Kelebihan Berulang-Alik Ke Masjid

Hadis dan Ulumnya Jumlah paparan: 2677

Oleh: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Masjid adalah tempat yang paling mulia di muka bumi. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

أَحَبُّ الْبِلاَدِ إِلَى اللهِ مَسَاجِدهَا، وَأَبْغَضُ الْبِلاَدِ إِلَى اللهِ أَسْوَاقهَا

Maksudnya: “Tempat yang paling disukai oleh Allah adalah masjid-masjid dan yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar-pasar.” (Riwayat Muslim)

Masjid juga adalah rumah bagi orang yang beriman dan bertaqwa. Di dalam hadis daripada Abu al-Darda’ RA, Nabi SAW bersabda:

الْمَسْجِد بَيتُ كُلّ تَقِيّ

Maksudnya: “Masjid adalah rumah setiap orang yang bertaqwa.” (Sahih; al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah)

Sesiapa yang hatinya terpaut dengan masjid, berasa tenang dan aman ketika berada di dalamnya, lalu menjadikan dia seorang yang suka mendirikan solat berjemaah di masjid. Setiap-kali bertambah kuat perasannya ini, akan bertambah besar pahala dan kedudukan tinggi di sisi Allah yang bakal diterimanya. Terdapat banyak hadis yang memberi rangsangan kepada umat Islam agar berulang alik ke masjid. Antara hadis-hadis tersebut:

  1. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

مَن غَدَا إلى المَسْجِدِ ورَاحَ، أعَدَّ اللَّهُ له نُزُلَهُ مِنَ الجَنَّةِ كُلَّما غَدَا أوْ رَاحَ

Maksudnya: “Siapa yang keluar menuju ke masjid dan pulang, Allah akan menyediakan untuknya nuzul dari syurga, setiap kali dia keluar dan pulang dari masjid.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penjelasan Dan Faedah Hadis

  1. Kalimah Nuzul (النُزُل) dengan dibaris dhammah huruf nun (ن) dan zai (ز), boleh juga disukunkan zai (النُزْل) adalah apa-apa yang disediakan untuk tetamu ketika mereka sampai.
  2. Ungkapan: مَن غَدَا إلى المَسْجِدِ ورَاحَ, di mana kalimah غَدَا adalah al-Ghuduw (الغُدُوُّ). Pada asalnya memaksudkan waktu di antara solat Subuh sehingga terbit matahari. Manakala kalimah رَاحَ adalah al-Rawah (الرَّواحُ). Pada asalnya memaksudkan waktu di antara tergelincir matahari sehingga tenggelam. Namun hadis ini tidak memaksudkan dua waktu ini secara khusus, sebaliknya ia memaksudkan kebiasaan pergi dan pulang dari masjid untuk menunaikan ibadah yang paling utama iaitulah solat lima waktu. Dalam kalangan ulama, ada juga yang berpendapat, kedua-dua kalimah ini merujuk kepada keluar dari rumah untuk ke masjid (al-Ghuduw الغُدُوُّ) dan pulang semula ke rumah dari masjid (al-Rawah الرَّواحُ). Terjemahan mafhum hadis adalah berdasarkan pandangan terakhir ini.
  3. Maksud lengkap hadis ini ialah, Allah SWT akan menyediakan tempat dan sambutan di dalam syurga untuk seseorang, setiap kali dia pergi dan pulang dari masjid. Ini bermakna perbuatan pergi ke masjid dan pulang semula ke rumah adalah sebab penyediaan tempat untuk seseorang di dalam syurga.
  4. Hadis ini berupa rangsangan kepada umat Islam agar sentiasa berusaha menunaikan solat jemaah di masjid dan menjadikannya sebagai satu amalan yang dilazimi. Jika dengan pergi dan pulang dari masjid, mendapat kelebihan penyediaan sambutan di dalam syurga, maka sudah tentu kelebihan dan ganjaran nikmat yang lebih hebat disediakan dengan sebab menunaikan solat di dalam masjid secara berjemaah dengan ikhlas dan mengharapkan balasan dari Allah SWT semata-mata.

 

  1. Daripada Abu Musa al-Asy‘ari RA, Nabi SAW bersabda:

أَعْظَمُ النَّاسِ أجْرًا في الصَّلاةِ أبْعَدُهُمْ، فأبْعَدُهُمْ مَمْشًى والذي يَنْتَظِرُ الصَّلاةَ حتَّى يُصَلِّيَها مع الإمامِ أعْظَمُ أجْرًا مِنَ الذي يُصَلِّي، ثُمَّ يَنامُ

Maksudnya: “Orang yang lebih besar memperolehi pahala solat adalah orang yang lebih jauh, seterusnya yang lebih jauh jarak perjanan yang ditempohnya (untuk ke masjid). Orang yang menunggu solat yang berikutnya agar dapat ditunaikan bersama imam (secara berjemaah) adalah lebih besar pahala untuknya berbanding orang yang menunaikan solat, setelah itu tidur.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Penjelasan Dan Faedah Hadis

  1. Pahala melakukan sesuatu ibadah berbeza dari seorang dengan seorang yang lain. Banyak faktor yang boleh mempengaruhi kadar pahala yang bakal Antara faktor tersebut ialah berdasarkan kepayahan dan kesukaran yang terpaksa ditempoh. Orang yang menempuh lebih banyak kesukaran dan kepayahan akan menerima pahala yang lebih berbanding yang kurang.
  2. Berjalan kaki ke masjid adalah lebih afdhal berbanding berkenderaan.
  3. Kelebihan menunggu didirikan solat berikutnya agar dapat menunaikannya secara berjemaah di masjid.

 

  1. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَن تَطَهَّرَ في بَيْتِهِ، ثُمَّ مَشَى إلى بَيْتٍ مَن بُيُوتِ اللهِ لِيَقْضِيَ فَرِيضَةً مِن فَرَائِضِ اللهِ، كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إحْدَاهُما تَحُطُّ خَطِيئَةً، وَالأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً

 Maksudnya: “Siapa yang bersuci di rumahnya, kemudian berjalan menuju ke salah satu masjid untuk menunaikan solat fardhu yang ditetapkan oleh Allah. Setiap langkahnya akan menghapuskan satu dosa dan akan menaikkan satu darjat.” (Riwayat Muslim)

 

  1. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

صَلَاةُ الجَمِيعِ تَزِيدُ علَى صَلَاتِهِ في بَيْتِهِ، وصَلَاتِهِ في سُوقِهِ، خَمْسًا وعِشْرِينَ دَرَجَةً، فإنَّ أحَدَكُمْ إذَا تَوَضَّأَ فأحْسَنَ، وأَتَى المَسْجِدَ، لا يُرِيدُ إلَّا الصَّلَاةَ، لَمْ يَخْطُ خَطْوَةً إلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بهَا دَرَجَةً، وحَطَّ عنْه خَطِيئَةً، حتَّى يَدْخُلَ المَسْجِدَ، وإذَا دَخَلَ المَسْجِدَ، كانَ في صَلَاةٍ ما كَانَتْ تَحْبِسُهُ، وتُصَلِّي - يَعْنِي عليه المَلَائِكَةُ - ما دَامَ في مَجْلِسِهِ الذي يُصَلِّي فِيهِ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ له، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ، ما لَمْ يُحْدِثْ فِيهِ

Maksudnya: “Solat secara berjemaah adalah lebih pahalanya berbanding solat seseorang di rumahnya dan di kedainya sebanyak 25 darjat. Sesungguhnya apabila seseorang daripada kamu berwudhu dengan elok, kemudian dia pergi ke masjid kerana hendak menunaikan solat, dengan setiap langkahnya, Allah akan menaikkannya satu darjat dan menghapuskan darinya satu kesalahan, sehinggalah dia masuk ke dalam masjid. Setelah dia masuk ke dalam masjid, dia terhitung sebagai seorang yang berada di dalam solat, selama-mana dia tidak keluar dari masjid kerana menunggu solat didirikan, malaikat juga akan berselawat ke atasnya selagi dia kekal di dalam masjid dengan berkata: “Ya Allah berilah keampunan kepadanya, ya Allah rahmatilah dia.” selagi dia tidak berhadas.” (Riwayat al-Bukhari)

Penjelasan Dan Faedah Hadis

  1. Termasuk di dalam sebab memperolehi kelebihan yang ada di dalam hadis ini ialah berwudhu dengan cara yang sempurna serta meraikan sunat dan adabnya.
  2. Membetulkan niat ke masjid, iaitulah untuk menunaikan solat fardhu.
  3. Terdapat hadis lain di dalam al-Sahihain yang ada menyebut kelebihan sebanyak 27 darjat bagi yang menunaikan solat berjemaah. Perbezaan kelebihan ini, berdasarkan huraian sebahagian ulama, merujuk kepada perbezaan keadaan orang yang sedang mendirikan solat, seperti kadar khusu’ dan memelihara sunat dan adab solat. Demikian juga merujuk kepada solat itu sendiri, seperti di mana ia di tunaikan dan seumpamanya.
  4. Kelebihan kekal berada di dalam masjid kerana menunggu menunaikan solat fardhu dengan mendapat selawat dari para malaikat.
  5. Kelebihan kekal di masjid dalam berwudhu bagi mendapat selawat dan doa dari para malaikat.
  6. Hadis ini memberi rangsangan kepada umat Islam agar segera menuju ke masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah, dan menjauhkan diri dari perbuatan meninggalkan jemaah. Atas sebab itu ditawarkan ganjaran kelebihan penghapusan dosa dan dinaikkan darjat di sisi Allah SWT menurut kadar langkah yang ditempuh untuk ke masjid menunaikan solat secara berjemaah.

 

  1. Daripada Jabir bin ‘Abdullah RA, katanya:

كَانَتْ دِيَارُنَا نَائِيَةً عَنِ المَسْجِدِ، فأرَدْنَا أَنْ نَبِيعَ بُيُوتَنَا، فَنَقْتَرِبَ مِنَ المَسْجِدِ، فَنَهَانَا رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ، فَقالَ: إنَّ لَكُمْ بكُلِّ خَطْوَةٍ دَرَجَةً

 Maksudnya: “Dahulunya rumah kami jauh dari masjid. Lalu kami berhasrat membeli rumah lain yang lebih dekat dengan masjid. Namun Rasulullah SAW melarang kami dan baginda bersabda: “Sesungguhnya untuk kamu semua (yang tinggal jauh dari masjid), setiap langkah akan menaikkan satu darjat.” (Riwayat Muslim)

Penjelasan Dan Faedah Hadis

  1. Banyak melangkah ke masjid untuk menunaikan solat fardhu, termasuk dalam perbuatan yang dapat menambah pahala dan meninggikan kedudukan seseorang di sisi Allah SWT.
  2. Rumah yang lebih jauh dari masjid layak menerima pahala yang lebih berbanding yang lebih dekat.

 

  1. Daripada Ubay bin Ka‘ab RA yang berkata:

كانَ رَجُلٌ مِنَ الأنْصَارِ بَيْتُهُ أَقْصَى بَيْتٍ في المَدِينَةِ، فَكانَ لا تُخْطِئُهُ الصَّلَاةُ مع رَسولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ، قالَ: فَتَوَجَّعْنَا له، فَقُلتُ له: يا فُلَانُ، لو أنَّكَ اشْتَرَيْتَ حِمَارًا يَقِيكَ مِنَ الرَّمْضَاءِ، وَيَقِيكَ مِن هَوَامِّ الأرْضِ، قالَ: أَمَ وَاللَّهِ ما أُحِبُّ أنَّ بَيْتي مُطَنَّبٌ ببَيْتِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ، قالَ: فَحَمَلْتُ به حِمْلًا حتَّى أَتَيْتُ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ، فأخْبَرْتُهُ، قالَ: فَدَعَاهُ، فَقالَ له مِثْلَ ذلكَ، وَذَكَرَ له أنَّهُ يَرْجُو في أَثَرِهِ الأجْرَ، فَقالَ له النبيُّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ: إنَّ لكَ ما احْتَسَبْتَ

Maksudnya: “Dahulu ada seorang lelaki dari kalangan Ansar, rumahnya adalah rumah yang paling jauh (dari masjid) di Madinah. Namun perkara itu tidak menyebabkan dia terlepas solat bersama Rasulullah SAW. Kata Ubay bin Ka‘ab: “Kami kasihankan dia, lalu daku berkata kepadanya: “Wahai fulan, kalaulah kamu beli seekor keldai yang dapat melindungi kamu dari panas matahari dan melindungi kamu dari haiwan bumi yang berbisa.” Jawab lelaki itu: “Dengarlah, demi Allah, tidaklah lebih daku suka jika rumah ku bersebelahan rumah Muhammad SAW (berbanding harapan ku kepada Allah agar digandakan pahala kerana banyak melangkah menuju ke masjid).” Kata Ubay bin Ka‘ab: “Jawapannya itu menyebabkan daku berasa hairan, sehingga daku berjumpa Nabi SAW dan menceritakan kepada baginda tentang lelaki tersebut." Ubay bin Ka‘ab menyambung ceritanya: “Lalu baginda mendoakan kebaikan untuk lelaki itu. Ketika baginda bertanyakan kepada lelaki itu berkaitan perkara yang daku khabarkan kepada baginda, lelaki itu memberi jawapan yang sama. Lelaki itu memberitahu baginda yang dia mengharapkan dari langkah yang ditempohnya itu pahala dari Allah. Lalu Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya untuk mu, apa yang kamu harapkan dari Allah.” (Riwayat Muslim)

 Penjelasan Dan Faedah Hadis

  1. Perkataan Ubay yang diterjemahkan: “ada seorang lelaki dari kalangan Ansar”, menunjukkan lelaki itu dari kalangan orang asal Madinah. Di dalam al-Musnad (No hadis: 21212) terdapat kenyataan Ubay yang berkata: كان ابن عمّ لي شاسع الدار “Lelaki itu adalah anak kepada bapa saudaraku, jauh rumahnya.” (Sahih; Takhrij al-Musnad oleh Syu‘aib al-Arna-auth)
  2. Sifat sukakan kebaikan untuk diri sendiri dan kepada orang lain yang ditunjukkan oleh para sahabat Nabi SAW.
  3. Sikap Sahabat yang sentiasa mencari amalan yang menjanjikan pahala yang lebih dan berlipat kali ganda.

 

  1. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ في ظِلِّهِ، يَومَ لا ظِلَّ إلَّا ظِلُّهُ: الإمَامُ العَادِلُ، وشَابٌّ نَشَأَ في عِبَادَةِ رَبِّهِ، ورَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ في المَسَاجِدِ، ورَجُلَانِ تَحَابَّا في اللَّهِ اجْتَمعا عليه وتَفَرَّقَا عليه، ورَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وجَمَالٍ، فَقَالَ: إنِّي أخَافُ اللَّهَ، ورَجُلٌ تَصَدَّقَ، أخْفَى حتَّى لا تَعْلَمَ شِمَالُهُ ما تُنْفِقُ يَمِينُهُ، ورَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ

Maksudnya:  “Tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah dengan naungann daripada-Nya, pada hari yang tiada naungan melainkan naungan daripada-Nya, iaitulah; pemimpin yang adil, pemuda yang membesar dalam melakukan ibadah kepada tuhannya, lelaki yang hatinya terpaut kuat dengan masjid, dua orang yang saling berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang digoda oleh seorang wanita berkedudukan dan cantik rupa paras (untuk melakukan maksiat), lalu lelaki itu menjauhinya dengan berkata: “Sesungguhnya daku takutkan Allah, seorang yang mengeluarkan sedekah dan benar-benar menyembunyikan sedekah nya itu, seolah-olah tangan kirinya tidak tahu sedekah yang dikeluarkan tangan kanannya dan seorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehingga mengalir air mata tangisan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penjelasan Dan Faedah Hadis

  1. Suasana di hari kiamat adalah suasana yang amat sukar. Matahari berada hampir dengan manusia sehingga suhu menjadi terlalu tinggi.
  2. Tiada sesuatu yang dapat menaungi manusia pada hari kiamat melainkan dengan naungan dari Allah SWT.
  3. Hadis ini menyebutkan tujuh golongan yang akan dinaungi di hari kiamat dengan naungan dari Allah SWT.
  4. Di dalam hadis riwayat Ahmad dan al-Tirmizi daripada Abu Hurairah RA, dinyatakan naungan yang ada di akhirat kelak adalah naungan ‘Arasy Allah SWT. Nabi SAW bersabda: مَن نفَّسَ عن غَريمِه أو محَا عنه، كان في ظِلِّ العرشِ يومَ القِيامةِ “siapa yang memberi tangguh kepada orang yang berhutang dengannya atau menggugurkan semua hutangnya itu, dia akan berada di bawah naungan ‘Arasy pada hari kiamat.” (Sahih; Takhrij al-Musnad oleh Syu‘aib al-Arna-auth)

 

  1. Daripada Abu Hurairah RA:

أَلَا أدلُّكُم عَلَى مَا يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الذُّنُوْبَ وَيَرْفَعُ الدَّرَجَاتِ، قَالُوْا بَلى يَا رَسُوْلَ اللَّهِ، قَالَ إِسْبَاغُ الْوُضُوْءِ عَلَى الْمَكَارِهِ وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسْجِدِ وَانْتِظَارُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلاةِ، فَذَلِكَ الرِّبَاطُ، ثلاثَ مرَّاتٍ

Maksudnya:  “Mahukah kamu semua aku tunjukkan sesuatu yang mana dengannya Allah akan menghapuskan dosa-dosa dan akan menaikkan beberapa darjat. Para sahabat berkata: “bahkan, kami mahu mengetahuinya wahai Rasulullah.” Baginda menjawab: “Sempurnakan wudhu ketika waktu kamu berat melakukannya, banyak melangkah ke masjid, menunggu solat berikutnya setelah menunaikan sesuatu solat. Demikian itulah kubu pertahanan. Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali.” (Riwayat Muslim)

Penjelasan Dan Faedah Hadis

  1. Solat yang merupakan salah satu dari rukun solat. Ia juga memiliki kedudukan yang tinggi berbanding ibadah yang lain.
  2. Solat merupakan sebab mendapatkan keampunan dosa, ketinggian kedudukan di sisi Allah.
  3. Kelebihan tiga amalan yang disebut di dalam hadis, iaitulah berwudhu secara sempurna dengan menyampaikan air kepada setiap anggota wudhu, sekalipun berada dalam keadaan yang tidak selesa seperti cuaca sejuk atau sakit, banyak berulang-alik ke masjid untuk melaksanakan solat secara berjemaah dan kekal berada di masjid setelah menunaikan solat fardhu kerana menunggu untuk ditunaikan secara berjemaah solat fardhu yang berikutnya.
  4. Tiga amalan yang disebut di dalam hadis merupakan al-Ribath, iaitulah seorang yang berkawal di kubu sempadan negara bagi menjaga keamanan negara umat Islam yang merupakan amalan yang mulia di sisi Allah SWT. Nabi SAW menamakan tiga amalan ini sebagai ribath adalah kerana ia berperanan menutup jalan-jalan syaitan, menundukkan nafsu dari dapat menguasai jiwa seseorang dan menghalang rasa was-was di dalam hati. Apabila tiga amalan ini mendominasi diri seseorang muslim, maka ia berperanan seperti ribath, iaitulah pengawal yang berperanan menjaga keharmonian diri seseorang mukmin dari musuh yang akan mengganggunya.

 

  1. Daripada Buraidah RA, Rasulullah SAW bersabda:

بَشِّرِ الْمَشَّائِينَ فِي الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِالنُّورِ التَّامِّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya:  “Berilah khabar gembira kepada mereka yang banyak berulang-alik dalam kegelapan ke masjid-masjid dengan kurniaan cahaya yang sempurna pada hari kiamat.” (Riwayat Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

Penjelasan Dan Faedah Hadis

  1. Kalimah بَشِّرِ adalah البِشارةُ iaitulah khabar gembira. Manakala الْمَشَّائِينَ adalah plural kepada الْمَشَّاءِ iaitulah orang-orang yang banyak berulang-alik berjalan. Ayat yang diterjemahkan sebagai: “dalam kegelapan ke masjid-masjid”, merujuk kepada awal malam untuk menunaikan solat ‘isyak dan penghujung malam untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Ayat yang diterjemahkan sebagai: “dengan kurniaan cahaya yang sempurna pada hari kiamat”, menunjukkan anugerah yang setimbal dan setanding dengan amalan yang dilakukan. Mereka yang sanggup berjalan dalam kegelapan di dunia untuk solat berjemaah, Allah akan gantikan dengan cahaya yang menerangi jalan mereka di hari kiamat.

Keadaan di hari kiamat diselubungi dengan suasana gelap gelita. Justeru, manusia amat memerlukan cahaya bagi menerangi jalan mereka. Allah SWT berfirman:

نُورُهُمۡ يَسۡعَىٰ بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَبِأَيۡمَٰنِهِمۡ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَتۡمِمۡ لَنَا نُورَنَا وَٱغۡفِرۡ لَنَآۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ ٨

Maksudnya: “cahaya mereka (orang-orang yang beriman), bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata: “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (al-Tahrim: 8)

Dalam ayat lain Allah menceritakan keadan golongan munafik yang tidak memiliki cahaya untuk menerangi mereka di hari kiamat, firman-Nya:

يَوۡمَ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلۡمُنَٰفِقَٰتُ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱنظُرُونَا نَقۡتَبِسۡ مِن نُّورِكُمۡ قِيلَ ٱرۡجِعُواْ وَرَآءَكُمۡ فَٱلۡتَمِسُواْ نُورٗاۖ... ١٣

Maksudnya: “Pada hari orang-orang munafik lelaki dan perempuan (yang sedang meraba-raba dalam gelap-gelita pada hari kiamat), berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami, agar kami dapat sedikit dari cahaya kamu. (Lalu) dikatakan kepada mereka (secara mengejek-ejek): “Baliklah kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya (di sana)…”  (al-Hadid: 13)

  1. Hadis ini menunjukkan kelebihan yang diperolehi oleh mereka yang sentiasa berulang-alik ke masjid terutamanya pada waktu gelap malam, yang sinonim dengan waktu untuk manusia berehat dan tidur.
  2. Kelebihan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah.
  3. Kelebihan berjalan untuk menunaikan solat secara berjemaah sama ada jarak jauh mahupun dekat, terutamanya ketika waktu gelap malam.

 

  1. Daripada Abu Sa‘ied RA, daripada Nabi SAW yang bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسَاجِدَ، فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: }إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ{

Maksudnya:  “Apabila kamu mendapati seorang lelaki yang menjadi kerbiasaannya ke masjid, maka bersaksikanlah dia seorang yang beriman. Allah SWT berfirman: “Hanya yang mengimarahkan masjid Allah adalah mereka yang beriman kepada Allah.” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah. Tersenarai di dalam Sahih Ibn Khuzaimah dan al-Mustadrak ‘Ala al-Sahihain oleh al-Hakim)

Penjelasan Dan Faedah Hadis

Hadis ini menunjukkan kebiasaan berulang-alik ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah adalah bukti jelas seseorang itu memiliki iman pada zahir keadaannya kepada Allah SWT.   

Cetak
Wallahu a'lam