SDI 1304: Hadis Palsu Tentang Solat 5 Waktu

Sunday, December 15, 2013

Soalan:

Assalamu'alaikum Ustaz, Apakah kedudukan hadis ini:

“Pernah Satu ketika Rasulullah SAW duduk bersama sahabat Ansar dan Muhajirin, tiba-tiba datang sekumpulan orang-orang Yahudi dan bertanya: “Wahai Muhammad! Kami hendak bertanyakan kepadamu berkaitan ajaran yang dikurniakan oleh Allah kepada Musa bin Imran, ajaran tersebut tidak dikurniakan melainkan kepada seorang nabi yang diutuskan atau kepada malaikat yang hampir.” Jawab Nabi SAW: “Tanyalah!” mereka bertanya: “Wahai Muhammad, khabarkan kepada kami tentang solat 5 waktu yang telah difardhukan oleh Allah kepada ummatmu.” Jawab Nabi SAW: “Solat Fajar, sesungguhnya matahari apabila telah terbit, ia terbit diantara dua tanduk syaitan, setiap orang kafir sujud kepada matahari tersebut, mereka tidak sujud kepada Allah. Maka tiada seorang mukmin yang menunaikan solat fajar (subuh) selama 40 hari secara berjemaah, melainkan Allah akan berikan kepadanya dua pembebasan, iaitulah bebas dari neraka dan bebas dari kemunafikan.” Jawab orang-orang Yahudi tersebut: “Engkau benar, wahai Muhammad.” Baginda menyambung: “Adapun solat Zohor pula, sesungguhnya waktu tersebut waktu semaraknya api neraka jahannam. Tiada seorang mukmin yang menunaikannya melainkan Allah akan haramkan kepadanya kepanasan-kepanasan neraka jahannam pada kari kiamat. Adapun solat ‘Asar, sesungguhnya ia adalah waktu dimana Nabi Adam memakan buah dari pohon yang terlarang, maka tiada seorang mukmin yang menunaikannya melainkan dia akan bebas dari dosa-dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya. Adapun solat Maghrib, sesungguhnya ia adalah waktu dimana Allah SWT menerima taubat Nabi Adam, maka tiada seorang mukmin yang menunaikannya dalam keadaan ikhlas dan mengharapkan pahala daripadaNya, kemudian memohon kepada Allah sesuatu perkara melainkan Allah akan mengurniakan perkara itu kepadanya. adapun solat Isyak, sesungguhnya di dalam kubur kegelapan, pada hari kiamat itu kegelapan, maka tiada seseorang mukmin yang berjalan dalam kegelapan malam yang menunaikan solat ‘isyak, melainkan Allah haramkan darinya duduk di dalam neraka, dan akan dikurniakan kepadanya cahaya yang akan membawa dia melintasi titian sirat, sesungguhnya solat Isyak ini adalah solat yang ditunaikan oleh para rasul sebelum daripadaku.” Kemudian baginda SAW membawa firman Allah SWT: “Peliharalah solat-solat (yang difardhukan) dan solat al-Wustha.” 

Mohon penjelasan dari ustaz berkaitan darjat hadis ini. terima kasih.

 

Jawapan:

 Wa'alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh

Di bawah saya sertakan teks hadis dalam bahasa Arab:

 بينما كان الرسول صلى الله عليه وسلم جالسا بين الأنصار والمهاجرين ، أتى إليه جماعة من اليهود ، فقالوا له : يا محمد ! إنا نسألك عن كلمات أعطاهن الله تعالى لموسى بن عمران ، لا يعطيها إلا لنبي مرسل أو لملك مقرب . فقال النبي صلى الله عليه وسلم : سلوا . فقالوا : يا محمد ! أخبرنا عن هذه الصلوات الخمس التي افترضها الله على أمتك ؟ فقال النبي عليه أفضل الصلاة والسلام : صلاة الفجر : فإن الشمس إذا طلعت تطلع بين قرني الشيطان ، ويسجد لها كل كافر من دون الله ، فما من مؤمن يصلي صلاة الفجر أربعين يوما في جماعة إلا أعطاه الله براءتين ، براءة من النار وبراءة النفاق . قالوا : صدقت يا محمد ! أما صلاة الظهر : فإنها الساعة التي تسعر فيها جهنم ، فما من مؤمن يصلي هذه الصلاة إلا حرم الله تعالى عليه لفحات جهنم يوم القيامة . أما صلاة العصر : فإنها الساعة التي أكل فيها آدم عليه السلام من الشجرة ، فما مؤمن يصلي هذه الصلاة إلا خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه . وأما صلاة المغرب : فإنها الساعة التي تاب فيها الله تعالى على آدم عليه السلام ، فما من مؤمن يصلي هذه الصلاة محتسبا ثم يسأل الله تعالى شيئا إلا أعطاه إياه . وأما صلاة العشاء : فإن للقبر ظلمة ، ويوم القيامة ظلمة ، فما من مؤمن مشى في ظلمة الليل إلى صلاة العتمة إلا حرم الله عليه وقود النار ، ويعطى نورا يجوز به على الصراط ، فإنها الصلاة التي صلاها المرسلون قبلي ، ثم تلا قوله تعالى : ( حافظوا على الصلوات والصلاة الوسطى ) 

Maksudnya: “Pernah Satu ketika Rasulullah SAW duduk bersama sahabat Ansar dan Muhajirin, tiba-tiba datang sekumpulan orang-orang Yahudi dan bertanya: “Wahai Muhammad! Kami hendak bertanyakan kepadamu berkaitan ajaran yang dikurniakan oleh Allah kepada Musa bin Imran, ajaran tersebut tidak dikurniakan melainkan kepada seorang nabi yang diutuskan atau kepada malaikat yang hampir.” Jawab Nabi SAW: “Tanyalah!” mereka bertanya: “Wahai Muhammad, khabarkan kepada kami tentang solat 5 waktu yang telah difardhukan oleh Allah kepada ummatmu.” Jawab Nabi SAW: “Solat Fajar, sesungguhnya matahari apabila telah terbit, ia terbit diantara dua tanduk syaitan, setiap orang kafir sujud kepada matahari tersebut, mereka tidak sujud kepada Allah. Maka tiada seorang mukmin yang menunaikan solat fajar (subuh) selama 40 hari secara berjemaah, melainkan Allah akan berikan kepadanya dua pembebasan, iaitulah bebas dari neraka dan bebas dari kemunafikan.” Jawab orang-orang Yahudi tersebut: “Engkau benar, wahai Muhammad.” Baginda menyambung: “Adapun solat Zohor pula, sesungguhnya waktu tersebut waktu semaraknya api neraka jahannam. Tiada seorang mukmin yang menunaikannya melainkan Allah akan haramkan kepadanya kepanasan-kepanasan neraka jahannam pada kari kiamat. Adapun solat ‘Asar, sesungguhnya ia adalah waktu dimana Nabi Adam memakan buah dari pohon yang terlarang, maka tiada seorang mukmin yang menunaikannya melainkan dia akan bebas dari dosa-dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya. Adapun solat Maghrib, sesungguhnya ia adalah waktu dimana Allah SWT menerima taubat Nabi Adam, maka tiada seorang mukmin yang menunaikannya dalam keadaan ikhlas dan mengharapkan pahala daripadaNya, kemudian memohon kepada Allah sesuatu perkara melainkan Allah akan mengurniakan perkara itu kepadanya. adapun solat Isyak, sesungguhnya di dalam kubur kegelapan, pada hari kiamat itu kegelapan, maka tiada seseorang mukmin yang berjalan dalam kegelapan malam yang menunaikan solat ‘isyak, melainkan Allah haramkan darinya duduk di dalam neraka, dan akan dikurniakan kepadanya cahaya yang akan membawa dia melintasi titian sirat, sesungguhnya solat Isyak ini adalah solat yang ditunaikan oleh para rasul sebelum daripadaku.” Kemudian baginda SAW membawa firman Allah SWT: “Peliharalah solat-solat (yang difardhukan) dan solat al-Wustha.”

Hadis ini adalah hadis palsu dan dusta. Tidak boleh dinisbahkan kepada perkataan Nabi Muhammad SAW. Buktinya adalah seperti berikut:

  1. Hadis ini tidak terdapat dalam mana-mana kitab sumber hadis. Melainkan ia hanya dinukilkan dari seorang kepada seorang lain tanpa sebarang sumber yang boleh dipegang. Sedangkan hadis yang hendak dijadikan pegangan mestilah diriwayatkan melalui sanad yang Sahih. Malangnya hadis ini langsung tidak diketahui sumber dan sanadnya.
  1. Setelah disemak, didapati hadis ini terdapat di dalam kitab tulisan Abu al-Laith al-Samarqandiy yang meninggal pada tahun 375H. Iaitulah di dalam kitabnya bertajuk Tanbih al-Ghafilin bi Ahadith Sayyid al-Ambiya’ wa al-Mursalin pada halaman: 264-265 yang bukan merupakan kitab rujukan hadis. Para ulama telah menyatakan keberadaan kitab ini yang dipenuhi dengan hadis-hadis palsu dan dusta. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah contohnya di dalam kitabnya Talkhis al-Istighathah 1/73 telah memasukkan kitab Tanbih al-Ghafilin ini ke dalam kumpulan tulisan-tulisan yang dinyatakan oleh beliau sebagai: “(Ditulis) oleh mereka yang tidak mengetahui tentang hadis yang Sahih dan tidak sahih, tiada pengetahuan dalam periwayatan dan penukilan, tiada pengetahuan berkaitan para periwayat dan para penukil, bahkan mereka hanya menghimpunkan apa yang diriwayatkan termasuk yang sahih dan yang dhaif, mereka tidak mengasingkannya.”  

Al-Imam al-Zahabiy pula ketika memperkenalkan kitab Tanbih al-Ghafilin di dalam kitabnya Siyar al-A’lam al-Nubala’ 16/323 berkata: “Banyak di dalamnya hadis-hadis yang palsu.”

  1. Hadis ini juga bertentangan dengan hadis yang sahih, dimana dinyatakan di dalamnya bahawa solat Zohor merupakan waktu menyemaraknya api neraka jahannam. Sebaliknya yang thabit dari hadis yang sahih menyatakan waktu semaraknya api neraka jahannam adalah sebelum waktu zawal beberapa ketika, iaitulah sebelum masuknya waktu Zohor. Apabila masuk Zohor maka telah masuk waktu rahmah. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin al-Sa’ib yang berkata: “Rasulullah SAW suatu ketika menunaikan solat (sunat) sebelum Zohor selepas waktu Zawal sebanyak 4 rakaat. Setelah itu baginda bersabda: “Sesungguhnya pintu-pintu langit dibuka, maka daku suka untuk memulakan pada waktu ini sesuatu amalan soleh.” (HR Ahmad 3/411, dinilah Hasan oleh Ibn Hajar di dalam Nata’ij al-Afkar 3/6)

Selain itu hadis yang ditanya ini juga bertentangan dengan banyak hadis sahih yang menyatakan himpunan solat 5 waktu adalah keistimewaan dan dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad SAW sahaja. Ia tidak pernah difardhukan kepada umat Nabi terdahulu sebelum baginda. Sekalipun tidak dinafikan ada perbezaan di kalangan ulama dalam persoalan ini. Namun pandangan yang lebih benar ialah ia khusus untuk umat Nabi Muhammad SAW. Al-Suyuthi berkata di dalam al-Khasa’is al-Kubra 2/303: “Bab (menyatakan tentang) pengkhususan baginda SAW dengan kefardhuan solat 5 waktu, dan tidak dihimpunkan kepada seseorang lain (dari kalangan nabi dan rasul sebelum baginda), dan bahawa baginda adalah orang pertama yang mendirikan solat ‘Isyak, dan tidak pernah menunaikan solat ‘Isyak seorangpun nabi sebelum baginda.” Di bawah bab ini, al-Suyuti mendatangkan beberapa hadis, salah satunya hadis yang diriwayatkan daripda Mu’az bin Jabal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَعْتِمُوا بِهَذِهِ الصَّلَاةِ ، فَإِنَّكُمْ قَدْ فُضِّلْتُمْ بِهَا عَلَى سَائِرِ الْأُمَمِ ، وَلَمْ تُصَلِّهَا أُمَّةٌ قَبْلَكُمْ

Maksudnya: “Masukkan/lakukan (solat ‘Isyak) dalam waktu ‘Atmah, kerana sesungguhnya kamu semua telah dilebihkan dengannya berbanding umat-umat yang lain. Dan belum pernah ditunaikan solat ini (solat ‘Isyak) satu ummatpun sebelum kamu semua.” (HR Abu Daud di nilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud)


Cetak  
Wallahu a'lam