solat fardhu yg lain pd hari tersebut tidak diterima atau adakah amalan yang lain pada hari tersebut? Mohon huraian ye ustaz... 
 
Jawapan: 
 
Ini teks hadis riwayat alBukhari yang anda maksudkan:
 
مَنْ تَرَكَ صَلَاةَ الْعَصْرِ ، فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُه
 
Maksudnya: "Siapa yang meninggalkan solat Asar, maka batallah amalannya." (Hadis alBukhari bilangan 553) Dalam Musnad Imam Ahmad bilangan hadis 26946 dinyatakan:
 
"Sesiapa yang meninggalkan solat Asar dengan sengaja sehingga luput, sesungguhnya batallah amalannya." Hadis ini dinilai Sahih oleh alAlbani di dalam Sahih alTarghib dan alTarhib. Apakah maksud batal atau gugur amalan bagi sesiapa yang meninggalkan solat Asar? 
 
Ada dua pandangan ulama: 
 
Pertama: Orang itu menjadi Murtad. Pandangan ini menjadi pilihan antaranya oleh Ishak bin Rahawaih RH. Dari kalangan ulama kemudian yang memilih pandangan ini ialah alSyeikh Bin Baz RH. Antara alasan mereka adalah kerana ungkapan "batal atau gugur amalan" tidak dinyatakan di dalam hadis melainkan dengan maksud pelakunya menjadi Murtad atau terkeluar dari agama Islam. Buktinya adalah firman Allah SWT:
 
وَلَوْ أَشْرَكُوْا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُون
 
Maksudnya: "dan sekiranya mereka melakukan kesyirikan, pasti akan batal/gugur dari mereka apa-apa yang mereka amalkan." (alAn'aam: 88) Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman: (maksudnya:) "dan sesiapa yang berpaling (murtad) dari kalangan kamu semua dari agamanya, lalu dia mati, dia seorang yang kafir, maka mereka itu telah batal/gugur amalan-amalan mereka di dunia dan akhirat. Mereka itu adalah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya." (alBaqarah: 217)
 
Kedua: Ancaman batal atau gugur amalan bagi sesiapa yang meninggalkan solat Asar tersebut, bukan dari sudut zahirnya yang membawa maksud murtad, Sebaliknya ia membawa maksud yang lain. 
 
Persoalannya, apakah maksud "batal atau gugur amalan", yang dikehendaki oleh hadis? Para ulama sekali lagi berbeza pandangan:
 
Ada yang mengatakan menjadi murtad bagi sesiapa yang menghalalkan perbuatan meninggalkan solat Asar. Ada pula yang mengatakan yang batal dan gugur itu khas untuk solat Asar sahaja. Kerana orang yang meniggalkan solat asar hingga luput waktunya, dia tidak akan memperolehi lagi pahala solat Asar tersebut. Jadinya amalan yang terbatal yang dimaksudkan di dalam hadis adalah solat Asar itu sendiri. 
 
al-Imam Ibn alQayyim RH menyatakan: "Yang zahir pada hadis - Allahlah yang lebih mengetahui maksud yang dikehendaki oleh Rasul-Nya - bahawa peninggalan solat ada dua jenis. (Satu:) tinggal menyeluruh dalam ertikata tidak menunaikan solat Asar sama sekali. Maka yang ini akan membatalkan keseluruhan amalan. (Kedua:) tinggal solat Asar tertentu pada hari tertentu. Yang ini akan batal amalannya pada hari tersebut. Maka batal atau gugur amalan secara umum bagi tinggal solat Asar keseluruhannya. Manakala batal amalan pada hari tertentu bagi tinggal solat Asar pada hari-hari tertentu." (alSolah wa Hukm Tarikiha 65)
 
Cetak
Wallahu a'lam