Perkahwinan Termulia, Zainab binti Jahsyh RA Dengan Rasulullah SAW

Hadis dan Ulumnya Jumlah paparan: 1160

Daripada Anas bin Malik RA, katanya:

لَمَّا انْقَضَتْ عِدَّةُ زَيْنَبَ، قالَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ لِزَيْدٍ: فَاذْكُرْهَا عَلَيَّ، قالَ: فَانْطَلَقَ زَيْدٌ حتَّى أَتَاهَا وَهي تُخَمِّرُ عَجِينَهَا، قالَ: فَلَمَّا رَأَيْتُهَا عَظُمَتْ في صَدْرِي، حتَّى ما أَسْتَطِيعُ أَنْ أَنْظُرَ إلَيْهَا؛ أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ ذَكَرَهَا، فَوَلَّيْتُهَا ظَهْرِي، وَنَكَصْتُ علَى عَقِبِي، فَقُلتُ: يا زَيْنَبُ، أَرْسَلَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ يَذْكُرُكِ، قالَتْ: ما أَنَا بصَانِعَةٍ شيئًا حتَّى أُوَامِرَ رَبِّي، فَقَامَتْ إلى مَسْجِدِهَا، وَنَزَلَ القُرْآنُ، وَجَاءَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ، فَدَخَلَ عَلَيْهَا بغيرِ إذْنٍ، قالَ: فَقالَ: وَلقَدْ رَأَيْتُنَا أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ أَطْعَمَنَا الخُبْزَ وَاللَّحْمَ حِينَ امْتَدَّ النَّهَارُ، فَخَرَجَ النَّاسُ وَبَقِيَ رِجَالٌ يَتَحَدَّثُونَ في البَيْتِ بَعْدَ الطَّعَامِ، فَخَرَجَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ وَاتَّبَعْتُهُ، فَجَعَلَ يَتَتَبَّعُ حُجَرَ نِسَائِهِ يُسَلِّمُ عليهنَّ، وَيَقُلْنَ: يا رَسولَ اللهِ، كيفَ وَجَدْتَ أَهْلَكَ؟ قالَ: فَما أَدْرِي أَنَا أَخْبَرْتُهُ أنَّ القَوْمَ قدْ خَرَجُوا، أَوْ أَخْبَرَنِي، قالَ: فَانْطَلَقَ حتَّى دَخَلَ البَيْتَ، فَذَهَبْتُ أَدْخُلُ معهُ، فألْقَى السِّتْرَ بَيْنِي وبيْنَهُ، وَنَزَلَ الحِجَابُ، قالَ: وَوُعِظَ القَوْمُ بما وُعِظُوا بهِ. وزاد في رواية: {لَا تَدْخُلُوا بُيُوتَ النَّبِيِّ إِلَّا أَنْ يُؤْذَنَ لَكُمْ إِلَى طَعَامٍ غَيْرَ نَاظِرِينَ إِنَاهُ} إلى قَوْلِهِ: {وَاللَّهُ لَا يَسْتَحْيِي مِنَ الْحَقِّ} [الأحزاب: 53].

Maksudnya: “Apabila tamat tempoh iddah Zainab[1], Rasulullah SAW berkata kepada Zaid: “pergi kamu meminang Zainab untukku.” Kata Anas, lalu Zaid pergi berjumpa dengan Zainab yang sedang melakukan takhmir[2] kepada tepung yang diulinya untuk dibuat roti. Kata Zaid: “Ketika mana aku melihat Zainab, dia menjadi seorang yang begitu mulia di dalam diriku, sehingga aku tidak mampu melihatnya (kerana dia akan berada di tempat yang mulia iaitulah salah seorang ibu kepada orang-orang yang beriman) kerana Rasulullah SAW akan meminangnya.[3] Lalu aku palingkan belakangku kepadanya dan berundur jauh daripadanya. Aku berkata: “Wahai Zainab, Rasulullah SAW menghantar aku untuk meminangmu untuk baginda.” Jawab Zainab: “Tidaklah aku melakukan sesuatu sebelum melakukan istikharah kepada tuhanku.” Lalu beliau menuju ke tempat menunaikan solat di rumah beliau (untuk melaksanakan solat Istikharah). Lalu turun ayat al-Quran kepada Rasulullah SAW[4]. Lalu Rasulullah SAW datang ke rumah Zainab dan masuk tanpa meminta izin. (kerana turun ayat 37 dari surah al-Ahzab)[5] Kata Anas: Sesungguhnya aku telah melihat bahawa Rasulullah SAW ada memberi kami (para sahabat) makan roti bersama daging ketika terasa bahang panas matahari. Setelah selesai makan kebanyakan orang ramai pulang melainkan beberapa orang lelaki kekal duduk bersembang di rumah selepas selesai makan, sehingga menyebabkan Rasulullah SAW keluar meninggalkan rumah dan aku mengekori baginda. baginda pergi ke rumah isteri-isteri baginda yang lain memberi salam kepada mereka (bertanyakan khabar dan keperluan mereka). Para isteri Rasulullah SAW bertanya semula kepada baginda: “Wahai Rasulullah, bagaimana keadaan isteri tuan?” Kata Anas: “Aku tidak pasti apakah aku yang memberitahu kepada baginda bahawa orang-orang yang kekal duduk bersembang di rumah tadi telahpun pulang dan beredar atau baginda yang memberitahu kepadaku akan hal itu.” Kata Anas, bagindapun beredar pergi dan pulang ke rumah Zainab. Aku mengekori baginda dan masuk ke rumah Zainab. Aku dapati baginda telah pasangkan tirai antara aku dengan baginda sempena turunnya ayat Hijab. Kata Anas: “Lalu orang ramai mengambil pengajaran dengan pengajaran yang diberikan kepada mereka (dalam riwayat lain ada tambahan peringatan yang dimaksudkan ialah firman Allah SWT
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَدۡخُلُواْ بُيُوتَ ٱلنَّبِيِّ إِلَّآ أَن يُؤۡذَنَ لَكُمۡ إِلَىٰ طَعَامٍ غَيۡرَ نَٰظِرِينَ إِنَىٰهُ وَلَٰكِنۡ إِذَا دُعِيتُمۡ فَٱدۡخُلُواْ فَإِذَا طَعِمۡتُمۡ فَٱنتَشِرُواْ وَلَا مُسۡتَ‍ٔۡنِسِينَ لِحَدِيثٍۚ إِنَّ ذَٰلِكُمۡ كَانَ يُؤۡذِي ٱلنَّبِيَّ فَيَسۡتَحۡيِۦ مِنكُمۡۖ وَٱللَّهُ لَا يَسۡتَحۡيِۦ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ … ٥٣
53. Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga dia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran …” (al-Ahzab: 53)

 

Pengajaran hadis:

 

1.    Hadis ini Sahih terdapat di dalam Sahih Muslim.
2.    Disyariatkan kepada seseorang wanita melaksanakan solat al-Istikharah, memohon pilihan terbaik dari Allah ketika dipinang sebelum memberi jawapan setuju ataupun tidak.
3.    Sunat melaksanakan solat istikharah kepada sesiapa yang memerlukan keputusan dalam sesuatu urusan, sekalipun urusan itu terzahir satu kebaikan ataupun tidak.
4.    Bukti sesiapa yang menyerahkan urusannya kepada Allah SWT, akan dipermudahkan kepadanya memperoleh sesuatu yang lebih bermanfaat di dunia dan akhirat.
5.    Tidak menjadi kesalahan mewakilkan bekas suami seorang wanita untuk meminang bagi pihak lain selagi diyakini tiada sebarang masalah dari bekas suami tersebut.
6.    Bukti kelebihan Zainab, sehingga Allah SWT mengahwinkan beliau dengan Rasulullah SAW. Hal ini menjadi satu kebanggaan kepada Zainab RA. Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas bin Malik RA yang berkata: “Sesungguhnya Zainab bin Jahsyh RA sentiasa berbangga ke atas para isteri baginda SAW yang lain. Beliau akan berkata: “Kamu semua (para isteri Nabi SAW) dikahwinkan oleh ahli keluarga kamu. Sedangkan aku dikahwinkan (dengan Nabi SAW) oleh Allah SWT yang berada di atas langit yang tujuh

----------------------------------------------------------------- 

[1] Beliau ialah Zainab binti Jahsh bin Ri-ab bin Ya’mar bin Sabrah bin Murrah bin Kabir bin Ghanm bin Dudan bin Asad bin Khuzaimah al-Asadiyyah (زينب بنت جحش بن رئاب بن يعمر بن صبرة بن مرة بن كبير بن غنم بن دودان بن أسد بن خزيمة الأسدية ). Ibunya bernama Umaimah binti ‘Abd al-Muttalib (أميمة بنت عبد المطلب), ibu saudara Rasulullah SAW sebelah bapa baginda (عمة). Ini bermaksud Zainab adalah sepupu Rasulullah SAW. Pada awalnya Nabi SAW mengahwinkan beliau dengan anak angkat baginda Zaid bin Harithah RA dengan mahar 10 dinar (wang emas), 60 dirham (wang perak), sehelai khimar, sehelai milhafah (ملحفة kain yang dapat menyelimuti badan seperti jubah), sehelai kain Dir‘an (الدرع kain yang dipakai dari pinggan ke bawah), 50 cupak makanan dan 10 cupak tamar. Zainab bersama Zaid selama lebih kurang setahun atau lebih sedikit. Setelah itu berlaku masalah dalam hubungan mereka, menjadikan Zaid mengadu masalah mereka kepada Nabi SAW. Nabi SAW bersabda: ٱتَّقِ ٱللَّهَ أَمۡسِكۡ عَلَيۡكَ زَوۡجَكَ “bertaqwalah kamu kepada Allah dan kekallah bersamanya (jangan ditalaq).” Allah SWT berfirman: وتُخْفِي فِي نَفْسِكَ ما اللَّهُ مُبْدِيهِ “dan kamu (Muhammad) menyembunyikan dalam dirimu, apa yang Allah akan menzahirkannya.” (al-AHzab: 37), iaitulah Allah SWT telah memberitahu kepada Baginda, Zainab bin Jahsh akan menjadi salah seorang dari isteri baginda SAW, baginda bimbang dipandangan aib oleh masyarakat dengan berkata: “Apakah baginda berkahwin dengan isteri anaknya sendiri?” kerana baginda telahpun menjadikan Zaid itu sebagai anak baginda.

[2] “Melakukan takhmir” adalah terjemah yang dipilih untuk تُخَمِّرُ iaitulah perbuatan meletakkan khamir خمير pada tepung yang telah diuli bagi menjadikan tepung ulian itu lebih baik,  boleh naik dan kembung untuk dibuat roti.

[3] Kata al-Imam al-Qurtubi RH: Makna perkataan ini ialah bahawa beliau (Zaid) ketika meminang Zainab untuk Rasulullah SAW, tahulah Zaid bahawa Zainab adalah seorang wanita yang solehah, kerana beliau akan menjadi salah seorang isteri Rasulullah SAW dan ibu kepada orang-orang yang beriman. Timbul dalam diri Zaid perasaan lain terhadap Zainab, iaitulah perasaan mahu lebih memuliakannya berbanding ketika Zainab isteri kepadanya. Berpalingnya Zaid daripada Zainab adalah tindakan bersungguh untuk tidak melihatnya lagi (sebagai satu penghormatan) bagi memelihara hatinya agar tiada lagi sebarang rasa kaitan dengannya, kerana pada ketika itu perintah berhijab masih belum disyariatkan.” (Lihat iSyarh Sunan al-Nasa-ie, Zakhirah al-‘Uqba, bil. Hadis 3252, jld: 27, hal:165)

[4] Iaitulah firman Allah SWT: فَلَمّا قَضى زَيْدٌ مِنها وطَرًا زَوَّجْناكَها  Ketika mana Zaid sempurnakan niatnya menceraikannya (Zainab), Kami kahwinkan dikau (Muhammad) dengannya (Zainab).”  Ayat ini menunjukkan Allah SWT telah mengahwinkan Nabi SAW dengan Zainab binti Jahsy.  

[5] Ayat 37 dari surah al-Ahzab ialah:

وَإِذۡ تَقُولُ لِلَّذِيٓ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ وَأَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِ أَمۡسِكۡ عَلَيۡكَ زَوۡجَكَ وَٱتَّقِ ٱللَّهَ وَتُخۡفِي فِي نَفۡسِكَ مَا ٱللَّهُ مُبۡدِيهِ وَتَخۡشَى ٱلنَّاسَ وَٱللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخۡشَىٰهُۖ فَلَمَّا قَضَىٰ زَيۡدٞ مِّنۡهَا وَطَرٗا زَوَّجۡنَٰكَهَا لِكَيۡ لَا يَكُونَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ حَرَجٞ فِيٓ أَزۡوَٰجِ أَدۡعِيَآئِهِمۡ إِذَا قَضَوۡاْ مِنۡهُنَّ وَطَرٗاۚ وَكَانَ أَمۡرُ ٱللَّهِ مَفۡعُولٗا ٣٧

"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: Jangan ceraikan isterimu itu dan bertakwalah kepada Allah, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya) dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku." (al-Ahzab: 37) 

Cetak
Wallahu a'lam