Sepuluh Hari Pertama Bulan Zulhijjah

Hadis dan Ulumnya Jumlah paparan: 68

Monday, October 31, 2011

 

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "أَفْضَلُ أَيَّامِ الْدُّنْيَا أَيَّامُ الْعَشْرِ، يَعْنِي عَشْرُ ذِي الحْجَّةِ"

 

Mafhumnya: “Daripada Jabir bin Abdillah katanya: Sabda Rasulullah SAW: hari yang paling afdhal adalah 10 hari pertama bulan Zulhijjah.” (Dikeluarkan oleh al-Bazzar seperti di dalam Kasyf al-Astar (2/28, bil: 1128). Kata al-Haithami (4/17): Periwayat-periwayat hadis ini thiqat.” Hadis ini juga dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’. Daripada Abu Hurairah RA pula, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

 Mafhumnya: “Sesiapa yang memiliki keluasan, namun tidak melakukan korban, maka jangan dia menghampiri masjid kami.” (Dikeluarkan oleh Ibn Majah (2/1044, bil: 3123). Al-Hakim (4/28, bil:7565) dan berkata: Hadis ini Isnadnya Sahih. Hadis ini juga di nilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’, bil:6490.

Al-‘Allamah al-Sindi di dalam Syarh Sunan Ibn Majah berkata: Sabda baginda:

“sesiapa yang memiiliki keluasan”, iaitulah memiliki keluasan untuk akan datang dan sekarang. Dikatakan juga iaitulah sesiapa yang memiliki nisab zakat.

“Maka jangan dia menghampiri masjid kami.” Bukan membawa maksud solat mereka tidak sah sehinggalah mereka melakukan korban, sebaliknya ia merupakan hukuman bagi yang memiliki keluasan namun tidak melakukan korban sehingga dijauhkan dari majlis-majlis kebaikan.

Daripada Ummu Salamah – isteri Nabi SAW – katanya: Rasulullah SAW bersabda:

"مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ"

Mafhumnya: “Sesiapa yang akan berkorban, apabila masuk bulan Zulhijjah, maka jangan dia mengambil (memotong atau mengerat) bulu dan kukunya sedikitpun, sehinggalah dia melakukan korban.” (Dikeluarkan oleh Muslim 3/1565, bil: 1977. Al-Nasaie 7/212, bil: 4364. Ibn Majah 2/1052, bil: 3149. Dikeluarkan juga oleh al-Syafie 1/175. Al-Humaidi 1/140, bil: 293. Al-Darimi 2/104, bil: 1948. Abu ‘Iwanah 5/61, bil: 7787. Al-Baihaqi 9/266, bil: 18820)

Al-Hafiz Ibn al-Qayyim RH memberi komentarnya di dalam Sunan Ibn Majah:

Maksudnya: “Nabi SAW lebih menyukai membiarkan rambut dan kuku baginda pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, untuk digunting bersama dengan korban, perkara itu termasuk dari kesempurnaan di sisi Allah, perkara ini dapat diperhatikan juga, dimana baginda telah mensyariatkan umatnya bagi menyembelih akikah untuk seorang bayi yang dilahirkan, dan dicukur juga rambut bayi tersebut. Perkara ini menunjukkan mencukur kepala bersama dengan menyembelih binatang korban adalah afdhal dan lebih utama.”

Cetak
Wallahu a'lam