Jauhi Fahaman Literal

Isu dan Pemikiran Semasa Jumlah paparan: 897

 

Jauhil Fahaman Literal

Soalan yang berikutnya dari saudara Hafiz tentang perkataan Ibnu Qayyim al-Jawziyyah yang berkata, saya baca terjemahannya saja: "empat amalan yang melancarkan rezeki, salat malam, banyak istighfar di waktu sahur, sering bersedekah, zikir pagi dan petang." Kemudian yang berikutnya, "dan empat dosa yang menghalang rezeki tidur pagi, sedikit solat, malas, berkhianat." -Zad al-Ma’ad –

Jawapan:

Perkara-perkara seperti ini, ungkapan “empat dosa” ini adalah terjemahan dari penterjemah. Dalam perkataan Ibnul Qayyim tak sebut sebagai dosa. Dalam teks Arabnya وأربعة تمنع الرزق  maksudnya: “empat perkara yang menghalang rezeki”, tidak semestinya dosa. Tidur pagi, bukan satu perkara yang dosa. Sedikit solat (sunat), kalau tak buat, قلة الصلاة maksudnya sedikit solat, tak buat banyak solat sunat, bukan satu dosa. Cuma perkara ini disebut oleh al-Imam Ibn al-Qayyim dari sudut perkara-perkara yang boleh melancarkan rezeki, iaitulah solat malam dan dan perkara-perkara lain yang disebut Ibn al-Qayyim.

Ibn al-Qayyim sebut ini, bukan beliau maksudkan empat perkara ini sahaja. Bahkan ada lagi perkara-perkara lain, seperti menghubungkan silaturrahim yang Ibn al-Qayyim tak sebut di sini. Sedangkan hadis sebut menghubungkan silaturrahim menambahkan rezeki dan memanjangkan umur. Tapi Ibn al-Qayyim tak sebut.

Jadi Ibn al-Qayyim sebut beberapa perkara sahaja, bukan dalam bentuk, ini sahaja, dalam Bahasa ‘Arab di sebut bukan bertujuan al-Hasr الحصر yakni bukan bertujuan menghimpunkan semuanya. Jadi bukan ini sahaja. Ada lagi perkara lain yang boleh menambahkan rezeki. Bersyukur kepada Allah juga Ibn al-Qayyim tak sebut. Al-Quran kata: ولئن شكرتم لأزيدنكم ولئن كفرتم إن عذابي لشديد yang bermaksud: “Jika kamu bersyurkur pasti Aku akan tambah lagi nikmat-Ku kepada kamu, Jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih.” Tetapi Ibn al-Qayyim tak sebut di sini.

Ini menunjukkan Ibn al-Qayyim hanya sebut "antara perkara" yang boleh menarik rezeki, iaitulah empat perkara tersebut, sesuai dengan perkara itu yang hendak ditekankan oleh beliau.

Demikian juga empat perkara yang boleh menghalang rezeki, Ibn al-Qayyim sebut, "tidur pagi" apa semua. Perkara ni adalah teori, perkara-perkara yang ada di dalam kitab ini adalah teori. Ibn al-Qayyim sebut dalam bentuk "termasuk perkara yang boleh menghalang rezeki" itu adalah tidur pagi sebagai contoh, sedikit solat sebagai contoh.

Tapi kita, bila berlaku perkara itu kepada seseorang, barangkali orang itu tidur pagi, tetapi dalam masa yang sama dia kuat bekerja sebagai contoh. Maka rezeki dia datang dari sebab yang lain. Kuat bekerjanya itu mengalahkan kekurangan dia yang kerap tidur pagi, lalu rezeki masih datang kepada dia.

Begitulah kita berinteraksi dengan bahan-bahan para ulama. Jangan kita jadi orang yang literalis. Kalau literalis terhadap al-Quran dan hadis pun perbuatan yang tak elok. Maka bagaimana literalis dalam berinteraksi dengan bahan-bahan dan teks-teks perkataan para ulama? Sudah tentu lebih tercela perbuatan tersebut. Kerana itu tak boleh kita ambil perkataan sebahagian ulama dalam kitab dia, lalu kita faham sebijik seperti yang ulama tu sebut, zahir seperti yang ulama tu sebut. Sehingga kita tidak berusaha memahami dengan ayat-ayat al-Quran yang lain, serasikan perkataan ulama itu dengan ayat quran yang lain, serasikan perkataan ulama itu dengan hadis-hadis yang lain. Kerana mustahil perkara itu, dah tentu Ibn al-Qayyim tidak maksudkan dengan mafhum zahir apa yang dia cakap, mustahil Ibn al-Qayyim sedemikian.

Kerana itu kitab-kitab para ulama dipelajari, kena mengaji, bukan hanya sekadar baca sahaja. Kerana itu perkataan orang-orang tua dahulu “siapa baca kitab tanpa guru, dia mengaji dengan syaitan”, dari beberapa sudut, ada kebenaran perkataan mereka. Kerana baca kitab tidak cukup melainkan mesti dengan bimbingan para guru yang memahami dengan kefahaman yang baik.

Cetak
Wallahu a'lam