Huraian Hadis Mu‘awiyah bin al-Hakam al-Sulami Tentang Dukun Dan Di Mana Allah?

Hadis dan Ulumnya Jumlah paparan: 69

Daripada Mu‘awiyah bin al-Hakam al-Sulami, katanya:

قُلتُ: ومِنَّا رِجَالٌ يَخُطُّونَ قالَ: كانَ نَبِيٌّ مِنَ الأنْبِيَاءِ يَخُطُّ، فمَن وافَقَ خَطَّهُ فَذَاكَ

“Dan ada di antara kami lelaki-lelaki yang membuat garis.” Baginda bersabda: “Ada seorang nabi daripada para nabi yang membuat garisan, maka barang siapa yang sesuai garisannya dengan garis nabi itu, maka itulah (yang benar).” (Hadis riwayat Muslim dalam Sahihnya, bil: 537, tanpa al-Bukhari.

Dalam riwayat lain beliau berkata:

بيْنَا أنَا أُصَلِّي مع رَسولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ، إذْ عَطَسَ رَجُلٌ مِنَ القَوْمِ، فَقُلتُ: يَرْحَمُكَ اللَّهُ فَرَمَانِي القَوْمُ بأَبْصَارِهِمْ، فَقُلتُ: واثُكْلَ أُمِّيَاهْ، ما شَأْنُكُمْ؟ تَنْظُرُونَ إلَيَّ، فَجَعَلُوا يَضْرِبُونَ بأَيْدِيهِمْ علَى أفْخَاذِهِمْ، فَلَمَّا رَأَيْتُهُمْ يُصَمِّتُونَنِي لَكِنِّي سَكَتُّ، فَلَمَّا صَلَّى رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ، فَبِأَبِي هو وأُمِّي، ما رَأَيْتُ مُعَلِّمًا قَبْلَهُ ولَا بَعْدَهُ أحْسَنَ تَعْلِيمًا منه، فَوَاللَّهِ، ما كَهَرَنِي ولَا ضَرَبَنِي ولَا شَتَمَنِي، قالَ: إنَّ هذِه الصَّلَاةَ لا يَصْلُحُ فِيهَا شيءٌ مِن كَلَامِ النَّاسِ، إنَّما هو التَّسْبِيحُ والتَّكْبِيرُ وقِرَاءَةُ القُرْآنِ أَوْ كما قالَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ قُلتُ: يا رَسولَ اللهِ، إنِّي حَديثُ عَهْدٍ بجَاهِلِيَّةٍ، وقدْ جَاءَ اللَّهُ بالإِسْلَامِ، وإنَّ مِنَّا رِجَالًا يَأْتُونَ الكُهَّانَ، قالَ: فلا تَأْتِهِمْ قالَ: ومِنَّا رِجَالٌ يَتَطَيَّرُونَ، قالَ: ذَاكَ شيءٌ يَجِدُونَهُ في صُدُورِهِمْ، فلا يَصُدَّنَّهُمْ، قالَ ابنُ الصَّبَّاحِ: فلا يَصُدَّنَّكُمْ، قالَ قُلتُ: ومِنَّا رِجَالٌ يَخُطُّونَ، قالَ: كانَ نَبِيٌّ مِنَ الأنْبِيَاءِ يَخُطُّ، فمَن وافَقَ خَطَّهُ فَذَاكَ قالَ: وكَانَتْ لي جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لي قِبَلَ أُحُدٍ والْجَوَّانِيَّةِ، فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَومٍ فَإِذَا الذِّيبُ قدْ ذَهَبَ بشَاةٍ مِن غَنَمِهَا، وأَنَا رَجُلٌ مِن بَنِي آدَمَ، آسَفُ كما يَأْسَفُونَ، لَكِنِّي صَكَكْتُهَا صَكَّةً، فأتَيْتُ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ فَعَظَّمَ ذلكَ عَلَيَّ، قُلتُ: يا رَسولَ اللهِ، أفلا أُعْتِقُهَا؟ قالَ: ائْتِنِي بهَا فأتَيْتُهُ بهَا، فَقالَ لَهَا: أيْنَ اللَّهُ؟ قالَتْ: في السَّمَاءِ، قالَ: مَن أنَا؟ قالَتْ: أنْتَ رَسولُ اللهِ، قالَ: أعْتِقْهَا، فإنَّهَا مُؤْمِنَةٌ.

“Ketika aku sedang solat bersama Rasulullah , tiba-tiba seorang lelaki daripada jamaah itu bersin, maka aku berkata: “Yarhamukallah (semoga Allah merahmatimu).” Lalu orang ramai pun memandangku, maka aku berkata: “malanglah ibuku!” Ada apa dengan kalian memandangku?” Maka mereka pun menepuk paha mereka dengan tangan. Ketika aku melihat mereka menyuruhku diam, aku pun berdiam. Setelah Rasulullah selesai solat – demi ayahku dan ibuku, aku tidak pernah melihat seorang guru sebelum atau sesudahnya yang lebih baik pengajarannya daripadanya – demi Allah, baginda tidak menghardikku, tidak memukulku dan tidak memakiku. Baginda bersabda: “Sesungguhnya solat ini tidak sesuai di dalamnya sesuatu daripada percakapan manusia, sesungguhnya ia hanyalah tasbih, takbir, dan bacaan al-Quran.” atau (rawi lupa) menurut apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW (yang memiliki maksud yang sama) Aku berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja meninggalkan zaman jahiliah, dan sesungguhnya telah datang kepada kami Islam. Sesungguhnya ada di antara kami lelaki-lelaki yang mendatangi para dukun.” Baginda bersabda: “Janganlah kamu mendatangi mereka.” Aku berkata: “Sesungguhnya ada di antara kami lelaki-lelaki yang bertathayyur (merasa sial kerana sesuatu).” Baginda bersabda: “Itu adalah sesuatu yang mereka dapati di dalam dada mereka, maka janganlah perkara itu menghalangi mereka.” Ibn al-Sabbah menambahkan: “Maka janganlah perkara itu menghalangi kalian.” Aku berkata: “Sesungguhnya ada di antara kami lelaki-lelaki yang membuat garis.” Baginda bersabda: “Ada seorang nabi daripada para nabi yang membuat garis, maka barang siapa yang sesuai garisnya dengan garis nabi itu, maka itulah (yang benar).” Dan aku mempunyai seorang hamba perempuan yang menggembalakan kambingku di sekitar Uhud dan al-Jawwaniyyah. Suatu hari aku datang, tiba-tiba seekor serigala telah membawa lari seekor kambingnya. Aku adalah seorang lelaki dari keturunan Adam, aku pun marah sebagaimana manusia marah, lalu aku menamparnya dengan satu tamparan. Maka aku mendatangi Rasulullah , lalu baginda menganggap besar perbuatanku itu. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, tidakkah lebih baik aku memerdekakannya?” Baginda bersabda: “Bawalah dia kepadaku.” Aku pun membawanya kepada baginda. Lalu baginda berkata kepadanya: “Di manakah Allah?” Dia menjawab: “Di langit.” Baginda bertanya: “Siapakah aku?” Dia menjawab: “Engkau adalah Rasulullah.” Baginda bersabda: “Merdekakanlah dia, sesungguhnya dia seorang mukminah.” (Hadis riwayat Muslim dalam Sahihnya, bil: 537. Diriwayatkan juga oleh Abu Dawud (930), Ahmad (23762), dan Ibn al-Jarud dalam al-Muntaqā (212) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Huraian:

Mu‘awiyah bin al-Hakam رضي الله عنه menceritakan bahawa ketika beliau sedang solat bersama Nabi , tiba-tiba ada seorang lelaki yang bersin di tengah solat. Beliau (Mu‘awiyah) berkata: “Yarhamukallah (semoga Allah merahmatimu).” Maka orang-orang memandangnya dengan pandangan yang tajam, yakni memandang dengan penuh keingkaran dan teguran, supaya beliau tidak bercakap dalam solat.

Lalu beliau berkata: “malanglah ibuku!. Ungkapan Arabnya ialah: واثُكْلَ أُمِّيَاهْ di mana والثُّكل bermaksud: Seorang wanita yang kehilangan anak dan bersedih dengan hal tersebut (فقدانُ المرأةِ ولدَها، وحزنُها عليه لفقدِه). Ungkapan ini bermaksud: وَافَقْدَها لي؛ فإنِّي هلكتُ، ما شأنُكم؟ maksudnya: “aduh dia (ibuku) kehilanganku, sesungguhnya aku telah binasa. Mengapa dengan kamu semua ini?” ungkapan penyesalan atau kehairanan disebabkan tindakannya yang dipandang salah oleh orang ramai. Lalu dia bertanya “Mengapa kalian memandangku?” Maka mereka mula menepuk paha mereka dengan tangan, sebagai tambahan kepada pengingkaran terhadapnya. Hal ini difahami berlaku sebelum disyariatkan tasbih untuk lelaki dan tepukan tangan untuk wanita jika ada sesuatu yang berlaku dalam solat. Orang ramai menyuruh beliau diam, yakni memerintahkan supaya tidak berbicara lagi. Maka beliau pun diam.

Setelah Rasulullah selesai solat, beliau berkata: “tebusan baginda ayah dan ibuku, aku tidak pernah melihat seorang guru sebelum atau sesudah baginda yang lebih baik pengajarannya daripada baginda. Demi Allah, baginda tidak menghardikku atau memandangku dengan muka yang masam, tidak memukulku dan tidak mencaciku juga tidak mengungkapkan perkataan kasar kepadaku. Baginda hanya bersabda:

“Sesungguhnya solat ini tidak sesuai di dalamnya sesuatu daripada percakapan manusia. Sesungguhnya di dalamnya hanyalah tasbih, takbir, dan bacaan al-Quran.”

Seterusnya Mu‘awiyah bin al-Hakam رضي الله عنه berkata lagi: Aku pun berkata:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja meninggalkan zaman jahiliah.”

Zaman sebelum turunnya syariat dinamakan zaman jahiliah kerana penuh dengan kejahilan dan kebodohan yang ketara. Beliau memaksudkan, aku baru sahaja keluar daripada kekufuran kepada Islam, sedang aku belum lagi mengetahui hukum-hukum agama yang telah diturunkan oleh Allah. Lalu beliau terus bertanyakan kepada Nabi SAW dengan berkata:

“Dalam kalangan kami kaum lelaki ada yang mendatangi para dukun.”

Dukun dalam Bahasa Arab disebut Kahin (كاهنٍ), ungkapan pluralnya ialah kuhhan (الكُهَّانَ), iaitul “orang yang berurusan dengan berita-berita tentang kejadian-kejadian di masa depan, dan mengaku mengetahui perkara-perkara rahsia (وهو مَن يَتعاطَى الأخبارَ عنِ الكوائنِ في المُستقبَلِ، ويدَّعي معرفةَ الأسرارِ).”

Baginda bersabda: “Janganlah kamu mendatangi mereka.”

Mu‘awiah bertanya lagi: “Dan ada di antara kami lelaki-lelaki yang bertathayyur.”

Al-Tathayyur adalah al-Tasya’um (التَّشاؤمُ) iaitu “merasa sial dengan sesuatu yang dilihat atau didengar.”  Baginda bersabda: “perkara itu adalah sesuatu yang mereka dapati dalam dada mereka.” Namun ia tidak memiliki sebarang asas sama sekali yang dapat dijadikan sandaran kebergantungan dan kepercayaan. “Maka jangan biarkan perkara itu menghalangi mereka.” Iaitu jangan biarkan perkara itu menghalangi mereka dari melakukan apa yang hendak dilakukan.

Seterusnya Mu‘awiyah bin al-Hakam berkata: “Dan ada di antara kami lelaki-lelaki yang membuat garisan.” Beliau memaksudkan kepada ilmu al-Raml (عِلمِ الرَّملِ) iaitu garisan yang diukir di pasir oleh orang Arab bertujuan menilik Nasib. Lalu Baginda bersabda: “Ada seorang nabi daripada para nabi yang membuat garisan, maka barang siapa garis yang diukirnya bertepatan dengan garisan nabi itu, maka itulah (yang benar).” Iaitu jika garisan yang diukirnya sama dengan nabi tersebut, maka ia adalah harus. Namun tiada jalan untuk memastikan persamaan tersebut, maka tidak boleh lagi membuat garisan di pasir yang tergolong dalam amalam tilik nasib yang dilarang. Kata al-Imam al-Nawawi RH dalam Syarh Sahih Muslim 5/23:

اخْتَلَفَ الْعُلَمَاءُ فِي مَعْنَاهُ فالصحيح أن معناه من وافق خَطُّهُ فَهُوَ مُبَاحٌ لَهُ وَلَكِنْ لَا طَرِيقَ لَنَا إِلَى الْعِلْمِ الْيَقِينِيِّ بِالْمُوَافَقَةِ فَلَا يُبَاحُ وَالْمَقْصُودُ أَنَّهُ حَرَامٌ لِأَنَّهُ لَا يُبَاحُ إِلَّا بِيَقِينِ الْمُوَافَقَةِ وَلَيْسَ لَنَا يَقِينٌ بِهَا وَإِنَّمَا قَالَ النَّبِيُّ ﷺ فيمن وَافَقَ خَطُّهُ فَذَاكَ وَلَمْ يَقُلْ هُوَ حَرَامٌ بِغَيْرِ تَعْلِيقٍ عَلَى الْمُوَافَقَةِ لِئَلَّا يَتَوَهَّمَ مُتَوَهِّمٌ أَنَّ هَذَا النَّهْيَ يَدْخُلُ فِيهِ ذَاكَ النَّبِيُّ الَّذِي كَانَ يَخُطُّ فَحَافَظَ النَّبِيُّ ﷺ عَلَى حُرْمَةِ ذَاكَ النَّبِيِّ مَعَ بيان الحكم في حقنا فالمعنى أن ذلك النَّبِيَّ لَا مَنْعَ فِي حَقِّهِ وَكَذَا لَوْ عَلِمْتُمْ مُوَافَقَتَهُ وَلَكِنْ لَا عِلْمَ لَكُمْ بِهَا

Para ulama berbeza pendapat tentang maknanya (ungkapan: “Sesiapa yang bersamaan garisannya dengan garisan nabi tersebut”). Pendapat yang sahih ialah maksudnya: barang siapa garisannya bersamaan dengan garis nabi itu, maka ia dibolehkan. Namun, tiada jalan bagi kita untuk mengetahui dengan yakin persamaan itu, maka ia tidak boleh lagi diamalkan. Maksud ungkapan baginda ini ialah hukum membuat garis itu adalah haram, kerana ia tidak dibolehkan kecuali dengan kepastian adanya persamaan, sedangkan kita tidak mempunyai keyakinan tentangnya. Hanya sahaja Nabi bersabda: “Barang siapa yang sesuai garisnya dengan garisan yang dibuat oleh nabi itu, maka itulah yang benar,” dan baginda tidak mengatakan secara mutlak: “Ia haram,” tanpa ikatan kepada syarat kesesuaian. Hal ini supaya tidak disangka oleh sebahagian orang kononnya larangan membuat garisan itu merangkumi nabi yang dahulu membuat garisan tersebut. Maka Nabi tetap menjaga kehormatan nabi itu, sambil menjelaskan hukum yang berlaku pada kita. Maka maksudnya: bagi nabi itu tidak ada larangan pada haknya sebagai seorang nabi, demikian juga sekiranya kalian mengetahui kebersamaan dengan garisan yang baginda buatkan. Namun hakikatnya, kalian tidak memiliki kepastian tentangnya.”

Setrusnya Mu‘awiyah رضي الله عنه bertanya lagi: “Aku mempunyai seorang hamba perempuan yang menggembalakan kambingku di kawasan Uhud dan al-Jawwaniyyah (merujuk kepada kawasan daerah sekitar Madinah). Suatu hari aku melihat bahawa seekor serigala telah melarikan seekor kambingnya disebabkan kecuaiannya. Aku adalah seorang manusia daripada keturunan Adam, aku pun merasa marah sebagaimana orang lain juga marah (آسَفُ كما يأسَفونَ), aku bersedih atas kehilangan seekor kambing itu. Lalu aku menamparnya dengan satu tamparan.

Apabila aku pergi menemui Rasulullah dan menceritakan apa yang berlaku, baginda menganggap besar atau melampau perbuatanku itu. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, wajarah aku memerdekakannya?” Baginda bersabda: “Bawalah hamba wanita itu kepadaku.”

Aku pun membawanya kepada baginda. Lalu baginda bertanya kepadanya: “Di manakah Allah?” Dia menjawab: “Di langit.” Baginda bertanya: “Siapakah aku?” Dia menjawab: “Engkau adalah Rasulullah.” Maka baginda bersabda: “Merdekakanlah dia, sesungguhnya dia seorang wanita mukminah.”

Faedah dan pengajaran hadis:

  1. Larangan mengucapkan tasymit kepada orang yang bersin di dalam solat.
  2. Mencontohi akhlak Nabi dalam berlemah lembut terhadap orang jahil, sabar dalam mengajarnya, dan berusaha memberi kefahaman kebenaran kepadanya dengan cara terbaik.
  3. Larangan mendatangi para dukun.
  4. Kebaikan akhlak Islam terhadap para hamba dan pekerja.
  5. Penetapan bahawa Allah ‘Azza wa Jalla berada di atas langit, di atas ‘Arasy-Nya, terpisah daripada makhluk-Nya, namun dengan ketinggian-Nya itu Allah tetap bersama makhluk-Nya dengan ilmu-Nya, meliputi segala sesuatu.
Cetak
Wallahu a'lam