SDI 0215: Tentang Hadis Larangan Hebahkan Pertunangan

Hadis dan Ulumnya Jumlah paparan: 745

Soalan:

Assalamualaikum ustz..
Mohon pencerahan berkaitan ad hadis@ kata2 nasihat@ kata2 ahkam berkaitan larangan menghebahkan pertunangan dan suruhan hebahan perkahwinan..

psl hebahan perkahwinan semua maklum tp berkaitan hebahan pertunangan yg semakin mnjadi2.. @ nampak terlalu berlebihan seolah2 ia 1 galakan tuk hebahan umum.. mohon pncerahan ustz dan sedikit nasihat cara untuk bgitahu kpd ahli keluarga mahupun shbat2 baik...jazakallah ustz...

Jawapan:

Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus dengan lafaz:

أظهروا النكاح وأخفوا الخِطبة

Mafhumnya: “Zahirkanlah (war-warkan) perkahwinan dan sembunyikan (rahsiakan) pertunangan.” Akan tetapi hadis ini Dhoief (Lemah) seperti yang dinilai oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Dhoiefah bilangan: 2494, dan di dalam Dhoief al-Jami’ al-Soghir 922.

Akan tetapi terdapat hadis lain dengan lafaz:

اعلنوا النكاح

Bermaksud: “Iklankanlah (war-warkanlah) perkahwinan.” (HR Ahmad, demikian juga al-Hakim dan beliau menilai hadis ini sebagai Sahih, nilaian beliau ini dipersetujui oleh al-Zahabi)

Di dalam riwayat al-Tirmizi pula hadis dari ‘Aisyah RA dengan lafaz:

اعلنوا هذا النكاح، واجعلوه في المساجد، واضربوا عليه بالدفوف

Mafhumnya: “Iklankanlah (war-warkanlah) perkahwinan ini, dan jadikannya di masjjid-masjid, dan pukulkanlah gendang-gendang.” (kata al-Imam al-Tirmizi: “Hadis ini Gharib Hasan di dalam babnya”)

Ini bermakna ungkapan hadis yang bermaksud: “War-warkan perkahwinan” adalah ungkapan dari Nabi SAW. Manakala ungkapan: "Rahsiakan pertunangan" adalah satu ungkapan yang Dhoief atau lemah untuk dinisbahkan kepada perkataan Nabi SAW.

Cumanya, sebahagian ulama ada yang beranggapan sunat menyembunyikan pertunangan jika bimbangkan kejahatan hasad orang lain yang sudah tentu akan berusaha untuk menggagalkan pertunangan tersebut. Hal ini seperti yang dinyatakan di dalam Hasyiah al-‘Adawiy ‘Ala Syarh Mukhtasar Khalil 3/167 dari Mazhab Maliki.

Mereka menguatkan pendapat ini dengan hadis:

استعينوا على إنجاح الحوائج بالكتمان، فإن كل ذي نعمةٍ محسود

Mafhumnya: “(Mintalah bantuan) Bantu-membantulah untuk menjayakan hajat-hajat dengan menyembunyikannya, kerana sesungguhnya setiap yang ada kemanfaatan itu didengki.” (HR al-Tabarani. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’, bilangan: 943.)

Namun hadis ini tidak khusus kepada pertunangan sahaja. Sebaliknya anjuran supaya menyembunyikan setiap perkara dari pengetahuan orang-orang yang dengki.

Cetak
Wallahu a'lam