Daripada Abdullah bin ‘Abbas RA:
كان الفضلُ بنُ عبَّاسٍ رديفَ رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم فجاءَتْه امرأةٌ مِن خَثْعَمَ تستفتيه فجعَل الفضلُ ينظُرُ إليها وتنظُرُ إليه فجعَل رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم يصرِفُ وجهَ الفضلِ إلى الشِّقِّ الآخَرِ فقالت: يا رسولَ اللهِ إنَّ فريضةَ اللهِ على عبادِه في الحجِّ أدرَكَت أبي شيخًا كبيرًا لا يستطيعُ أنْ يثبُتَ على الرَّاحلةِ أفأحُجُّ عنه ؟ قال: ( نَعم ) وذلك في حجَّةِ الوداعِ
“Adalah al-Faḍl bin ‘Abbās رضي الله عنه menunggang di belakang Rasulullah ﷺ. Lalu datang kepada baginda seorang wanita daripada Khath‘am untuk meminta fatwa. Maka al-Faḍl memandang kepadanya dan wanita itu juga memandang kepada al-Faḍl. Lalu Rasulullah ﷺ memalingkan wajah al-Faḍl ke arah yang lain. Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kewajipan Allah ke atas hamba-hamba-Nya dalam ibadah haji telah mengenai ayahku, seorang lelaki yang sudah sangat tua dan tidak mampu untuk tetap duduk di atas tunggangan. Maka adakah aku boleh menunaikan haji bagi pihaknya?” Baginda menjawab: “Ya.” Peristiwa itu berlaku pada Haji Wada’.” (Ṣaḥīḥ Ibn Ḥibbān / Halaman/Nombor: 3996 / Takhrij: Diriwayatkan oleh al-Bukhārī (1513) dan Muslim (1334), dan lafaz ini adalah lafaz Muslilm)
‘Abdullah bin ‘Abbas RA berkata:
أَرْدَفَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ الفَضْلَ بنَ عَبَّاسٍ يَومَ النَّحْرِ خَلْفَهُ علَى عَجُزِ رَاحِلَتِهِ، وكانَ الفَضْلُ رَجُلًا وضِيئًا، فَوَقَفَ النَّبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ لِلنَّاسِ يُفْتِيهِمْ، وأَقْبَلَتِ امْرَأَةٌ مِن خَثْعَمَ وضِيئَةٌ تَسْتَفْتي رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، فَطَفِقَ الفَضْلُ يَنْظُرُ إلَيْهَا، وأَعْجَبَهُ حُسْنُهَا، فَالْتَفَتَ النَّبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ والفَضْلُ يَنْظُرُ إلَيْهَا، فأخْلَفَ بيَدِهِ فأخَذَ بذَقَنِ الفَضْلِ، فَعَدَلَ وجْهَهُ عَنِ النَّظَرِ إلَيْهَا، فَقَالَتْ: يا رَسولَ اللَّهِ، إنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ في الحَجِّ علَى عِبَادِهِ، أدْرَكَتْ أبِي شَيْخًا كَبِيرًا، لا يَسْتَطِيعُ أنْ يَسْتَوِيَ علَى الرَّاحِلَةِ، فَهلْ يَقْضِي عنْه أنْ أحُجَّ عنْه؟ قَالَ: نَعَمْ.
“Rasulullah ﷺ memboncengkan al-Faḍl bin ‘Abbās di belakang baginda pada hari Nahr di atas bahagian belakang tunggangannya. Al-Faḍl ialah seorang lelaki yang elok rupanya. Nabi ﷺ berhenti untuk orang ramai dan memberi mereka fatwa. Lalu datang seorang wanita daripada Khath‘am, juga elok rupanya, untuk meminta fatwa daripada Rasulullah ﷺ. Maka al-Faḍl pun memandang kepadanya dan tertarik dengan kecantikannya. Nabi ﷺ menoleh dan al- Faḍl melihat kepada wanita tersebut. Lalu baginda menghulurkan tangannya kebelakang dan memegang dagu al-Faḍl, kemudian memalingkan wajahnya daripada memandang wanita itu. Wanita tersebut berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kewajipan Allah dalam ibadah haji ke atas hamba-hamba-Nya telah mengenai ayahku, seorang lelaki yang sudah tua, yang tidak mampu untuk duduk tegak di atas tunggangan. Maka adakah sah bagiku untuk menunaikan haji bagi pihaknya?” Baginda menjawab: “Ya.” (al-Bukhārī (6228) dan Muslim (1334).
Huraian:
Rasulullah ﷺ mengajarkan para sahabat baginda hukum-hakam agama dengan perkataan, perbuatan, perintah, larangan dan bimbingan, dalam setiap keadaan dan peristiwa yang memerlukannya.
Dalam hadis ini, ‘Abdullah bin ‘Abbās رضي الله عنهما meriwayatkan bahawa saudaranya al-Faḍl bin al-‘Abbās رضي الله عنهما telah menjadi pembonceng Rasulullah ﷺ, iaitu menunggang di belakang baginda di atas tunggangan, pada Haji Wada’, pada hari Nahr, iaitu hari kesepuluh Zulhijjah. Al-Faḍl ialah seorang lelaki yang elok rupa parasnya. Nabi ﷺ berhenti untuk orang ramai bagi menjawab pertanyaan mereka. Lalu datang seorang wanita yang elok rupa parasnya daripada Khath‘am — iaitu satu kabilah dari Yaman — bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang haji dan meminta fatwa berkenaannya. Maka al-Faḍl رضي الله عنه mula memandang kecantikan dan keindahan rupanya, dan wanita itu juga memandang kepadanya. Rasulullah ﷺ pun memalingkan wajah al-Faḍl رضي الله عنه ke arah yang lain supaya dia berhenti memandang wanita itu, dan supaya wanita itu juga berhenti memandang kepadanya. Baginda ﷺ tidak memerintahkan wanita tersebut agar memalingkan wajahnya ke arah lain, walaupun wanita juga dilarang memandang lelaki sebagaimana lelaki dilarang memandang wanita, berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ
“Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman agar mereka menundukkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka” (al-Nur: 30)
dan, firman-Nya:
وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ
“Dan katakanlah kepada orang-orang perempuan yang beriman agar mereka menundukkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka.” (al-Nur: 31)
Dikatakan: Tindakan baginda itu adalah kerana kemungkinan pandangan wanita itu kepada al-Faḍl bukan dengan sengaja, kerana sesungguhnya dia hanya memandang ke arah Rasulullah ﷺ untuk bertanya soalan. Ada juga kemungkinan bahawa Rasulullah ﷺ berpada dengan memalingkan wajah al-Faḍl kerana hal itu sudah menghalang pandangan wanita tersebut daripada melihat wajah al-Faḍl. Maka dengan itu terhalanglah al-Faḍl daripada memandangnya dan terhalang pula wanita itu daripada memandang al-Faḍl. Dan boleh jadi apabila Rasulullah ﷺ memalingkan wajah al-Faḍl, wanita itu memahami isyarat tersebut, lalu dia pun memalingkan wajah dan pandangannya daripada memandang al-Faḍl.
Kemudian wanita itu bertanya kepada Nabi ﷺ tentang keharusan menunaikan haji bagi pihak ayahnya — dikatakan nama ayahnya ialah Ḥuṣayn bin ‘Awf al-Khath‘amī (حُصَينُ بنُ عَوفٍ الخَثْعميُّ) — yang telah diwajibkan ke atasnya ibadah haji, tetapi dia seorang lelaki yang sudah sangat tua dan tidak mampu untuk menstabilkan tubuhnya di atas tunggangan, atau mungkin syarat-syarat haji hanya mencukupi apabila usianya telah lanjut itu sedangkan ketika itu dia sudah lemah dan tidak berdaya. Maka Nabi ﷺ menjawab dengan membenarkannya menunaikan haji bagi pihak ayahnya, kerana baginda melihat kesungguhan wanita itu untuk membuat kebaikan dan ganjaran kepada ayahnya.
Disyaratkan bagi orang yang mewakili haji itu bahawa dia telah menunaikan Haji Islam bagi dirinya terlebih dahulu. Jika tidak, maka haji tersebut dikira untuk dirinya sendiri dan tidak sah bagi pihak orang yang diwakili berdasarkan pandangan sebahagian ulama, berdalilkan hadis riwayat Abu Dawud daripada Ibn ‘Abbās رضي الله عنهما:
أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم سَمِعَ رجُلًا يقولُ: لَبَّيكَ عن شُبْرُمةَ، قال: مَن شُبرُمةَ؟ قال: أخٌ لي -أو قريبٌ لي- قال: حَجَجتَ عن نفْسِك؟ قال: لا، قال: حُجَّ عن نفْسِك، ثمَّ حُجَّ عن شُبرمةَ
“Bahawa Nabi ﷺ mendengar seorang lelaki berkata: “Aku menyahut seruan-Mu bagi pihak Shubrumah.” Baginda bertanya: “Siapakah Shubrumah?” Lelaki itu menjawab: “Seorang saudaraku — atau kerabatku.” Baginda bertanya: “Adakah engkau telah menunaikan haji untuk dirimu?” Dia menjawab: “Belum.” Baginda bersabda: “Tunaikanlah haji untuk dirimu terlebih dahulu, kemudian tunaikan haji untuk Shubrumah.”
Dalam hadis ini terdapat beberapa pengajaran:
Pertama: Keharusan mewakilkan haji fardu kerana keuzuran yang tiada harapan hilang.
Kedua: Salah satu cara berbakti kepada kedua ibu bapa, mengambil berat terhadap urusan mereka, dan melaksanakan kepentingan mereka seperti melangsaikan hutang, berkhidmat, memberi nafkah, dan selainnya daripada urusan agama dan dunia.
Ketiga: Kemampuan (istita‘ah) boleh berlaku dengan bantuan orang lain sebagaimana boleh berlaku dengan diri sendiri.
Keempat: Sifat tawaduk Nabi ﷺ.
Kelima: Kedudukan al-Faḍl bin al-‘Abbās رضي الله عنهما di sisi Rasulullah ﷺ.
Keenam: Terdapat larangan memandang wanita ajnabiyyah dan perintah menundukkan pandangan.
Ketujuh: Seorang alim hendaklah mengubah kemungkaran yang mampu diubahnya apabila dia melihatnya, dan keharusan menghilangkan kemungkaran dengan tangan bagi sesiapa yang mampu, selagi tidak menimbulkan kemudaratan tambahan yang lebih besar daripada kemungkaran yang sedang berlaku.