Maksud Hadis Tetamu Boleh Mengambil Haknya Sebagai Tetamu

Hadis dan Ulumnya Jumlah paparan: 33

Para sahabat berkata:

يا رسولَ اللهِ ننزِلُ بقومٍ لا يُضيِّفونا فكيف ترى في ذلك ؟ فقال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم: إنْ نزَلْتُم بقومٍ فأمَروا لكم بما ينبغي للضَّيفِ فاقبَلوا وإنْ لم يفعَلوا فخُذوا منهم حقَّ الضَّيفِ الَّذي ينبغي له

 “Wahai Rasulullah, kami singgah pada suatu kaum tetapi mereka tidak berikan kepada kami hak sebagai tetamu mereka. Maka bagaimana pandanganmu tentang hal itu?” Maka Rasulullah bersabda: “Jika kalian singgah pada suatu kaum, lalu mereka berikan untuk kalian sesuatu yang sepatutnya bagi tetamu, maka terimalah. Dan jika mereka tidak melakukannya, maka ambillah dari mereka hak tetamu yang sepatutnya.” (Riwayat daripada ‘Uqbah bin ‘Amir. Diriwayatkan oleh Ibn Hibban
dalam Ṣa
ī Ibn ibbān, no. 5288)

Dalam riwayat al-Bukhari, daripada  Uqbah bin ‘Amir RA:

قُلْنَا للنبيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: إنَّكَ تَبْعَثُنَا، فَنَنْزِلُ بقَوْمٍ لا يَقْرُونَا، فَما تَرَى فِيهِ؟ فَقالَ لَنَا: إنْ نَزَلْتُمْ بقَوْمٍ، فَأُمِرَ لَكُمْ بما يَنْبَغِي لِلضَّيْفِ فَاقْبَلُوا، فإنْ لَمْ يَفْعَلُوا، فَخُذُوا منهمْ حَقَّ الضَّيْفِ

Kami berkata kepada Nabi : “Sesungguhnya engkau mengutus kami untuk berjihad, lalu dalam perjalanan kami singgah pada suatu kaum tetapi mereka tidak berikan kepada kami hak sebagai tetamu. Apa pandanganmu tentang hal itu?” Maka Baginda bersabda kepada kami: “Jika kalian singgah pada suatu kaum lalu mereka berikan kepada kalian apa yang sepatutnya sebagai tetamu, maka terimalah. Jika mereka tidak melakukannya, maka ambillah dari mereka hak tetamu.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Ṣaī al-Bukhārī, no. 2461)

Nabi sentiasa mengambil berat urusan kaum Muslimin dan membimbing mereka agar berakhlak mulia serta beradab yang baik. Antara nilai dan adab tersebut ialah memuliakan tetamu; ia termasuk akhlak mulia, adab Islam, serta akhlak para nabi dan orang-orang soleh.

Dalam hadis ini, ‘Uqbah bin ‘Amir RA memberitahu bahawa apabila sebahagian sahabat Nabi mengadu kepada Baginda, apabila mereka diutus sebagai delegasi, mereka singgah kepada suatu kaum yang tidak memberikan hak kepada mereka sebagai tetamu, maka Rasulullah menyatakan kepada mereka bahawa jika mereka singgah pada suatu kaum lalu kaum itu memberikan hak tetamu, maka terimalah. Tetapi jika mereka tidak melakukannya, maka halal bagi mereka mengambil dari harta kaum tersebut sesuatu yang wajar sebagi hak tetamu; kerana ia adalah perkara yang diperintahkan dan sepatutnya dilakukan.

Perintah dalam hadis ini ditafsirkan bagi yang berada dalam keadaan darurat atau terdesak, di mana memuliakan tetamu dalam keadaan itu adalah satu kewajipan bagi yang berkemampuan, sehingga boleh diambil bahagian tetamu dari harta orang yang tidak mengurniakan hak tetamu.

Sebahagian ulama berpandangan, arahan ini berlaku di peringkat awal Islam ketika tolong-menolong itu diwajibkan. Kemudian apabila Islam berkembang luas, hukum itu dimansuhkan dengan sabda Nabi yang diriwayatkan dalam Sahihain daripada Abu Syuraih al-‘Adawi RA (أبي شُريحٍ العَدويِّ):

مَن كان يُؤمِنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فلْيُكْرِمْ ضَيفَه، جائزتُه يومٌ وليلةٌ...

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya; pemberian jamuan untuknya selama sehari semalam...”

Ungkapan: الجائزةُ yang diterjemahkan sebagai “pemberian jamuan” itu memiliki maksud satu bentuk pemberian secara suka rela, bukan suatu kewajiban. Ia bersifat ihsan dan bukan wajib.

Ada juga ulama yang memahami keizinan daripada baginda hanya khusus kepada para petugas yang diutus oleh pemerintah; berdasarkan perkataan mereka kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya engkau mengutus kami”. Maka menjadi tanggungan pihak yang dikunjungi untuk menyediakan makanan, tunggangan, dan tempat tinggal mereka sebagai balasan kerja yang mereka lakukan; kerana mereka tidak akan dapat melaksanakan kerja mereka melainkan dengan dipenuhi keperluan-keperluan yang sepatutnya.

Dalam hadis ini juga terdapat petunjuk bahawa sesiapa yang beroleh haknya daripada orang yang menzaliminya, maka dibolehkan dia mengambil hak tersebut selama mana tiada mafsadah (kerosakan) yang lebih besar akibat perbuatannya itu.

Cetak
Wallahu a'lam