Soalan:
Adakah terdapat hadis sahih tentang kelebihan membaca surah Yasin? Ada yang mengatakan membaca surah Yasin akan menjadikan kita memperoleh apa yang dihajati, betulkah ustaz?
Apakah ada hadis-hadis yang menyebut tentang kelebihan surah Yasin?
Jawapan:
Kebanyakannya hadis tentang kelebihan surah Yasin adalah palsu. Ada sebahagiannya lemah dengan kelemahan yang ringan.
Adapun membaca surah Yasin akan menjadikan kita memperoleh apa-apa yang dihajati, berdasarkan satu lafaz yang dikatakan hadis, iaitu:
يَس لِمَا قُرِئَتْ لَهُ
“Yasin menurut apa tujuan ia dibaca”
Lafaz ini bermaksud, sesiapa yang membaca surah Yasin dengan memiliki hajat tertentu, dia akan memperolehi hajatnya itu. Namun lafaz ini bukan dari hadis atau perkataan Nabi SAW. Ianya tidak sahih, dan tidak boleh disandarkan kepada Nabi SAW mahupun kepada para sahabat, tabi‘in mahupun kepada pimpinan agama umat Isalm. Ramai dari kalangan ulama telah menjelaskan kepalsuannya.
Al-Sakhawi rahimahullah berkata:
لا أصل له بهذا اللفظ
“Tiada asal-usulnya bagi lafaz ini.” (al-Maqasid al-Hasanah, hlm. 741)
Al-Qadi Zakariya pula dalam Hasyiah al-Baydawi menyatakan: “Palsu.” (Seperti disebut dalam Kashf al-Khafa, 2/2215). Begitu juga disebut oleh Ibn Tulun al-Salihi (ابن طولون الصالحي) dalam al-Shazrah fi al-Ahadith al-Musytahirah, 2/1158 (الشذرة في الأحاديث المشتهرة) dan al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu‘ah, hlm. 619 (الأسرار المرفوعة).
Oleh kerana itu, tidak dibenarkan seseorangpun menisbahkan hadis ini kepada Nabi SAW atau menyebarkannya, tanpa memberitahu akan kepalsuannya.
Bagi pihak yang mendakwa berdasarkan “pengalaman” membuktikan hadis ini benar, maka dikatakan kepada mereka: “Telah ramai juga orang yang membaca Yasin untuk hajatnya namun tidak dikabulkan, maka mengapa pengalaman kamu diambil sebagai hujah sedangkan pengalaman mereka diabaikan?”
Kenyataan Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (3/742) yang menukilkan perkataan sebahagian ulama:
أنَّ مِن خصائص هذه السورة أنها لا تُقرَأ عند أمر عسير إلا يسره الله تعالى
“Antara keistimewaan surah ini ialah, ia tidak dibaca pada sesuatu urusan yang sukar melainkan Allah akan memudahkannya.”
Namun ini hanyalah ijtihad sebahagian ulama, tanpa dalil daripada al-Quran, sunnah, atau ucapan sahabat dan tabi‘in. Ijtihad seumpama ini, tidak boleh sama sekali disandarkan kepada Allah dan Rasul-Nya, kerana ia tidak sabit dari sumber daripada keduanya. Firman Allah Ta‘ala:
قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالإثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لا تَعْلَمُونَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan keji, sama ada yang zahir atau yang tersembunyi, serta dosa, kezaliman tanpa hak, mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang bukti mengenainya, dan mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.” (Surah al-A‘raf: 33)
Perlu juga ditegaskan, bahawa ramai orang yang hajatnya tertunai ketika berdoa atau membaca sesuatu bacaan seperti surah Yasin atau lainnya, sebenarnya bukan kerana bacaan surah atau doa yang dibacanya itu, dan bukan kerana dia berdoa di sisi kubur atau tempat tertentu, tetapi kemustajab yang diperolehinya kerana ketika itu keadaan hatinya yang benar-benar merasakan keperluan dan kefakiran kepada Tuhannya, serta kejujuran dan kesungguhan dirinya ketika berserah dan memohon kepada Allah.
Kata Ibn Taymiyyah RH:
ثم سبب قضاء حاجة بعض هؤلاء الداعين الأدعية المحرمة أن الرجل منهم قد يكون مضطرا اضطرارا لو دعا الله بها مشرك عند وثن لاستجيب له، لصدق توجهه إلى الله، وإن كان تحري الدعاء عند الوثن شركا، ولو استجيب له على يد المتوسل به، صاحب القبر أو غيره لاستغاثته، فإنه يعاقب على ذلك ويهوي في النار، إذا لم يعف الله عنه
“Sebab hajat sebahagian orang yang berdoa dengan doa-doa yang dilarang itu tertunai ialah kerana kadang-kala orang tersebut benar-benar berada dalam keadaan amat terdesak, sehingga sekiranya seorang musyrik berdoa kepada Allah dengan lafaz-lafaz terlarang tersebut dalam keadaan yang sama di sisi berhala, niscaya doanya juga akan diperkenankan, kerana ketulusan dan kesungguhan hatinya dalam berdoa kepada Allah ketika itu. Sekalipun memilih berdoa di sisi berhala adalah perbuatan syirik, dan jika diperkenankan hajat seseorang dalam keadaan yang sama melalui perantaraan orang yang dijadikan wasilah, seperti penghuni kubur atau selainnya, kerana istighasahnya (permintaan tolong) yang dilakukannya, maka orang itu akan dihukum serta dicampakkan ke dalam neraka (kerana memilih cara yang salah) kecuali jika Allah memberi kemaafan kepadanya.”
Kata beliau lagi:
ومن هنا يغلط كثير من الناس؛ فإنهم يبلغهم أن بعض الأعيان من الصالحين عبدوا عبادة أو دعوا دعاء، ووجدوا أثر تلك العبادة وذلك الدعاء، فيجعلون ذلك دليلا على استحسان تلك العبادة والدعاء، ويجعلون ذلك العمل سُنّة، كأنه قد فعله نبي؛ وهذا غلط لما ذكرناه، خصوصا إذا كان ذلك العمل إنما كان أثره بصدق قام بقلب فاعله حين الفعل، ثم تفعله الأتباع صورة لا صدقا، فيُضَرون به؛ لأنه ليس العمل مشروعا فيكونَ لهم ثواب المتبعين، ولا قام بهم صدق ذلك الفاعل، الذي لعله بصدق الطلب وصحة القصد يكفر عن الفاعل
“Dari sinilah ramai orang tersilap faham, mereka mendengar bahawa sebahagian orang salih melakukan satu ibadah atau membaca satu doa tertentu (yang tidak bersumberkan syarak), lalu mereka melihat kesan yang baik daripada ibadah atau doa itu, maka mereka pun menjadikan hal itu sebagai dalil bahawa ibadah atau doa tersebut baik dan disukai syarak, bahkan menganggapnya sebagai satu sunnah, seolah-olah ia telah dilakukan oleh seorang nabi. Padahal ini adalah kesilapan besar, seperti yang telah dijelaskan. Khususnya apabila kesan yang muncul daripada amalan tersebut sebenarnya disebabkan oleh kejujuran dan keikhlasan hati orang yang melakukannya pada waktu itu, kemudian para pengikutnya meniru hanya bentuk luaran amalan itu tanpa keikhlasan dan kejujuran yang sama, maka mereka akan mendapat mudarat daripada perbuatan itu, kerana amalan tersebut bukan amalan yang disyariatkan, sehingga mereka layak mendapat pahala sebagai orang yang mengikuti sunnah, tiada juga pada para pengikut kejujuran yang sama yang ada pada pelaku asal yang barangkalidengan sebab kejujuran dan ketulusan niat pelaku asal itu telah menjadi sebab Allah menghapuskan kesalahan pelaku (dan memakbulkan permintaannya).” (Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim, 2/698, 700)
Berkenaan hadis-hadis tentang kelebihan surah Yasin, seperti yang telah dijelaskan pada bahagian awal jawapan ini, kebanyakannya adalah lemah. Antara hadis-hadis tersebut ialah:
- Didakwa Nabi SAW bersabda:
إن لكل شيء قلبا، وقلب القرآن (يس)، من قرأها فكأنما قرأ القرآن عشر مرات
“Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada jantungnya, dan jantung al-Quran ialah Yasin; sesiapa membacanya, seolah-olah dia telah membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali.”
- Didakwa Nabi SAW bersabda:
من قرأ سورة (يس) في ليلة أصبح مغفورا له
“Sesiapa membaca Surah Yasin pada waktu malam, maka dia akan diampunkan dosa pada pagi harinya.”
- Didakwa Nabi SAW bersabda:
من داوم على قراءتها كل ليلة ثم مات مات شهيدا
“Sesiapa yang sentiasa membaca Surah Yasin setiap malam, kemudian meninggal dunia, dia mati dalam keadaan syahid.”
- Didakwa Nabi SAW bersabda:
من دخل المقابر فقرأ سورة (يس)، خفف عنهم يومئذ، وكان له بعدد من فيها حسنات
“Sesiapa yang masuk ke tanah perkuburan lalu membaca Surah Yasin, maka diringankan azab bagi mereka pada hari itu, dan baginya pahala sebanyak bilangan yang ada di dalamnya.”
Hukum lemahnya hadis-hadis ini boleh dilihat dari al-Mawdu‘at oleh Ibn al-Jawzi (2/313) dan al-Fawaid al-Majmu‘ah oleh al-Syaukani (hlm. 942, 979). Lihat juga risalah penting Hadith Qalb al-Qur’an Yasin fi al-Mizan wa Jumlah mimma Ruwi fi Fadailiha (حديث قلب القرآن يس في الميزان، وجملة مما روي في فضائلها) oleh Syaikh Muhammad ‘Amr ‘Abd al-Latif (semoga Allah menjaganya).
Kesimpulan:
Tidak terdapat hadis sahih tentang kelebihan khusus membaca Surah Yasin, dan ungkapan “Yasin menurut apa tujuan ia dibaca” adalah palsu.
Membaca surah Yasin adalah sama seperti membaca surah-surah yang lain. Ia adalah ibadah yang diberi pahala bagi sesiapa yang membacanya. Namun tidak boleh direka sesuatu tentangnya tanpa ada dalil dan bukti.