Hadis Jin Menyerupai Manusia

Hadis dan Ulumnya Jumlah paparan: 163

Kata Abu Hurairah RA:

وكَّلني رسولُ اللهِ بحفظ زكاةِ رمضانَ، فأتانى آتٍ، فجعل يحثو من الطعامِ، فأخذتُه، فقلتُ: لأَرفعنَّك إلى رسولِ اللهِ، قال: إني محتاجٌ، وعليَّ دَينٌ وعِيالٌ، ولي حاجةٌ شديدةٌ فخلَّيتُ عنه، فأصبحتُ، فقال النَّبيُّ: يا أبا هريرةَ ما فعل أسيرُك البارحةَ؟ قال: قلتُ: يا رسولَ اللهِ شكا حاجةً شديدةً وعِيالًا، فرحمتُه فخلَّيتُ سبيلَه، قال: أما إنه قد كذبَك وسيعود فعرفت أنه سيعودُ، لقولِ رسولِ اللهِ: أنه سيعود، فرصدتُه، فجاء يحثو من الطعامِ ( وذكر الحديثَ إلى أن قال: (فأخذتُه) يعني في الثالثةِ) فقلتُ: لأَرفعنَّكَ إلى رسولِ اللهِ، و هذا آخرُ ثلاثِ مراتٍ تزعم أنك لا تعود، ثم تعود، قال: دَعْني أُعلِّمْك كلماتٍ ينفعك اللهُ بها قلتُ: ما هنَّ؟ قال: إذا أَوَيتَ إلى فراشِك، فاقرأ آيةَ الكرسيِّ: (اللهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ) حتى تختم الآيةَ، فإنك لن يزال عليك من الله حافظٌ، ولا يقربُك شيطانٌ حتى تصبحَ فخلَّيتُ سبيلَه، فأصبحتُ، فقال لي رسولُ اللهِ: ما فعل أسيرُك البارحةَ؟ قلتُ: يا رسولَ اللهِ زعم أنه يُعلِّمُني كلماتٍ ينفعني اللهُ بها، فخلَّيتُ سبيلَه، قال: ما هي؟ قلتُ: قال لي: إذا أوَيتَ إلى فراشِك فاقرأْ آيةَ الكُرسيِّ، من أولها حتى تختم الآيةَ (اللهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ)، و قال لي: لن يزال عليك من الله حافظٌ، و لا يقربُك شيطانٌ حتى تصبحَ و كانوا أحرصَ شيءٍ على الخير فقال النبيُّ: أما إنه قد صدَقَك، و هو كذوبٌ، تعلم مَن تخاطبُ منذ ثلاثِ ليالٍ يا أبا هريرةَ؟ قلتُ: لا قال: ذاك الشيطانُ

Rasulullah telah mewakilkan aku untuk menjaga zakat Ramadan. Kemudian, datang seseorang kepadaku lalu dia mula mengambil makanan dengan tangannya. Aku menangkapnya dan berkata: “Aku akan membawa engkau kepada Rasulullah.” Dia pun berkata: “Aku dalam keadaan sangat memerlukan, aku mempunyai hutang dan keluarga yang perlu ditanggung, dan aku benar-benar dalam kesusahan.” Maka, aku melepaskannya. Pada keesokan paginya, Rasulullah bertanya kepadaku: “Wahai Abu Hurairah, apa yang dilakukan oleh tawananmu malam tadi?” Aku menjawab: “Wahai Rasulullah, dia mengadu kesusahan dan keadaan keluarganya, maka aku merasa kasihan lalu aku melepaskannya.” Baginda bersabda: “Ketahuilah, dia telah menipumu dan dia pasti akan kembali.” Aku pun tahu bahawa dia akan kembali kerana sabda Rasulullah itu. Maka, aku menunggunya, dan benar dia datang lagi untuk mengambil makanan. (Sehingga akhirnya pada kali ketiga) aku menangkapnya dan berkata: “Aku akan membawa engkau kepada Rasulullah. Ini yang terakhir, sudah kali ketiga engkau berjanji tidak akan kembali, tetapi engkau tetap kembali.” Dia berkata: “Lepaskan aku, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat yang mana Allah akan memberi manfaat kepadamu dengan kalimat-kalimat tersebut.” Aku bertanya: “Apakah itu?” Dia berkata: “Apabila engkau pergi ke tempat tidurmu, bacalah Ayat Kursi: (اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ...) hingga selesai. Sesungguhnya akan sentiasa ada penjaga dari Allah yang melindungimu, dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga waktu pagi.” Aku pun melepaskannya. Keesokan paginya, Rasulullah bertanya kepadaku: “Apa yang dilakukan oleh tawananmu malam tadi?” Aku menjawab: “Wahai Rasulullah, dia mendakwa akan mengajarkan aku beberapa kalimat yang memberi manfaat kepadaku, maka aku pun melepaskannya.” Baginda bertanya: “Apa yang dia ajarkan kepadamu?” Aku menjawab: “Dia berkata kepadaku: Apabila engkau pergi ke tempat tidurmu, bacalah Ayat Kursi dari awal hingga akhir (اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ...)), maka engkau akan sentiasa dalam perlindungan Allah, dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga pagi.” Rasulullah bersabda: “Ketahuilah, dia telah berkata benar kepadamu, tetapi dia adalah pendusta. Tahukah engkau siapa yang engkau berbicara dengannya selama tiga malam ini, wahai Abu Hurairah?” Aku menjawab: “Tidak.” Baginda bersabda: “Itulah syaitan.” (Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Targhib, no. 610, dan diriwayatkan juga oleh al-Bukhari dengan sedikit perbezaan lafaz, no. 2311).

Huraian

Ayat Kursi adalah antara ayat yang paling agung dalam al-Quran. Dalam hadis ini, dinyatakan sebahagian daripada kelebihannya. Di mana Abu Hurairah رضي الله عنه meriwayatkan bahawa Rasulullah telah mewakilkannya untuk menjaga dan mengawasi harta dan makanan sebagai pembayaran zakat fitrah, iaitu yang dikeluarkan oleh umat Islam sebelum Aidilfitri. Mereka biasanya mengeluarkannya dalam bentuk gandum, kurma, dan makanan ruji lain bagi penduduk setempat. Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Tiba-tiba seorang lelaki datang dan mula mengambil makanan dengan dua tapak tangannya. Lalu, Abu Hurairah menangkapnya dan berkata: "Aku akan membawa engkau kepada Rasulullah ." Lelaki itu merayu dan berkata: "Aku benar-benar dalam kesusahan, aku mempunyai tanggungan keluarga dan aku sangat memerlukan." Maka, Abu Hurairah pun melepaskannya kerana belas terhadapnya.

Keesokan harinya, Rasulullah bertanya kepadanya: "Wahai Abu Hurairah, apa yang dilakukan oleh tawananmu malam tadi?" Rasulullah sudah mengetahui perkara itu melalui wahyu. Abu Hurairah menjawab: "Dia mengadu kesusahan dan keluarganya, lalu aku merasa kasihan dan melepaskannya."

Rasulullah bersabda: "Ketahuilah, dia telah menipumu dan dia pasti akan kembali." Maka, Abu Hurairah pun menyedari bahawa dia akan datang lagi kerana Rasulullah telah mengkhabarkannya.

Pada malam berikutnya, lelaki itu datang semula dan perkara yang sama berlaku. Abu Hurairah sekali lagi melepaskannya pergi kerana belas dan kasihankannya. Rasulullah kemudian bertanya lagi keesokan harinya, dan baginda sekali lagi menegaskan bahawa lelaki itu pasti akan kembali.

Pada kali ketiga, lelaki itu datang untuk mengambil makanan, lalu Abu Hurairah menangkapnya dan berkata: "Aku pasti akan membawamu kepada Rasulullah . Ini sudah kali ketiga engkau berjanji tidak akan kembali, tetapi engkau tetap kembali." Kali ketiga ini lelaki itu berkata: "Jika engkau melepaskan aku, aku akan mengajarkanmu beberapa kalimat yang akan memberi manfaat kepadamu." Abu Hurairah رضي الله عنه bertanya: "Apakah kalimah-kalimah tersebut?" Lelaki itu menjawab: "Apabila engkau hendak tidur, bacalah Ayat Kursi hingga akhir ayat. Sesungguhnya, akan sentiasa ada penjaga dari Allah yang melindungimu, dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga waktu pagi." Abu Hurairah pun memlepaskannya pergi.

Keesokan harinya, Rasulullah bertanya: "Apa yang dilakukan oleh tawananmu malam tadi?" Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: "Dia memberitahu aku bahawa dia ingin mengajarkan sesuatu yang bermanfaat kepadaku, maka aku melepaskannya." Rasulullah bertanya: "Apakah yang dia ajarkan kepadamu?" Abu Hurairah رضي الله عنه menjawab: "Dia berkata kepadaku: Apabila engkau hendak tidur, bacalah Ayat Kursi hingga akhir ayat. Sesungguhnya, engkau akan berada dalam perlindungan Allah, dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga waktu pagi."

Maka Rasulullah bersabda: "Dia telah berkata benar kepadamu tentang perkara itu, tetapi dia itu adalah seorang yang kuas berdusta. Tahukah engkau siapa yang berbicara denganmu selama tiga malam ini, wahai Abu Hurairah?" Abu Hurairah رضي الله عنه menjawab: "Tidak." Baginda bersabda: "Itulah syaitan."

 

Cetak
Wallahu a'lam