KELEBIHAN DAN AMALAN 10 HARI AWAL BULAN ZULHIJJAH  

KELEBIHAN DAN AMALAN

10 HARI AWAL BULAN ZULHIJJAH

 

  1. 10 hari awal bulan Zulhijjah memiliki kelebihan berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَيَالٍ عَشْرٍ

Maksudnya: “Dan malam-malam yang sepuluh.” (al-Fajr: 2)

Kata Ibn ‘Abbas RA: “Sesungguhnya hari-hari itu adalah 10 hari awal bulan Zulhijjah .” Kata Ibn Kathir: “Dan ia Sahih.” Inilah pandangan majoriti ulama tafsir salaf dan selain mereka. (Tafsir Ibn Kathir 8/390)

  1. Memeliki kelebihan berbanding hari-hari lain dalam setahun berdasarkan hadis Nabi SAW:

ما من عمل أزكى عند الله - عز وجل- ولا أعظم أجرا من خير يعمله في عشر الأضحى قيل: ولا الجهاد في سبيل الله - عز وجل- ؟ قال ولا الجهاد في سبيل الله - عز وجل- إلا رجل خرج بنفسه وماله فلم يرجع من ذلك بشيء

Maksudnya: “Tiada satu amalan baik yang lebih suci dan lebih besar pahalanya  di sisi Allah, yang dilakukan oleh seseorang berbanding pada hari 10 hari awal bulan Zulhijjah.” Ditanya kepada baginda: “Tidak juga jihad fi sabilillah azza wajalla? Baginda menjawab: “Tidak juga jihad fi sabilillah, melainkan seorang lelaki yang keluar membawa diri dan hartanya (berjihad) lalu dia tidak membawa pulang suatupun lagi selepas daripada itu.”  (Riwayat al-Darimiy. Sanadnya dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)

  1. Amalan fardhu pada 10 hari awal Zulhijjah adalah lebih afdhal berbanding amalan fardhu pada waktu lain. Demikian juga amalan sunat yang dilakukan pada 10 hari awal Zulhijjah lebih afdhal berbanding amalan sunat yang dilakukan dalam bulan lain.
  1. Solat yang dilakukan pada 10 awal Zulhijjah adalah afdhal (lebih utama) berbanding solat yang ditunaikan dalam bulan lain. Demikian juga puasa, bacaan al-Quran, berzikir, doa, berbuat baik kepada kedua ibu-bapa, menghubungkan silaturrahim, menunaikan hajat orang yang memerlukan, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, berbuat baik kepada jiran tetangga, membuat kenduri dan amalan-malan lain.
  1. Kelebihan 10 awal Zulhijjah dan beramal di dalamnya adalah merangkumi beramal pada malam harinya. Akan tetapi 10 malam terakhir Ramadan adalah lebih utama kerana padanya terdapat malam al-Qadr. 10 hari awal Zulhijjah merupakan hari-hari yang lebih utama kerana terdapat di dalamnya hari al-Nahr (hari menyembelih binatang korban), hari Arafah dan hari Tarwiyyah. (Zad al-Maad 1/57) Terhimpun di dalam 10 hari awal Zulhijjah ini beberapa ibadah agung yang tidak terdapat dalam bulan yang lain iaitulah ibadat haji, menyembelih korban, berpuasa dan bersedekah. (Fath al-Bari oleh Ibn Rajab 2/460)
  1. 10 hari awal Zulhijjah merupakan al-Ayyam al-Ma’lumat al-Mubarakat (hari-hari yang diberkati). Allah SWT mensyariatkan di dalamnya agar diperbanyakkan mengingatiNya di atas rezeki yang dikurniakan dariNya. Allah berfirman:

لِّيَشۡهَدُواْ مَنَٰفِعَ لَهُمۡ وَيَذۡكُرُواْ ٱسۡمَ ٱللَّهِ فِيٓ أَيَّامٖ مَّعۡلُومَٰتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلۡأَنۡعَٰمِۖ فَكُلُواْ مِنۡهَا وَأَطۡعِمُواْ ٱلۡبَآئِسَ ٱلۡفَقِيرَ ٢٨

Maksudnya: “supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari-hari yang telah ditentukan (أَيَّامٖ مَّعۡلُومَٰتٍ) atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.” (al-Hajj: 28)

Majoriti ulama tafsir menyatakan أَيَّامٖ مَّعۡلُومَٰتٍ  ialah 10 hari awal Zulhijjah. (Tafsir al-Baghawi 5/379, Tafsir Ibn Kathir 5/415 dan Lata‘if al-Ma’arif 269)

  1. 10 hari awal zulhijjah merupakah hari penutup kepada al-Asyhur al-Ma’lumat (bulan-bulan Haji) yang dinyatakan oleh Allah SWT:

ٱلۡحَجُّ أَشۡهُرٞ مَّعۡلُومَٰتٞۚ

Maksudnya: “(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi…” (al-Baqarah: 197)

Bulan-bulan yang dimaklumi أَشۡهُرٞ مَّعۡلُومَٰتٍ tersebut ialah bulan Syawal, Zul Qaedah dan 10 hari awal Zulhijjah berdasarkan riwayat dari ramai para sahabat seperti ‘Umar, Ibn ‘Umar, ‘Ali, Ibn Mas’ud, Ibn ‘Abbas, Ibn al-Zubair dan selain mereka. Inilah juga pandangan kebanyakan ulama Tabi’ien. (Lata‘if al-Ma’arif 269)

  1. Pada 10 hari awal Zulhijjah terdapat Hari al-Nahr (10 Zulhijjah). Ia juga merupakan hari Haji Akbar, merupakan hari yang paling mulia di sisi Allah SWT. Di dalam hadis dinyatakan:

إن أعظم الأيام عند الله تبارك وتعالى يوم النحر ثم يوم القر

Maksudnya: “Hari yang paling agung di sisi Allah Tabaraka Wa Taala adalah Hari al-Nahr kemudian hari al-Qarr (selepas hari 10 zulhijjah).”

(Riwayat Abu Daud 1765. Dinilai Sahih oleh al-Albani)  

  1. Melakukan amalan salih pada 10 hari awal Zulhijjah adalah suatu yang afdhal atau paling utama berbanding pada hari-hari yang lain. Kerana itu generasi al-Salaf al-Soleh (umat Islam yang awal) bersungguh-sungguh memperbanyakkan amalan ketaatan atau amalan soleh dalam tempoh ini. Antara amalan soleh yang boleh diperbanyakkan pada 10 hari awal bulan Zulhijjah ini ialah:
  2. Melaksanakan ibadah haji terutamanya haji wajib.
  1. Membanyakkan berzikir dalam setiap keadaan, sama ada dalam keadaan berdiri, duduk mahupun ketika berbaring, berjalan kaki mahupun ketika berkenderaan.
  • Membanyakan bertakbir, bertahlil dan bertahmid berdasarkan hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA, Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمَ عِنْدَ اللَّهِ وَلا أَحَبَّ إِلَيْهِ فِيهِنَّ الْعَمَلُ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ ، أَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنَ التَّحْمِيدِ وَالتَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ

Mafhumnya: “Tiada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah dan yang lebih disukai di sisiNya untuk dilakukan amalan soleh berbanding hari-hari ini, iaitulah 10 hari awal dalam bulan Zulhijjah, oleh itu perbanyakkanlah di dalamnya Tahmid, Tahlil dan Takbir.” 

(HR Ahmad: 7/224. Sanadnya dinilai Sahih oleh Ahmad Syakir)

  1. Menzahirkan laungan takbir bersama tasbih, tahmid dan tahlil di merata-rata tempat. Semua ini merupakan tunas yang disemai di dalam syurga. Ia juga merupakan perkataan yang paling disukai oleh Allah SWT dan Nabi SAW. Seorang Tabi’ie, Maimun bin Mihran RH berkata:

أَدْرَكْتُ النَّاسَ وَإِنَّهُمْ لَيُكَبِّرُونَ فِي الْعَشْرِ، حَتَّى كُنْتُ أُشَبِّهُهُ بِالْأَمْوَاجِ مِنْ كَثْرَتِهَا، وَيَقُولُ: إِنَّ النَّاسَ قَدْ نَقَصُوا فِي تَرْكِهِمُ التَّكْبِيرَ

Maksudnya: “Aku menemui ramai (dari kalangan sahabat). Sesungguhnya mereka benar-benar bertakbir pada 10 hari awal Zulhijjah , sehingga daku mengumpamakan (laungan takbir mereka) dengan ombak kerana banyaknya.” Beliau juga berkata: “(Adapun sekarang) sesungguhnya orang ramai telah mengurangkan laungan takbir tersebut.” (Fath al-Bari oleh Ibn Rajab 6/113)

Takbir pada 10 awal Zulhijjah  terbahagi kepada dua:

  • Takbir Mutlaq: Ia dilakukan bermula 1 Zulhijjah sehingga hari Tasyriq yang ketiga. Dilakukan dalam setiap waktu, keadaan dan tempat, melainkan di tempat yang dilarang berzikir seperti di dalam tandas dan seumpamanya.
  • Takbir Muqayyad: Ia dilakukan setelah menunaikan solat fardhu. Bermula selepas solat Subuh 9 Zulhijjah sehingga selepas solat Asar hari Tasyriq ketiga.

Antara lafaz takbir yang boleh diucapkan pada sepuluh hari awal Zulhijjah ialah:

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ،

وَاللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْد

Mafhumnya: “Allah Maha Benar, Allah Maha Benar, tidak ada sembahan melainkan Allah, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.” Jika diucapkan dengan lafaz takbir yang lain juga tidak mengapa.

  1. Memperbanyakkan puasa sunat kerana ia termasuk amalan soleh yang boleh diperbanyakkan pada 10 hari awal Zulhijjah. Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ يَوْماً فِي سَبِيلِ الله بَعَّدَ الله وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا

Mafhumnya: “Sesiapa yang berpuasa sehari kerana Allah, Allah akan jauhkan mukanya dari neraka sejauh 70 tahun perjalanan.” (al-Bukhari dan Muslim)

  1. Puasa khusus hari Arafah pada 9 Zulhijjah. Ia menghapuskan kesalahan dan dosa selama dua tahun. Nabi SAW bersabda:

صيام يوم عرفة أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله والسنة التي بعده

Maksudnya: “Puasa hari ‘Arafah, aku mengharapkan Allah menghapuskan dosa setahun sebelum dan setahun selepasnya.” (Riwayat Muslim1162)

  • Melatih ahli keluarga melaksanakan puasa hari Arafah. Kata Sa’ied bin Jubair RH:

أَيْقَظُوا خَدَمَكُمْ يَتَسَحَّرُونَ لِصَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ 

Maksudnya: “Bangunkan ahli keluarga kamu, agar mereka bersahur untuk berpuasa hari Arafah.” (Siyar A’lam al-Nubala 4/327)

  • Membanyakkan bacaan al-Quran. Ia merupakan pelaburan akhirat yang amat berharga. Demikian juga berusaha membaca al-Quran dengan disertai dengan tadabbur (memerhati) dan tafahhum (memahami). Kerana sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada yang membaca al-Quran satu huruf dengan 10 kali gandaan.
  1. Melakukan solat malam tanpa dikhususkan mana-mana malam dalam 10 malam awal Zulhijjah .
  1. Membanyakkan Istighfar terutamanya ketika waktu Sahur agar tergolong dalam kalangan orang-orang taqwa yang disebut sifat-sifat mereka oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

والمستغفرين بالأسحار

Maksudnya: “dan mereka yang beristighfar pada waktu sahur.” (Ali Imran: 17)

  1. Membanyakkan sedekah yang merupakan salah satu amalan saleh. Ia mampu menghapuskan dosa, menghilangkan kemurkaan Allah dan menjadi sebab memperoleh keberkatan dan pertambahan rezeki. Melakukan amalan sedekah pada 10 hari awal Zulhijjah adalah afdhal berbanding hari-hari yang lain.
  • Mendatangkan kegembiraan kepada orang-orang yang beriman dalam menjalinkan hubungan silaturrahim dan persaudaraan dengan membantu mereka yang memerlukan, membuat makanan untuk mereka dan seumpamanya. Kesemua ini termasuk dalam amalan saleh yang wajar diperbanyakkan terutamanya pada 10 hari awal Zulhijjah.
  • Memenuhi keperluan atau meringankan urusan anak-anak jiran tetangga yang penjaga mereka pergi melaksanakan ibadah haji. Di dalam hadis Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang bantu mempersiapkan keperluan seorang yang melaksanakan haji atau menggantikan tempatnya memerhatikan keluarganya… untuknya seperti pahala orang yang pergi melaksanakan haji tersebut, tanpa dikurangkan sedikitpun dari pahala-pahala mereka.” (Riwayat Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya 1930. Al-Albani juga menilai hadis ini sebagai Sahih)

  • Termasuk amalam soleh yang wajar dilakukan pada 10 hari awal Zulhijjah ialah menjauhi dosa dan maksiat. Terutamanya 10 hari awal Zulhijjah termasuk di dalam bulan-bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَمَن يُعَظِّمۡ حُرُمَٰتِ ٱللَّهِ فَهُوَ خَيۡرٞ لَّهُۥ عِندَ رَبِّهِۦ

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang mengagungkan apa-apa yang dimuliakan di sisi Allah maka itu adalah lebih baik baginya di sisi Tuhannya…” (al-Hajj: 30)


Cetak  
Wallahu a'lam