Hadis Hibah Abu Bakar Kepada 'Aisyah RA Dan Penarikan Semula Hibah

Hadis dan Ulumnya Jumlah paparan: 35

‘Aisyah RA berkata:

إِنَّ أَبَا بَكْرٍ الصِّدِّيقَ كَانَ نَحَلَهَا جَادَّ عِشْرِينَ وَسْقًا مِنْ مَالِهِ بِالْغَابَةِ. فَلَمَّا حَضَرَتْهُ الْوَفَاةُ، قَالَ: وَاللهِ يَا بُنَيَّةُ مَا مِنَ النَّاسِ أَحَدٌ أَحَبُّ إِلَيَّ غِنًى بَعْدِي مِنْكِ. وَلَا أَعَزُّ عَلَيَّ فَقْرًا بَعْدِي مِنْكِ، وَإِنِّي كُنْتُ نَحَلْتُكِ جَادَّ عِشْرِينَ وَسْقًا. فَلَوْ كُنْتِ جَدَدْتِيهِ وَاحْتَزْتِيهِ كَانَ لَكِ. وَإِنَّمَا هُوَ الْيَوْمَ مَالُ وَارِثٍ. وَإِنَّمَا هُمَا أَخَوَاكِ وَأُخْتَاكِ، فَاقْتَسِمُوهُ عَلَى كِتَابِ اللهِ، قَالَتْ عَائِشَةُ: فَقُلْتُ: يَا أَبَتِ، وَاللهِ لَوْ كَانَ كَذَا وَكَذَا لَتَرَكْتُهُ. إِنَّمَا هِيَ أَسْمَاءُ فَمَنِ الْأُخْرَى؟ فَقَالَ: ذُو بَطْنِ بِنْتِ خَارِجَةَ، أُرَاهَا جَارِيَةً

“Sesungguhnya Abu Bakar as-Ṣiddīq telah memberikan kepadanya (ʿĀ’isyah) kadar dua puluh wasq daripada hartanya di al-Ghābah. Maka ketika maut mendatanginya, dia berkata: “Demi Allah, wahai puteriku, tiada seorang pun daripada manusia yang lebih aku suka dia menjadi kaya selepas kewafatanku daripadamu, dan tiada seorang pun yang lebih berat bagiku dia menjadi fakir selepas kewafatanku daripadamu. Dan sesungguhnya aku dahulu telah memberikan kepadamu kadar dua puluh wasq. Maka sekiranya engkau telah mengambilnya dan menguasainya, nescaya ia adalah milikmu. Akan tetapi pada hari ini ia adalah harta pusaka, dan sesungguhnya ia adalah untuk kedua orang saudaramu yang lelaki dan kedua orang saudaramu yang perempuan. Maka bahagi-bahagikanlah ia mengikut Kitab Allah.” ʿĀ’isyah berkata: “Maka aku berkata: Wahai ayahku, demi Allah, sekiranya ia begini dan begitu, nescaya aku akan tinggalkannya. Sesungguhnya ia hanyalah Asmā’. Maka siapakah yang seorang lagi?” Abu Bakar berkata: “Anak di dalam perut anak perempuan Khārijah. Aku mengiranya seorang anak perempuan.” (Hadis saīPerawi: ʿĀ’isyah Umm al-Muminīn. Sumber: Irwā’ al-Ghalīl (6/61). Takhrīj: Diriwayatkan oleh Mālik dalam al-Muwaṭṭa’ (2/752) dengan lafaz ini, al-aāwī dalam Shar Maʿānī al-Āthār (5844), al-Bayhaqī (12070) dengan sedikit perbezaan)

 

Huraian

Para sahabat yang mulia RA sangat berhati-hati agar tindak tanduk mereka selaras dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Dalam hadis ini, ʿĀ’isyah RA berkata: نَحَلَني أبو بَكرٍ رضِيَ اللهُ عنه, maksudnya Abu Bakar RA telah memberikan kepadaku dalam bentuk hibah dan hadiah. Perkataan ‘Aisyah RA: جادَّ عِشرينَ وَسْقًا maksudnya: Dua puluh wasq, iaitu sejumlah dua puluh wasq daripada hasil kurma yang dituai dan dipotong. Wasq ialah sukatan besar (mikyal) yang mengandungi enam puluh ṣā’ (gantang), bersamaan kira-kira 130 kilogram.

Perkataan ‘Aisyah RA: من مالِ الغابةِ “Daripada harta al-Ghābah”, iaitu kebun milik Abu Bakar, satu kawasan yang terletak dekat dengan Madinah di arah utara, berjarak sekitar enam batu dari Madinah. Satu mil atau batu bersamaan lebih kurang 1.6 kilometer.

Perkataan ‘Aisyah RA: فلما حَضَرَتْه الوَفاةُ “Maka ketikamana maut mendatanginya”, yakni ketika Abu Bakar mengalami sakit yang membawa kepada kewafatan, beliau berkata: واللهِ يا بُنَيَّةُ، ما مِنَ النَّاسِ أحَبُّ إليَّ غِنًى مِنكِ بَعدي “Demi Allah, wahai puteriku, tiada seorang pun daripada manusia yang lebih aku suka dia menjadi kaya daripadamu selepas kewafatanku.” Maksudnya, tidak ada seorang pun yang aku ingin melihatnya berada dalam kekayaan selepas aku meninggal selain dirimu. ولا أعَزُّ عليَّ فَقْرًا بعدَي مِنكِ “Dan tiada seorang pun yang lebih berat bagiku akan kefakirannya daripadamu selepas kewafatanku”, yakni tidak ada seorang pun yang lebih menyedihkan dan lebih menyakitkan hatiku jika menjadi miskin selepas aku meninggal selain dirimu. Maka aku ingin engkau menjadi seorang yang kaya, bukan seorang fakir.

وإنِّي كُنتُ نَحَلتُكِ جادَّ عِشرينَ وَسْقًا، ولو كُنتُ جَدَدتيهِ واحْتَزتيهِ “Sesungguhnya aku dahulu telah memberimu dua puluh wasq. Sekiranya engkau telah mengambilnya dan menguasainya”, yakni sekiranya engkau telah menuainya dan ia masuk dalam pemilikanmu. لكان لك “nescaya ia adalah milikmu,” selepas engkau menguasainya. Kerana pemilikan dan penerimaan adalah syarat sempurnanya hibah.

Perkataan Abu Bakar: وإنَّما هو اليَومَ مالُ الوارثِ “Akan tetapi pada hari ini ia adalah harta waris”, maksudnya selepas kematianku ia menjadi harta peninggalan bagi semua ahli warisku yang berhak. وإنَّما هما أخَوَاكِ “Sesungguhnya ia adalah untuk kedua saudaramu yang lelaki”, iaitu ʿAbdullāh dan Muammad, kedua-duanya putera Abu Bakar, وأُخْتاكِ “dan kedua saudaramu yang perempuan”, iaitu Asmā’ binti Abu Bakar, kemudian kandungan yang ada dalam rahim isteri Abu Bakar yang lain sebagaimana dijelaskan nanti.

Perkataan Abu Bakar: فاقْتَسِموه على كِتابِ اللهِ “Bahagikanlah ia mengikut Kitab Allah.” Ini adalah perintah Abu Bakar kepada ʿĀ’isyah, yakni hendaklah kamu semua membahagikan harta pusakaku secara pembahagian yang syarʿi sebagaimana yang telah ditetapkan dalam al-Quran al-Karīm dan al-Sunnah al-Nabawiyyah.

ʿĀ’isyah RA berkata: فقُلتُ: يا أبتِ، لو كان كذا وكذا لتَرَكتُه “Maka aku berkata: Wahai ayahku, sekiranya ia begini dan begitu nescaya aku akan tinggalkannya.” Maksudnya, sekiranya jumlah yang engkau berikan kepadaku satu jumlah yang besar lebih daripada itu, nescaya aku akan tinggalkannya selepas kewafatanmu, supaya dibahagikan kepada para waris, mengikut syariat dan sebagai tanda mencari keredaanmu.

Kemudian ‘Aisyah RA bertanya mengenai saudara perempuannya yang seorang lagi dengan berkata: إنَّما هي أسماءُ فمَنِ الأُخرى؟ قال: ذو بَطنِ ابْنةِ خارِجةَ “Sesungguhnya ia (saudaraku yang perempuan) hanyalah Asmā’, maka siapakah yang seorang lagi?” Abu Bakar menjawab: ذو بَطنِ ابْنةِ خارِجةَ “Yang di dalam perut anak perempuan Khārijah”, maksudnya kandungan isterinya abībah binti Khārijah al-Anṣāriyyah (حَبيبةَ بِنْتِ خارِجةَ الأنْصاريِّ), seorang sahabiah puteri seorang sahabi yang menyertai Badar. Nabi SAW telah mempersaudarakan ayahnya bernama Kharijah dengan Abu Bakar. abībah tinggal di al-ʿĀliyah (العاليةِ), iaitu perkampungan Bani al-ārith.

Abu Bakar RA berkata: أُراها جاريةً “Aku mengira kandungan itu seorang anak perempuan.” Maksudnya, aku menjangkakan bahawa kandungan isterinya bernama Habibah itu adalah anak perempuan. Maka sebagaimana yang dijangka, isterinya melahirkan seorang anak perempuan dan diberi nama Umm Kulthūm. Abu Bakar RA memberitahu kepada ‘Aisyah RA, anak itu seorang lagi yang akan mewarisinya kerana hubungan anak. Selain daripada itu, yang juga akan mewarisinya ialah dua isterinya: Asmā’ binti ʿUmays (أسماءُ بِنتُ عُمَيسٍ) dan abībah binti Khārijah (حَبيبةُ بِنتُ خارِجةَ), serta ayahnya Abu Quāfah (أبو قُحافةَ).

 

Cetak
Wallahu a'lam