SDI 0227: Hadis Tentang Pencatit Amalan

Hadis dan Ulumnya Jumlah paparan: 776

Soalan:

Assalamualaikum ustaz....saya nak minta pendapat ustaz ttg mesej dibawah...

* Semua , nak tau tak ? Apabila kita melakukan sesuatu dosa , malaikat pencatat akan menunggu kita selama enam jam sebelum mencatitnya. Jika kita beristighfar dalam tempoh tersebut maka malaikat tersebut tidak akan mencatitnya.Tetapi apabila kita melakukan kebaikan. Malaikat pencatit akan terus mencatitnya . Sesungguhnya Allah maha pengasih. - Jadi , tahukah anda , dengan menyebarkan semua ini , malaikat akan mencatitnya ? Sebarkan Sebagai Ilmu :) Ballighu anni walau aayah . Sebarkanlah walau satu ayat ..

Terima kasih ustaz...

Jawapan:

Tentang malaikat pencatit kesalahan tidak mencatit sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh seseorang hamba selama enam (6) waktu. Ia dari hadis yang berstatus hasan.

Daripada Abu Umamah RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ صَاحِبَ الشِّمَالِ لِيَرْفَعُ الْقَلَمَ سِتَّ سَاعَاتٍ عَنِ الْعَبْدِ الْمُسْلِمِ الْمُخْطِئِ أَوِ الْمُسِيءِ، فَإِنْ نَدِمَ وَاسْتَغْفَرَ اللهَ مِنْهَا أَلْقَاهَا ، وَإِلَّا كُتِبَتْ وَاحِدَةً

Maksudnya: “Sesungguhnya malaikat pencatit kejahatan pasti tidak menulis selama enam waktu dari seseorang hamba muslim yang tersilap melakukan kesilapan. Jika dia bertaubat dan beristighfar kepada Allah, malaikat terus tidak mencatitnya. Jika dia tidak bertaubat setelah berlalu tempoh enam waktu tersebut selepas melakukan kesalahan, maka dicatit satu dosa ke atasnya.” (al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir dan al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman. Dinilai hasan oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami’ al-Saghir)

Manakala tentang mencatit segera kebaikan, ada hadis yang menyatakan dengan ada keinginan hendak buat kebaikan sahaja dapat satu pahala sekalipun tidak buat. Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis qudsi daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda; Allah SWT berfirman kepada para malaikat:

إِذَا هَمَّ عَبْدِي بِسَيِّئَةٍ فَلَا تَكْتُبُوهَا عَلَيْهِ فَإِنْ عَمِلَهَا فَاكْتُبُوهَا سَيِّئَةً. وَإِذَا هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا فَاكْتُبُوهَا حَسَنَةً. فَإِنْ عَمِلَهَا فَاكْتُبُوهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Apabila seseorang hamba-Ku berkeinginan melakukan kejahatan, maka jangan lagi dicatit dosa ke atasnya. Jika dia melakukannya barulah dicatit dosa satu kejahatan ke atasnya. Apabila seseorang hamba-Ku berkeinginan melakukan satu kebaikan, namun dia belum melakukannya, maka catitkan untuknya satu pahala, jika dia melakukannya maka catitkan untuknya 10 pahala.”  

Hadis Abu Umamah ini mesti difahami bersama hadis Abu Bakrah RA, Nabi SAW bersabda:

إِذَا الْتَقَى الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ هَذَا الْقَاتِل، فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: «إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ

Maksudnya: “Apabila bertemu dua orang muslim dengan pedang mereka (berkelahi), maka yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya di dalam neraka. Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, seorang pembunuh benar masuk ke dalam neraka. Akan tetapi mengapa yang terbunuh juga masuk ke dalam neraka?” Jawab baginda: “Kerana dia juga bersungguh-sungguh hendak membunuh saudaranya.” (al-Bukhari)

Oleh itu, berkeinginan hendak melakukan kebaikan, mendapat satu pahala. Berbeza jika memiliki keinginan melakukan kejahatan, masih belum dicatit sehinggalah seseorang itu bersungguh-sungguh atau memiliki keazaman melakukan kejahatan. Sekalipun dia tidak melakukannya, dia tetap dicatit dosa memiliki keazaman melakukan dosa. Kata para ulama: 

مَرَاتِب الْقَصْد خمس هاجس ذكرُوا فخاطر فَحَدِيث النَّفس فاستمعا يَلِيهِ هم فعزم كلهَا رفعت سوى الْأَخير فَفِيهِ الْأَخْذ قد وَقعا

Maksudnya: “Martabat niat itu adalah lima, hajis (terdetik di hati), khatir (lintasan di hati), hadith al-Nafs (bualan dalam hati), hamm (keinginan) dan berikutnya keazaman. Semua tidak dikira berdosa (jika berkaitan kejahatan) melainkan yang akhir (iaitulah keazaman melakukan kejahatan), padanya tetap dikenakan hukuman sekalipun tidak melakukannya.” (Lihat Qawaid al-Fiqh 1/273 oleh al-Barkatiy (الْبَرَكَتِيُّ)

Cetak
Wallahu a'lam